Home

Monday, 13 April 2026

SUDIRMAN, HUJAN

 

Tuesday, 19 August 2025

SUDIRMAN, HUJAN

 

Jumaat, 26 Julai 2024

Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah ﷻ)

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah ﷻ)

Ayat 3: Selepas Allah ﷻ mengatakan bahawa Diri-Nya adalah Tuan, maka sekarang Allah ﷻ menyebutkan dua sifat-Nya.

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHIH INTERNATIONAL)
The Entirely Merciful, the Especially Merciful,

(MALAY)
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah yang suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar yang Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam. Allah ﷻ amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah ﷻ amat berkuasa, tetapi sifat Allah ﷻ itu adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah ﷻ tunjukkan adalah kekuasaan yang bersifat rahmah.

Allah ﷻ telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmat-Nya. Terlalu banyak rahmah-Nya telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita hendak cuba kira pun tidak boleh, sebab sangat banyak.

Allah ﷻ mengingatkan perkara ini dalam Surah Al-Fatihah. Lebih banyak maklumat lagi disebut dalam Surah Ar-Rahman.

الرَّحْمَٰنِ

Tuhan yang mempunyai sifat Maha Pemurah;

Allah ﷻ kasih kepada semua makhluk. Termasuk manusia yang Islam ataupun kafir. Tidak kira bangsa apa. Allah ﷻ memberi rezeki kepada semua sekali. Kerana sayangnya Allah ﷻ terhadap makhluk-Nya.

Sifat pemurah ini adalah kepada semua makhluk semasa di dunia.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, ia adalah umpama kasih seorang ayah di mana Dia sanggup melihat anaknya menderita asalkan anaknya itu sedar kesalahannya dan menjadi baik. Contohnya, kalau anak itu ada membuat kesalahan sehingga dihukum penjara. Maka dia sanggup membiarkan anaknya itu merengkok dalam penjara untuk tempoh beberapa waktu supaya anaknya itu belajar erti penyesalan dan sedar kesalahannya. Semoga dia akan berubah menjadi baik selepas itu kerana takut dipenjara lagi dan tidak berani lagi untuk mengulang kesalahan yang sama.

Kata dasar Ar-Rahman dan juga Ar-Rahim diambil daripada kata dasar yang sama – rahmah. Maka kenapa dua nama ini diletakkan bersama dalam satu ayat? Kalau ia sama sahaja, maka tidak perlu diletakkan berasingan.

Ini menunjukkan, ada perbezaan antara dua nama itu. Begitulah konsep yang kita kena faham: kalau diletakkan bersebelahan dalam Al-Qur’an, maka tentu ada perbezaan antara keduanya. Dua-dua membawa maksud yang berbeza, walaupun ada persamaan. Kita kena faham makna dua-dua perkataan ini sebaik mungkin supaya kita dapat lebih mengenali Allah ﷻ.

Tentulah kita tidak akan dapat faham sepenuhnya, kerana akal kita terhad. Namun mari kita lihat apakah persamaan dan apakah perbezaan antara dua nama ini. Kerana apabila dua nama itu diletakkan bersebelahan, apa yang kita boleh faham adalah dua nama ini ada perbezaannya.

Makna ar-Rahman ada tiga kualiti:

1. Ia adalah sesuatu yang “extreme” (berlebihan, melampau). Oleh kerana ada pertambahan ‘an’ dihujung nama itu. Ini membawa maksud Allah ﷻ amat-amat pemurah, tidak dapat dibayangkan, tidak dapat dijelaskan lagi.

2. Dari segi nahu yang digunakan, kita dapat tahu bahawa Allah ﷻ sedang melakukan perbuatan ‘pemurah’ sekarang. Apakah maksudnya? Sebagai contoh, kita ada kawan, dia memang seorang pemurah. Namun tidak semestinya dia sedang memberi. Sebagai contoh, kalau dia tidur, dia bukanlah sedang memberi.  Tidaklah dia sentiasa dalam keadaan pemurah tetapi sifat itu memang ada pada dirinya.

Oleh itu, daripada makna ar-Rahman ini sahaja, kita dapat tahu bahawa sifat itu tidak ‘sentiasa’. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Mari kita lihat lagi kriteria yang seterusnya:

3. Dari segi nahu yang digunakan, kita boleh tahu bahawa sifat Rahman Allah ﷻ itu bermasa di mana ia tidak berterusan. Seperti juga perasaan yang kita ada seperti lapar, tidak semestinya kita sentiasa lapar. Apabila kita makan, kita tidak lagi lapar. Atau perasaan marah, tidak semestinya kita sentiasa marah, kalau kita tidur, kita tidak marah. Atau punca kemarahan itu telah hilang, maka kita tidak marah lagi.

Oleh itu, daripada makna ini, kita dapat faham bahawa Allah ﷻ tidak akan sentiasa jadi pemurah. Memang di dunia ini Allah ﷻ bersifat pemurah kepada semua makhluk, tetapi bagaimana di akhirat nanti? Adakah sifat itu berterusan? Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan yang boleh menyebabkan Allah ﷻ tidak bersifat Rahmaan dengan kita iaitu apabila kita sengaja melanggar perintah-Nya. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya menakutkan kita.

Allah ﷻ memberikan rahmat dan pemberian-Nya kepada orang Muslim dan juga orang kafir. Walaupun orang kafir itu telah menolak Allah ﷻ tetapi Allah ﷻ masih memberi rahmat lagi kepada mereka. Namun lihatlah apa yang mereka balas kepada Allah ﷻ? Mereka tidak terima apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat. Mereka puja tuhan sembahan yang lain. Mereka kata macam-macam tentang Allah ﷻ.

Namun Allah ﷻ maha penyabar. Allah ﷻ tidaklah terus membalas perbuatan ingkar mereka semasa di dunia ini. Allah ﷻ biarkan sahaja. Allah ﷻ tetap beri makan, beri minum dan beri keperluan hidup kepada mereka.

Allah ﷻ mempunyai 100 rahmat dan Allah ﷻ hanya memberikan 1 sahaja kepada dunia yang dikongsi oleh semua makhluk. Dengan 1 rahmat itulah seorang ibu sayangkan anaknya, dengan rahmat itu jugalah kita kasihan dan sayang kepada insan dan makhluk yang lain.

Kita telah lihat kriteria yang kita boleh ambil daripada makna ar-Rahmaan sebelum ini. Apakah pula kriteria sifat ar-Rahim pula?

الرَّحِيمِ

Yang Maha Pengasih;

Sayang Allah ﷻ di akhirat nanti hanyalah khas untuk orang mukmin sahaja. Yang tidak beriman, Allah ﷻ akan murka kepada mereka. Allah ﷻ akan memasukkan orang beriman ke dalam syurga dan mereka akan tinggal di situ selama-lamanya. Tidak ada ibadat apa pun lagi yang kena buat. Mereka hanya duduk di dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja.

Pemurahnya Allah ﷻ, sampaikan ada makhluk yang masuk dalam syurga tanpa buat apa-apa ibadat pun. Seperti ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام ketika zaman Firaun. Apabila mereka akhirnya kalah dengan Nabi Musa عليه السلام dan beriman dengannya, mereka terus dibunuh oleh Firaun. Allah ﷻ terus memasukkan mereka ke dalam syurga. Tidak sempat pun mereka buat apa-apa ibadat. Ada juga sahabat yang telah mengucap dua kalimah syahadah, terus pergi berperang dan mati syahid, tanpa sempat solat walau satu waktu pun.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, sifat ar-Rahim ini boleh diumpamakan seumpama kasih seorang ibu. Dia tidak sanggup melihat anaknya menderita. Walaupun dia tahu anaknya jahat, sampai ditangkap polis dan dimasukkan penjara, tetapi dia akan merayu-rayu supaya anaknya dilepaskan. Ini berbeza dengan sifat Rahmaan yang sanggup melihat anaknya menderita supaya anaknya itu dapat belajar erti kesilapan.

Kita telah tahu kriteria sifat ar-Rahmaan dari segi bahasa. Bagaimana pula dengan ar-Rahim?

    1. Makna rahim membawa maksud ‘sentiasa’. Allah ﷻ sentiasa pemurah. Sifat itu berterusan. Ia tidak akan berhenti. Ia sentiasa ada.
    2. Sifat pemurah itu tidak semestinya terjadi sekarang. Sifat itu tetap ada, tetapi ia tidaklah berlaku sekarang. Sebagai contoh, seorang itu bersifat pemarah, tetapi tidaklah dia marah sekarang dalam keadaan biasa. Cuma sifat itu ada dalam dirinya.

Oleh itu, apabila dua-dua sifat Rahmaan dan Rahim ini digabungkan dalam satu ayat, Allah ﷻ hendak memberitahu sifat penyayang-Nya yang lengkap. Iaitu sifat sayang Allah ﷻ itu adalah teramat sangat (maksud sifat Rahmaan), dan sifat itu berterusan (maksud sifat Rahim), tetapi walaupun sifat itu akan sentiasa ada, ia tidak semestinya diberikan kepada kita sekarang (maksud sifat Rahim) dan mungkin akan ditarik balik mengikut kehendak-Nya (maksud sifat Rahim).

Ulama’ tafsir membincangkan apakah gabungan maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah ﷻ dan makhluk-Nya. Bayangkan betapa sayangnya Allah ﷻ kepada kita. Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, tetapi Allah ﷻ masih beri rahmat kepada kita.

Perkara yang Allah ﷻ tahu tentang kita itu, kalaulah emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu berkawan dengan kita lagi. Tetapi lihat, walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, namun Allah ﷻ masih lagi memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Apabila dikatakan Allah ﷻ bersifat penuh rahmah, ada pula yang berkata: “Kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada “suffering” (kesengsaraan) dalam dunia?” Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tetapi kita tidak tahu menjawabnya, bukan? Hujah sebegini sering disebut oleh orang kafir, tetapi malangnya orang Islam pun ada sebut juga. Apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?” Maka mari kita cuba jelaskan.

Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ tidak zalim kepada makhluk-Nya. Dan kita kena terima yang kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah ﷻ beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tetapi Allah ﷻ akan membalas dengan kebaikan apabila dia mati kelak.

Bagi seorang yang paling celaka, bernasib paling malang dalam dunia, dan ketika dia diberikan rahmat di akhirat kelak, dia menjadi tidak ingat langsung segala kesusahan, kecelakaan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang daripad ingatannya. Seolah-olah tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia ini tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu apabila kita akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.

Kita juga jangan melihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu dan tidak nampak dengan akal kita yang cetek. Tidaklah sentiasa Allah ﷻ berikan nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Sekiranya seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ia sebenarnya adalah tidak baik untuk dirinya.

Sebagai contoh, kalau ibubapa berikan segala ikut kehendak anaknya, itu pun tidak baik. Akhirnya dia tidak akan kenal erti kesusahan. Dia akan menjadi manusia yang tiada empati dan simpati kerana tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan menjadi sombong, riak, tidak bersyukur dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat.

Dia tidak perasan bahawa Allah ﷻ telah memberinya dengan kebaikan yang banyak. Kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja. Kalau seorang anak itu hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah dan tidak berpuas hati sambil mempersoalkan kenapa dia dapat makanan tidak sedap pula kerana dia sangka dia hanya layak mendapat makanan yang sedap sahaja.

Ini juga sebagaimana seperti orang sakit yang hanya dapat mengenali dan menghargai nikmat kesihatan. Ramai tidak sedar bahawa kesakitan pun rahmah daripada Allah ﷻ juga sebenarnya. Kerana kalau kita tidak merasa sakit, ia akan memudaratkan kita juga. Sebagai contoh ada sejenis kondisi dikenali sebagai CIPA – di mana seseorang itu mempunyai deria rasa yang tidak bertindak balas (kesakitan atau suhu). Dia tidak akan berasa sakit langsung. Kalau luka pun, dia tidak dapat rasa. Maka, dia tidak tahu pun tentang kesan benda-benda bahaya dan dapat memudaratkan dirinya. Disebabkan dia tidak rasa panas, dia mungkin meletakkan tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Atau, dia terpotong terus tangan dia kerana dia tidak rasa sakit apabila ia mula terhiris. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya.

Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ia akan mengingatkan kita kepada neraka yang lebih teruk. Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tidak mengikut arahan Allah ﷻ. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita sudah tidak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak?

Kalau kita sudah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa-apa yang kita sedang buat supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah?

Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat amat seksa.

Musibah yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak. Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan sepanjang kita hidup ini. Sama ada kita sedar atau tidak, memang ada banyak dosa kita. Dengan musibah, Allah ﷻ akan hilangkan dosa itu daripada kita (asalkan kita redha). Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Tiada apa pun yang sia-sia dilakukan oleh Allah ﷻ. Semuanya mempunyai tujuan dan fungsinya walaupun dengan penciptaan syaitan. Ada gunanya juga syaitan ini. Kita beribadat kerana hendak melindungi diri kita daripada syaitan dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Iblis juga boleh dijadikan contoh sempadan yang tidak boleh diikuti. Jangan kita mencontohi segala kesalahan yang telah dia lakukan. Janganlah kita mengikuti segala sifat tercelanya seperti sombong, takkabur, suka memungkiri janji, penuh tipu daya serta suka menghasut.

Kalau tidak ada keburukan, kita tidak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Sifat rahman dan rahim ini juga mengajar kita supaya jangan kita putus harap dengan rahmat Allah ﷻ. Putus harap dengan Allah ﷻ adalah kufur. Allah ﷻ telah sebut perkara ini dalam Az-Zumar: 53. Tidak ada yang putus harap dengan rahmat Allah ﷻ melainkan orang kafir sahaja.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sifat rahmah Allah ﷻ ini juga mengajar kita bahawa kita pun kena bersifat rahmah dengan makhluk. Nabi ﷺ pernah bersabda: من لا يرحم لا يرحم (sesiapa yang tidak bersifat rahmah, tidak akan dirahmati). Maka, hendaklah kita bersifat baik dengan orang lain. Layan mereka dengan baik. Tegur mereka dengan baik. Jangan sombong dengan mereka. Jangan meninggi diri dengan mereka. Jangan marah tidak tentu pasal dan sebagainya.

852928508_943511660490793.jpg

Bagaimana pula dengan orang-orang yang bukan Islam? Adakah kita perlu bersifat rahmah juga kepada mereka? Perbincangan ulama’ panjang lebar dalam hal ini. Secara dasarnya, ada perbezaan antara layanan kita kepada orang Islam dan kepada orang bukan Islam.

Tentunya ada perbezaan kerana kita dan Muslim yang lain adalah bersaudara. Namun tidaklah ini sampai mengatakan kita boleh bertindak tidak baik dengan orang bukan Islam. Sepertimana juga Nabi Muhammad ﷺ itu adalah sebagai rahmat kepada ‘sekalian alam’, kita juga perlu bersifat demikian.

Yang paling penting adalah, kita mahukan mereka juga menerima Islam kerana Islam adalah rahmat yang paling besar. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka supaya mereka juga mendapat rahmat Islam seperti yang kita dapat. Bukankah kalau kita mendapat sesuatu kebaikan, kita juga mahu orang lain pun mendapat kebaikan yang sama juga?

Sebagai contoh, kita menemui sebuah restoran yang menghidangkan makanan yang sedap, bukankah kita juga mahu berkongsi restoran itu dengan orang lain? Kita beritahu mereka, kita ajak mereka makan sekali dan sebagainya, kerana kita suka sangat dengan makanan dan servis restoran itu. Rasa seakan mahu berkongsi satu dunia. Dengan sesiapa sahaja, tidak kira lah orang itu berlainan bangsa ataupun agama. Mahu orang lain mendapat nikmat dan keseronokan yang sama. Disebabkan itulah wujudnya pelbagai perkongsian reviu berleluasa di media sosial sekarang ini. Ini baru nikmat makanan. Apakah yang lebih baik lagi daripada nikmat iman dan Islam? Maka kenalah kita berbuat baik dengan mereka yang belum Islam ini, kerana kita hendak berdakwah kepada mereka.

Kunci untuk mendapat rahmah yang diberikan khas kepada mukmin adalah dengan mengikut arahan-Nya. Oleh itu, ayat 3 ini juga adalah dalil yang Allah ﷻ menurunkan syariat kepada kita. Jika Allah ﷻ berikan segalanya kepada kita, mana mungkin Allah ﷻ tidak berikan syariat untuk kita gunakan sebagai panduan hidup? Takkan apabila Allah ﷻ sudah jadikan kita, Dia biarkan kita begitu sahaja?

Maka hukum hakam yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah rahmat sebenarnya. Dengannya, kita dapat menjalani kehidupan kita dengan baik dan aman sentosa. Kalau Allah ﷻ tidak beri hukum itu, kita akan hidup seperti binatang sahaja, buat apa yang kita mahu sahaja.

Kita sepatutnya bersyukur kerana kita mungkin sudah dapat menghargai sifat Allah ﷻ yang maha pengasih ini kerana kita telah dilahirkan sebagai Muslim dan kita telah diajar bahawa Allah ﷻ bersifat begitu. Kita juga hanya kenal satu Tuhan sahaja, iaitu Allah ﷻ. Kita tidak kenal tuhan-tuhan sembahan manusia yang lain.

Ini sebaliknya berlaku kepada mereka yang tidak kenal Allah ﷻ. Mereka percaya bahawa adanya tuhan-tuhan mereka yang bersikap pemarah. Kalau buat silap dengan tuhan mereka, tuhan mereka akan murka dan akan musnahkan mereka. Kalau kita baca, sudah macam budak-budak kecil pula tuhan mereka itu. Kalau budak kecil marah, bukankah mereka akan merampus dan baling barang ke sana sini?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 4 [Bahagian 1] (Raja sebenar raja)

Fatihah Ayat 4:

مٰلِكِ يَومِ الدّينِ

Sahih International

Sovereign of the Day of Recompense.

Malay

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

مٰلِكِ

Allah ﷻ suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”. Iaitu, katakanlah مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ. Apabila kita membaca ayat ini, kita mengaku bahawa Allah ﷻ maha menguasai hari pembalasan.

Kita boleh memiliki macam-macam benda seperti kereta, tanah dan sebagainya, akan tetapi kita tidak boleh memiliki masa. Namun Allah ﷻ boleh memiliki atau menguasai masa. Masa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Pembalasan, Hari Kiamat, Mahsyar itu. Yang kita semua akan menghadapinya.

Maka, ini adalah salah satu nama (asma’) Allah: ‘Yang Memiliki Hari Pembalasan‘.

Seperti yang kita mungkin tahu, terdapat Qiraat lain bagi ayat ini. Ada qiraat membacanya seperti yang kita tahu di Malaysia ini: مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (yang memiliki Hari Pembalasan) dan ada juga qiraat yang memendekkan ‘ma’: مَلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (Raja Hari Pembalasan). Ini adalah kerana Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an dalam beberapa qiraat.

Kedua-duanya apabila dikaji, menguatkan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kita seeloknya terima dua-dua bacaan itu. Walaupun terdapat perbincangan ulama’ tentang mana satukah bacaan yang lebih tepat tetapi kita tidak mahu pergi ke situ. Kita hendak menggunakan pembacaan kedua-duanya. Kerana, apabila kita mengambil maksud kedua-dua makna itu, ia memberikan pemahaman yang lebih lagi tentang maksud ayat ini.

Qiraat pertama: Maalik. Ia bermaksud ‘mempunyai’ atau kita kata: memiliki. Dan apabila kita ‘mempunyai’, memiliki sesuatu benda, kita boleh buat apa sahaja kita mahu dengan benda itu. Sebab ia adalah hak kita, bukan? Namun, kadangkala, kalau kita memiliki sesuatu pun, tidak semestinya kita boleh berbuat dengannya sesuka hati kita. Ada halangan dalam kita menggunakannya.

Contohnya, ada larangan undang-undang seperti kalau kita mahu mengubahsuai rumah kita, kita kena dapatkan permit. Atau kalau kita ada pistol, bukanlah kita boleh tembak sesuka hati kita. Kita juga tidak boleh mengarahkan benda yang kita miliki itu untuk buat apa yang kita hendak. Walaupun kita ada kereta dan kita boleh menggunakan kereta itu, tetapi ada masanya ia rosak dan kita tidak boleh menggunakannya lagi. Akan tetapi apabila dikatakan Allah ﷻ ‘memiliki’, maka maksudnya Allah ﷻ memiliki segalanya. Tidak sama pemilikan Allah ﷻ dengan manusia. Pemilikan Allah ﷻ itu adalah mutlak dan sepenuh kepunyaan-Nya semata.

Qiraat 2: Malik: bermaksud ‘raja’. Raja adalah seseorang yang berkuasa di sesuatu negeri itu dan apabila dia memerintahkan sesuatu perkara, rakyat di bawahnya mesti patuh. Namun begitu, untuk seorang manusia yang bergelar raja, ada sahaja cara untuk rakyatnya tidak mematuhi dan taat kepada perintahnya. Lihatlah sahaja di dunia ini, di negara-negara yang ada raja, ada sahaja cara yang mereka boleh elak daripada mengikut arahan dan undang-undang raja mereka dan raja itu tidaklah mampu mengetahui segala tindak tanduk rakyatnya itu. Namun sebaliknya dengan raja sebenar iaitu Allah ﷻ. Kita tidak boleh lari. Allah ﷻ tahu segalanya yang kita buat.

Mana satukah daripada qiraat itu yang lebih kuat? Bukanlah kita di sini hendak menolak mana-mana qiraat itu kerana kedua-dua sama kuat pada pandangan kita. Allah ﷻ adalah seorang raja yang mutlak dan Allah ﷻ juga memiliki.

Kalau kita rasa kita ada kuasa, ia masih tertakluk kepada Allah ﷻ. Kita bukan pemilik sebenar. Kita tidak mempunyai kuasa mutlak. Kita umpama penyewa rumah sahaja. Walaupun kita membayar sewa, kita tiada hak untuk sesuka hati berbuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Kalau kita ingin mengubahsuai rumah itu, kita mestilah meminta izin daripada tuan rumah terlebih dahulu.

Sebagai raja, memang ada undang-undang yang dikenakan olehnya. Begitu juga Allah ﷻ (Raja segala raja) juga telah memberikan undang-undang-Nya yang perlu kita patuhi. Oleh itu, kita yang duduk ‘menyewa’ di bumi Allah ﷻ ini hendaklah mematuhi dan taat undang-undang yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Sepertimana kalau kita duduk di mana-mana tempat, kenalah ikut undang-undang pemerintahnya.

Al-Malik adalah salah satu daripada nama Allah ﷻ. Segala penyebutan malik yang bermaksud ‘raja’ hanyalah secara kiasan sahaja. Kerana memang ada raja-raja di dunia ini. Nampak macam mereka ada kuasa juga, boleh buat undang-undang, boleh arah itu dan ini, namun kekuasaan mereka tidaklah mutlak sepertimana kekuasaan Allah ﷻ.

يَومِ

Maksud ‘يَوۡمِ‘ adalah satu jangkamasa. Secara literal, ia bermaksud ‘hari’. Namun sebenarnya, ia bukan hanya bermaksud ‘hari’. Dalam penggunaan biasa, selalunya ‘yaum’ ini bermaksud ‘satu hari’. Akan tetapi dalam penggunaan yang lebih luas, ia adalah lebih lagi. Ia merangkumi masa dari sesaat sehinggalah beribu tahun.

Apabila Allah ﷻ berkata bahawa Dia memiliki Hari Pembalasan, bukanlah ini menyatakan Dia hanya berkuasa pada hari itu sahaja. Jangan kita salah faham pula. Memang ada yang salah faham apabila membaca ayat ini. Allah ﷻ maha berkuasa pada waktu-waktu lain juga, termasuklah hari dunia sekarang. Kerana banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain, bahawa Allah ﷻ berkuasa ke atas keseluruhan alam sepanjang masa.

Akan tetapi pada ayat ini, diberikan penekanan kepada kekuasaan Allah ﷻ pada Hari Pembalasan ini, kerana pada waktu itu tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan sesuatu apa pun dan tidak juga dapat berbicara kecuali dengan izin-Nya. Bermaksud, pada hari itu, amat jelas kepada semua makhluk bahawa yang maha berkuasa pada hari itu hanyalah Allah ﷻ sahaja. Tidak ada lagi sesiapa pun yang perasan mereka berkuasa. Semua akan tunduk kepada kuasa Allah ﷻ pada hari itu.

Hari pembalasan bererti hari perhitungan bagi semua makhluk. Mereka diberi balasan sesuai dengan amal perbuatan mereka semasa di dunia. Jika amalnya baik maka balasannya pun baik. Jika amalnya buruk, maka balasannya pun buruk kecuali bagi orang yang diampuni.

الدّينِ

Perkataan ‘ٱلدِّينِ‘ dalam ayat ini boleh menjadi banyak makna. Antara maknanya: agama, doa dan beberapa lagi. Di sini, kita tafsirkan sebagai ‘hari pembalasan’. Allah  ﷻ sahaja yang menguasai Hari Pembalasan – Hari Kiamat. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh berkuasa pada hari itu. Termasuk Nabi Muhammad ﷺ, walaupun untuk memberi syafaat.

Akan tetapi Allah ﷻ telah kata bahawasanya Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat dengan izin-Nya. Maknanya, Nabi ﷺ boleh memberikan syafaat dalam had yang ditentukan. Tidak boleh baginda hendak beri mengikut suka hati baginda. Kerana itulah baginda tidak boleh memberikan syafaat dan pertolongan kepada bapa saudaranya kesayangannya sendiri iaitu Abu Talib.

Ini adalah kerana hak syafaat bukan kepunyaan baginda. Hanya sesiapa yang Allah ﷻ beri izin sahaja yang boleh diberikan syafaat. Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Sesiapa yang syirik kepada Allah ﷻ, tidak akan ada peluang untuk mendapat syafaat.

Seperti yang kita telah sebut, ada banyak maksud bagi kalimah ٱلدِّينِ. Jangan sangka ada satu makna sahaja (seperti yang disalahfahami oleh sesetengah orang). Kerana tidak fahamlah, maka sesetengah yang menterjemahkan يَوۡمِ ٱلدِّينِ sebagai ‘Hari Agama’. Ini adalah kerana mereka tahu satu maksud sahaja. Sedangkan ia adalah satu perkataan yang menyeluruh. Merangkumi makna:

    • Kekuasaan.
    • Ketaatan.
    • Cara hidup.
    • Hukuman.

Maka apabila Allah ﷻ berkuasa penuh, Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Allah ﷻ boleh memberikan nikmat dan Allah ﷻ boleh sahaja menarik balik semula nikmat itu. Semuanya itu berlaku dengan hikmah-Nya dan ilmu-Nya. Kita sahaja yang tidak tahu mengapa Allah ﷻ melakukan satu-satu perkara itu kerana akal kita tidak sampai untuk memahaminya. Namun kita hendaklah tahu bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan adalah perkara yang baik. Mesti terdapat kebaikan di sebalik apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan.

Daripada makna مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah ﷻ setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, terbaik sekali jika kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ia akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita

Pada hari itu, kita amat memerlukan syafaat. Syafaat itu adalah ‘pertolongan’. Syafaat ini ada yang dapat semasa di Mahsyar dan ada yang dapat selepas mereka telah masuk ke dalam neraka. Namun, tentunya kita tidak mahu langsung masuk dalam neraka. Kita tidak mahu hanya diselamatkan selepas kita dimasukkan ke dalam neraka kerana amat dahsyatnya neraka itu. Kita tidak mahu dengar, lihat dan hidu apatah merasa azab sedikit pun neraka itu.

Walau bagaimanapun, sekiranya timbangan dosa kita melebihi pahala, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk ‘membersihkan’ dosa kita itu. Oleh itu, sebelum tidur tiap-tiap malam, kita minta Allah ﷻ ampunkan semua sekali dosa kita. Supaya kalau kita mati, harapnya dosa kita telah terampun semuanya sekali dan tidak perlu kita dimasukkan ke dalam neraka. Juga minta ampun sekali dosa ibubapa kita dan orang-orang Islam yang lain.

Dan ingatlah, untuk masuk syurga, kita memerlukan rahmat Allah ﷻ. Kita bukan masuk syurga disebabkan oleh banyaknya pahala kita. Ini kerana sememangnya tidak akan cukup amalan ibadat kita dibandingkan dengan segala nikmat yang kita telah dapat daripada Allah ﷻ (tak cukup tambang). Kita sebenarnya dapat masuk Syurga hanya kerana rahmat Allah ﷻ. Bukanlah kerana banyaknya pahala kita.

Kalau hanya berharap kepada pahala kita, memang tidak ada peluang kita untuk masuk Syurga. Maka, janganlah kita berbangga diri kalau kita rasa kita orang yang kuat ibadah. Jangan rasa itu kita sudah tentunya masuk syurga, kerana tidak pasti kita akan masuk syurga nanti di atas usaha amal ibadat kita itu. Kita sebenarnya buat amal ibadat itu kerana kita mengharapkan rahmat Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ redha dengan amalan kita dan akan memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa Dia memiliki Hari ‘Deen’. Apakah ‘Hari Deen itu’? Deen boleh juga ditafsirkan sebagai apa-apa syariat yang disampaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ menyampaikan syariat melalui Nabi-nabi-Nya. Bukanlah Nabi-nabi itu mencipta syariat mereka sendiri.

Oleh itu, untuk tahu syariat kenalah belajar bermula dengan tafsir Al-Qur’an. Kerana itulah sumber yang utama dan yang terpenting. Sepatutnya kita semua belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, bukan sahaja di antara manusia tidak mahu belajar, malah ada usaha untuk menghalang manusia untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Janganlah dihalang umat belajar tafsir Al-Qur’an. Sampai ada negeri di Malaysia ini yang pernah mengeluarkan pekeliling supaya tidak diajar tafsir Al-Qur’an.

Ini kerana mereka kata kalau belajar tafsir akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Mereka hanya membenarkan mengajar kitab jawi yang lama. Padahal itu semua adalah kitab karangan manusia. Memanglah akan ada pendapat yang berlainan apabila ada yang belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an mengajar manusia perkara yang benar. Dan apa yang diamalkan masyarakat sekarang ini ada yang tidak benar dan tidak bertepatan dengan sunnah. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan dapat bezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Kekeliruan yang banyak sekarang adalah kerana jahil kepada apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Apabila yang sudah belajar dan tahu dan ada yang tidak tahu, maka tentulah akan ada perbezaan pendapat. Ini kerana yang sudah tahu akan cuba memberitahu kepada yang tidak tahu perkara yang sebenarnya.

Malangnya ada mereka yang jahil tidak dapat menerima dan masih berpegang kuat dengan amalan mereka yang salah. Dari situ akan berlaku perbezaan pendapat. Perkara itu tidak dapat dielakkan. Hanya apabila semua orang berpegang kepada satu sumber yang sahih sahaja, iaitu Al-Qur’an, barulah akan ada perpaduan dalam masyarakat.

Ayat ini menyentuh tentang Hari Kiamat tetapi tidak disebutkan dengan panjang lebar. Semua kita tahu secara kasar tentang apakah yang akan berlaku pada hari itu. Tafsir bagi ayat ini ada pada keseluruhan Juzu’ 30. Juz 30 itu banyak menceritakan tentang hari Kiamat itu nanti. Tentang bagaimanakah keadaannya, apa yang akan terjadi, siapa yang selamat dan siapa yang tidak dan banyak lagi.

Maka, ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini menyebut tentang hari itu, tetapi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lagi, kenalah dirujuk kepada ayat-ayat yang lain. Ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah ini adalah seperti ‘isi kandungan’ keseluruhan untuk sesebuah buku. Bukankah selalu dalam sesebuah buku, di helaian-helaian terawal, ditulis isi kandungan buku itu?

Daripada makna مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah ﷻ setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, terbaik sekali jika kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ia akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita.

Surah Al-Fatihah ini memang satu surah yang amat hebat. Nabi Muhammad ﷺ pernah menyampaikan sebuah hadith Qudsi berkenaan Surah Al-Fatihah di mana disebutkan bagaimana apabila kita membaca Surah Al-Fatihah ini, Allah ﷻ akan menjawab bacaan kita itu. Kita sudah membaca sehingga ayat ketiga Surah Al-Fatihah ini. Dalam hadith tersebut, Allah ﷻ mengatakan bahawa tiga ayat pertama ini adalah untuk Allah ﷻ.

Inilah hadith itu secara lengkap:

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ { الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ } قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي فَإِذَا قَالَ { إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ } قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
Allah berfirman, ‘Aku telah membahagikan solat antara-Ku dan hamba-Ku kepada dua bahagian, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta. Apabila hamba itu berkata, “Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.” Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku. “Ketika hamba itu berkata: “Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Allah berkata, “Hamba-Ku memuji-Ku.” Ketika hamba itu berkata: “pemilik hari kiamat.” Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.” Apabila hamba itu berkata,’ Hanya kepada-Mulah kami sembah dan hanya kepada-Mulah kami mohon bantuan.” Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta’. Apabila hamba itu berkata, ‘Beri kami petunjuk jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai mahupun orang-orang yang tersesat. ” Tuhan berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia inginkan. “
(HR. Muslim No. 598)

 

Allah ﷻ menekankan yang Dia berkuasa pada Hari Pembalasan nanti. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ hanya sebut Dia berkuasa pada Hari Pembalasan sahaja dalam ayat ini? Adakah Allah ﷻ tidak berkuasa pada waktu dunia ini? Ini perlu dijelaskan kerana ada yang ada sangkaan sebegitu.

Dalam ayat pertama Allah ﷻ sudah bercakap tentang dunia. Dalam ayat ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ sudah disebut bahawa Allah ﷻ adalah Rabb alam ini. Itu sudah membawa maksud Allah ﷻ berkuasa penuh dalam alam ini juga. Maka ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini adalah penekanan kepada kekuasaan Allah ﷻ pada hari kiamat. Kenapa kena ada penekanan?

Dalam dunia ada manusia yang mempunyai sedikit kuasa. Mereka boleh memiliki sesuatu. Juga ada yang menjadi raja, presiden, pemimpin. Maknanya nampak yang mereka itu boleh ada kuasa. Bukan kuasa mutlak pun, tetapi pada kita, nampak seperti ada kuasa. Namun nanti mereka langsung tidak ada kuasa di Mahsyar nanti. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan ada kuasa.

Semua akan nampak dengan jelas bahawa mereka sebenarnya tidak ada kuasa langsung. Semua akan mengaku bahawa kuasa penuh hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Seperti disebut dalam Infithar: 17-19.

Penekanan hari kiamat ini adalah kerana pada waktu itu, *semua* makhluk akan menerima hakikat bahawa Allah ﷻ memang berkuasa penuh. Tidak ada yang berkecuali lagi. Kalau dalam dunia sekarang, ada yang tidak kenal Allah ﷻ, tidak terima Allah ﷻ sebagai Tuhan, sebagai pemilik yang hak alam ni, tetapi di akhirat nanti, mereka tidak ada pilihan lain lagi. Waktu itu memang jelas kekuasaan Allah ﷻ sejelas-jelasnya. Tidak ada yang boleh menolak lagi.

Waktu itu tidak ada lagi yang berkuasa. Sediikit pun tidak ada. Mungkin ada yang sangka ada yang boleh tolong mereka. Kalau agama lain, mereka sangka tuhan mereka seperti Buddha, Vishnu, Jesus akan tolong mereka mereka nanti apabila mereka sudah mati. Manakala ada antara penganut dalam agama Islam ini, yang sangka pujaan-pujaan mereka seperti Sheikh Abdul Qadir, Nabi itu dan ini, guru mereka yang mereka anggap wali dan sebagainya akan membantu mereka.

Itulah pemahaman syafaat bagi mereka. Mereka sangka mereka akan mendapat syafaat. Namun bagaimana mereka boleh menolong, sedangkan mereka yang diharap itu sendiri tidak ada kuasa waktu itu. Mereka juga kena duduk di hadapan Allah ﷻ dan dinilai perbuatan-perbuatan mereka. Mereka juga ada masalah mereka masing-masing. Mereka juga akan risaukan nasib mereka sendiri.

Tidak ada yang berkuasa pada hari itu melainkan Allah ﷻ sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran yang mengatakan kalau ikut ini, ikut orang itu akan selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita pada waktu itu melainkan amalan kita semasa di dunia sahaja.

Hari Kiamat adalah satu elemen yang amat penting dalam Islam. Sampaikan, banyak kali disebut dalam Al-Qur’an, selepas disebut tentang beriman kepada Allah ﷻ, kemudiannya terus disebut beriman kepada hari akhirat. Oleh itu, kita kena tahu apakah yang terjadi dalam hari kiamat. Banyak disebut tentang kejadian hari itu dalam Al-Qur’an.

Begitu juga ada banyak disebut dalam hadith. Terlalu panjang kalau hendak disebut di sini. Kena belajar tafsir tentang ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka. Yang paling banyak ada dalam juzuk 30. Dan banyak diselitkan dalam surah-surah yang lain. Allah ﷻ akan sentiasa mengingatkan tentang hari Kiamat dalam semua surah.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian kedua.

Kemaskini: 10 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

 

Syarah Hadis #25 (Hadis 40 Imam Nawawi)

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ » رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Daripada Abu Dzarr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa ada sejumlah orang sahabat Rasulullah ﷺ berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan-jalan lain untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekahmengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekahmelarang dari kemungkaran adalah sedekahdan berhubungan intim dengan isteri kalian adalah sedekah.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya lalu mendapatkan pahala di dalamnya? Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah akan mendapatkan dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka ia mendapatkan pahala.”
[Sahih Muslim, no. 1006]


Syarah Hadis

Pertamanya kita kena kenal antara sikap para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ, mereka berasa sedih apabila tidak boleh melakukan ibadat. Mereka akan bersedih apabila ada ruang untuk mengerjakan ibadat itu tertinggal. Ini kita boleh perhatikan firman Allah ‎ﷻ di dalam Tawbah:92

Kisahnya mereka berasa sangat sedih kerana mereka tidak mampu menyertai Perang Tabuk kerana mereka tidak mempunyai kenderaan kerana mereka miskin. Sekarang kita lihat kisah para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ mengadu kepada Rasulullah ﷺ akan kekurangan mereka dari segi harta dan tidak dapat bersedekah. Maka Nabi ﷺ telah menjawab dan memberikan ajaran yang amat penting kepada mereka dan kita.

Sekarang kita lihat kata-kata sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ, mereka tidak puas apabila orang kaya banyak bersedekah. Sekali baca macam mereka itu ‘dengki’ pula. Mereka dengki dengan golongan sahabat yang kaya yang mendapat pahala yang banyak kalau dibandingkan dengan mereka. Jadi soalan yang pertama, bolehkah dengki pada orang lain dalam bab ini? Maka para ulama’ membincangkan perkara ini. Pertama sekali, di dalam Islam ada dibezakan dengki yang negatif dan dengki yang positif. Kalau di dalam Bahasa Melayu yang miskin, kalau dengki itu dengkilah! Akan tetapi di dalam Bahasa Arab, ada dibahagikan dengki yang negatif dan dengki yang positif.


HASAD

Dengki yang negatif ini macam mana? Dengki yang negatif ini, Bahasa Arab panggil hasad. Dalam istilah para ulama: “الحسد: تمني زوال النعمة عن الغير حصلت عليها أم لم تحصل” (Dengki adalah menginginkan hilangnya nikmat daripada orang lain, baik dia mendapatkannya atau tidak). Oleh itu hasad maksudnya ialah mereka berharap hilangnya nikmat yang ada pada saudaranya itu. Hasad ini maksudnya dia lihat orang itu ada kelebihan dan dia tidak puas hati, dia rasa dengki. Dan dia hendak nikmat itu hilang daripada orang yang ada nikmat itu. Kalau boleh dia dapat benda yang dia dengkikan itu, kalau tak dapat pun tidak mengapa, asalkan orang itu pun tak dapat! Begitulah teruknya sifat hasad ini.

Hasad ini haram dalam Islam, inilah hasad yang jenis negatif. Rasulullah ﷺ ada bersabda (Hadis #35 juga di dalam kitab Imam Nawawi)

Di dalam riwayat yang lain pula,

Oleh itu, hasad ini tidak bagus dan ia perbuatan yang dikutuk oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sebut dalam Al-Qur’an berkenaan dengan perangai orang musyrik, orang-orang munafiq, orang-orang Yahudi dan Nasrani yang dengki apabila Allah ‎ﷻ turunkan wahyu kepada orang Islam. Perhatikan Baqarah:105

Malah dosa yang pertama sekali dalam sejarah kejadian manusia ialah hasad. Itulah dosa yang dilakukan oleh iblis. Dia hasad apabila kedudukan Khalifah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana dia merasa bahawa dia lebih layak daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baru sahaja dijadikan sedangkan dia sudah lama berkhidmat kepada Allah ‎ﷻ. Sekali lagi hasad itu maksudnya berharap hilangnya nikmat daripada orang lain dan ini adalah perbuatan yang mungkar.

Kita kenalah ingat yang hasad ini ialah amal qalbi (hati). Maksudnya kalau kita melayan perasaan ini di dalam hati, sudah berdosa tanpa membuat apa-apa pun lagi. Kalau dizahirkan dengan lisan, lagilah bertambah dosa dan lebih buruk. Sekiranya dilakukan dengan perbuatan badan pula untuk menghilangkan nikmat daripada orang lain, lagilah teruk! Contoh hasad lisan adalah bagaimana kadangkala kita dengar orang berkata: “Alah dia tu dapat naik pangkat tu bukan apa, sebab dia guna kabellah tu!”

Hasad dengan badan pula, bagaimana? Ini apabila kita melakukan perbuatan-perbuatan untuk menghilangkan nikmat daripada orang lain. Ini lebih teruk kerana telah melibatkan perbuatan.

Hasad ini kalau hanya ada di dalam hati pun sudah berdosa walaupun belum diluahkan dengan kata-kata atau melakukan apa-apa pun lagi kerana hasad ini bukanlah setakat lintasan hati. Lintasan hati memang susah dijaga kerana kadang-kadang perasaan itu lalu di dalam hati kita, bukan? Ini tidaklah berdosa lagi kerana lintasan itu belum ada usaha lagi. Ia belum menjadi niat. Namun begitu jikalau dilayan perasaan itu dalam hati, ia sudah dikira menjadi usaha. Maka kita kenalah perasan lintasan hati itu dan cepat-cepat menutup perasaan itu dan jangan dilayan kerana ia adalah bisikan daripada syaitan. Yang menjadi masalah apabila kita tidak sedar tentang perkara ini dan biarkan sahaja ia terus bermain di benak fikiran kita.

Baik, itu tadi adalah hasad yang negatif, yang buruk. Akan tetapi ada satu lagi hasad yang bagus. Hasad yang dibenarkan. Ini berdasarkan kepada hadis,

Maknanya kita dibenarkan untuk cemburu kepada seseorang yang menggunakan hartanya dalam dan pada ketaatan. Yang kedua pula, boleh kalau kita rasa cemburu dengan seseorang beramal dengan ilmunya dan dia berhukum dengan ilmunya. Namun begitu yang ini tidaklah dipanggil hasad tetapi digelar ghibtah (غبطة). Ghibtah ini bagus kerana kita berharap hendak jadi seperti orang tu. Kita berharap supaya jadi kaya supaya dapat bersedekah, contohnya. Kita hendak jadi pandai seperti orang itu supaya kita boleh beramal dan kita boleh menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Ia berlainan dengan hasad kerana orang yang hasad berharap dihilangkan nikmat itu daripada orang itu.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi (Hadis No. 2325) dan beliau menyatakan ia adalah hadis Hasan Shahih.

:إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ

  1. عَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَعِلْمًا: فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَيَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَفْضَلِ الْمَنَازِلِ.
  2. وَعَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ عِلْمًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ مَالًا: فَهُوَ صَادِقُ النِّيَّةِ، يَقُولُ: لَوْ أَنَّ لِي مَالًا لَعَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ، فَهُوَ بِنِيَّتِهِ، فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ.
  3. وَعَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ عِلْمًا: فَهُوَ يَخْبِطُ فِي مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ، لَا يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَلَا يَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَلَا يَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَخْبَثِ الْمَنَازِلِ.
  4. وَعَبْدٍ لَمْ يَرْزُقْهُ اللَّهُ مَالًا وَلَا عِلْمًا: فَهُوَ يَقُولُ: لَوْ أَنَّ لِي مَالًا لَعَمِلْتُ فِيهِ بِعَمَلِ فُلَانٍ، فَهُوَ بِنِيَّتِهِ، فَوِزْرُهُمَا سَوَاءٌ.

“Sesungguhnya dunia itu milik empat golongan orang:

1. Hamba yang Allah ‎ﷻ kurniakan harta dan ilmu: Dia bertaqwa kepada Tuhannya, menyambung silaturahim, dan mengetahui hak Allah ‎ﷻ (zakat/sedekah). Inilah kedudukan yang paling mulia.

2. Hamba yang Allah ‎ﷻ kurniakan ilmu tetapi tidak diberi harta: Niatnya benar, dia berkata: ‘Kalaulah aku ada harta, aku akan buat seperti si fulan (golongan pertama)’. Maka dia mendapat pahala berdasarkan niatnya, dan pahala keduanya adalah sama.

3. Hamba yang Allah ‎ﷻ kurniakan harta tetapi tidak diberi ilmu: Dia menghabiskan hartanya tanpa ilmu (membabi buta), tidak bertaqwa, dan tidak menyambung silaturahim. Inilah kedudukan yang paling buruk.

4. Hamba yang tidak dikurniakan harta mahupun ilmu: Dia berkata: ‘Kalaulah aku ada harta, aku akan buat seperti si fulan (golongan ketiga)’. Maka dia mendapat dosa berdasarkan niatnya, dan dosa keduanya adalah sama.”

Syarah: Hadis ini menjadi dalil besar tentang kekuatan niat (The Power of Intent). Seseorang yang miskin harta namun memiliki “kekayaan niat” yang baik mampu menyamai pahala jutawan yang dermawan. Sebaliknya, orang yang miskin tetapi berangan-angan melakukan maksiat juga menanggung beban dosa yang berat.

Jadi sahabat yang kita sedangkan bincangkan ini jenis apa? Jenis yang baik yang patut kita contohi. Mereka hendak mendapat pahala banyak-banyak sebagaimana kalangan sahabat yang kaya juga supaya mereka dapat bersedekah dan dapat pahala banyak juga. وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. Mereka ini jenis orang yang tamak pahala dan ini adalah bagus. Kalau tamak harta tidak bagus sebaliknya tamak pahala sangat bagus. Maka Nabi ﷺ kata, bukankah Allah ‎ﷻ jadikan banyak kamu jalan lain untuk bersedekah? Maksudnya, ada jalan lain untuk bersedekah. Iaitu tasbih, tahmid, tahlil itu pun sedekah juga.


SADAQAH

Jadi, apa hakikat maksud sedekah? Ini yang menjadi perbincangan utama kita di sini. Bagaimana pula tasbih, tahlil, tahmid dan sebagainya itu dikira sebagai sedekah? Bukankah sedekah itu apabila kita bagi duit kepada orang? Maka untuk menjawab persoalan di sini kita kena bincangkan sadaqah itu, apakah maksudnya? Apakah kata asal bagi sadaqah?

Kata dasar bagi Sadaqah adalah ص د ق. Maksud asalnya adalah membenarkan. Maksudnya, apabila seseorang itu dia bersedekah, dia sebenarnya sedang menzahirkan keimanannya kepada Allah ﷻ kerana dia ‘membenarkan’ keimanannya kepada Allah ﷻ. Sadaqah tu maksudnya benar, jujur. Kenapa? Sebab orang yang keluarkan duit ini, tanda dia jujur iman dia kepada Allah ﷻ. Bukankah Allah ﷻ telah berfirman Tawbah:119

Kenapa kita kena menjadi orang yang benar? Begitulah jika kita belajar Akidah, kita akan belajar syarat kalimah La ilaha illa Allah, iaitu salah satu syaratnya ialah As-Siddiq. Yang bermaksud ‘Benar’. Lawan kepada ‘benar’ adalah Nifaq. Tanda iman seseorang itu benar kepada Allah ﷻ, dia akan melakukan amal kebaikan untuk membuktikan keimanannya kepada Allah ﷻ. Dan sadaqah itu adalah salah satu bukti tanda keimanan.

Dan bukankah kita telah pernah lalui satu hadis di dalam Hadis 40 ini juga sebelum ini (Hadis #23), Nabi kata,

Bukti apa? Bukti keimanannya. Sebab apa perlukan bukti dengan melakukan sedekah? Sebagai contoh kalau kita lihat sedekah di dalam bentuk wang ringgit, kenapa ia dipanggil sedekah? Sebab manusia ni secara fitrah dia cintakan harta. Maka orang yang sanggup bersedekah itu membuktikan imannya kerana dia percaya dengan janji-janji Allah ﷻ. Allah ﷻ ada berfirman di dalam Fajr:20

Allah ﷻ ada juga berfirman di dalam Aadiyat:8

Maka mengeluarkan wang dan beri kepada orang adalah satu perbuatan yang agak berat bagi kebanyakan manusia dan ia hanya dilakukan oleh mereka yang kuat imannya. Apabila percaya dengan janji Allah ﷻ, maka seorang Mukmin itu dapat mengeluarkan harta yang dia usahakan untuk diberikan kepada orang yang memerlukan. Untuk melakukan hal ini, dia kena lawan sifat bakhil yang ada di dalam dirinya. Bakhil ini adalah fitrah yang ada dalam diri manusia dan ia perlu dilawan. Rasulullah ﷺ telah pernah bersabda tentang bahayanya sifat bakhil ini,

Kenapa bakhil boleh membawa kepada berbunuhan? Para ulama seperti Imam al-Qurtubi dan Imam al-Nawawi رَحِمَهُمَا اللهُ menjelaskan hubung kait antara bakhil dan pembunuhan seperti berikut:

1. Ketamakan yang Melampau: Seseorang yang bakhil (dalam konteks Asy-Syuhh) bukan sahaja kedekut dengan hartanya, tetapi dia sangat tamak untuk memiliki harta orang lain.

2. Menghalalkan Cara: Apabila sifat tamak ini menguasai hati, dia akan merasakan orang lain sebagai penghalang. Maka, dia sanggup merompak, merampas, dan akhirnya membunuh demi mendapatkan harta atau kuasa.

3. Putus Silaturahim: Bakhil menyebabkan hak-hak orang lain (seperti zakat, nafkah, atau hutang) tidak ditunaikan. Ini menimbulkan dendam dan kebencian dalam masyarakat yang akhirnya meletus menjadi peperangan dan pembunuhan.

Jadi sekarang kita boleh nampak bahayanya apabila terlalu cinta kepada harta dan ada sifat bakhil di dalam hati. Mungkin kita tidak sampai ke tahap sampai bunuh orang, namun kalau tidak sampai ke situ pun, tentu ada sifat-sifat buruk yang akan ada dalam diri. Kerana itulah Allah ‎ﷻ banyak menyebut tentang hakikat dunia yang tidak bernilai supaya manusia tidaklah sayang sangat kepada dunia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Muhammad:36-37

Perhatikan di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita semua hakikat dunia: لَعِبٌ وَلَهۡوٌ (permainan dan hiburan) sahaja. Maka jangan kita kejar sangat dunia, jangan kita cinta sangat dunia. Jangan kerana sayang sangat kepada dunia, kita kikir/kedekut/bakhil. Kemudian Allah ‎ﷻ sebut sifat manusia, yang kalau Allah ‎ﷻ minta sedekah daripada mereka, mereka akan marah dan تَبۡخَلُواْ (mereka menjadi bakhil, kedekut). Maka janganlah kita termasuk ke dalam golongan munafik ini yang berat tangan mereka daripada melakukan sedekah.

Jadi hadis ini mengajar kita bahawa sedekah itu bukan hanya dalam bentuk harta dan wang ringgit, akan tetapi segala amalan yang baik. Rasulullah ﷺ ada bersabda,

Penjelasan para ulama menyatakan bahawa “ma‘ruf” merangkumi segala bentuk kebaikan, bantuan, pertolongan, kata-kata yang baik, menahan diri daripada kejahatan, dan apa sahaja yang memberi manfaat kepada orang lain. Ibn Battal menjelaskan: “Perbuatan baik dianjurkan, dan hadis ini menunjukkan bahawa setiap kebaikan adalah sedekah di sisi Allah, walaupun sedikit, kerana sabda Nabi ﷺ: ‘Setiap kebaikan adalah sedekah.’”

Contoh-contoh kebaikan yang disebut dalam hadis-hadis lain termasuk:

  • Mengucapkan kata-kata yang baik
  • Membantu orang lain
  • Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat
  • Menahan diri daripada melakukan kejahatan
  • Menghilangkan halangan di jalan
  • Senyum kepada orang lain
  • Membantu orang yang memerlukan

Sesetengah ulama mengatakan amal kebaikan yang dikira sebagai sedekah ini hanya dapat pahala jikalau ada niat ketika melakukannya. Mereka berpendapat sebegini berdasarkan kepada hadis yang masyhur إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

Contoh: Anda mengalih dahan pokok di jalan.

  • Jika niat supaya orang tidak kemalangan kerana Allah: Dapat pahala sedekah.
  • Jika buat secara spontan tanpa fikir apa-apa (adat): Dapat manfaat dunia (jalan bersih), tetapi belum tentu ada pahala akhirat.

Akan tetapi bagi orang yang sudah melatih diri dengan Taqwa, niat mereka sering kali menjadi “automatik”. Ini kerana setiap nafas dan langkah mereka sudah diwakafkan untuk Allah ‎ﷻ, maka setiap kebaikan yang mereka lakukan secara spontan tetap akan dikira sebagai sedekah oleh Allah yang Maha Mengetahui. Ada pandangan ulama (seperti Imam Al-Ghazali) yang menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai peribadi yang mulia, dan dia melakukan kebaikan tanpa sempat berfikir panjang (kerana ia sudah menjadi tabiatnya), Allah ‎ﷻ tetap memberikan ganjaran kepadanya atas dasar rahmat-Nya. Namun, untuk memaksimakan pahala sedekah tersebut, kita diajar untuk sentiasa “menghadirkan hati” (Ihdhar al-Qalb).

Jadi sedekah ini adalah amalan yang umum, tidak perlu berniat sebelum melakukannya juga akan dapat pahala. Kita beri kepada orang yang meminta atau tidak, memerlukan atau tidak, in sha Allah akan diberikan dengan pahala.

Sedekah ini Allah ‎ﷻ pun ada beri kepada kita juga. Perhatikan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ya’la bin Umayyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ketika beliau bertanya kepada Saidina Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang memendekkan solat (qasar) jika kamu takut diserang (Nisa:101). Ya’la رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya: “Kenapa kita masih qasar sedangkan sekarang kita sudah dalam keadaan aman (tidak takut)?”. Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab bahawa beliau juga pernah bertanya perkara yang sama kepada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda ﷺ bersabda:

Ia dikira sebagai صَدَقَةٌ kerana ia adalah keringanan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada para musafir. Ini kerana semasa di dalam perjalanan, ada kesukaran yang dialami. Malah ada banyak lagi keringanan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali رَحِمَهُ اللَّهُ, sedekah yang tidak melibatkan harta terbahagi kepada dua jenis:

1. Sedekah yang manfaatnya sampai kepada orang lain, seperti berbuat baik kepada sesama manusia. Contohnya termasuk amar makruf (menyuruh kepada kebaikan), nahi mungkar (mencegah kemungkaran), mengajar ilmu yang bermanfaat, menghilangkan gangguan di jalan, berusaha membawa manfaat kepada orang lain, mendoakan dan memohon ampun untuk kaum Muslimin. Ibn Rajab رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan bahawa jenis sedekah ini kadang-kadang lebih utama daripada sedekah dengan harta kerana ia melibatkan usaha mengajak kepada ketaatan dan mencegah maksiat, yang lebih besar manfaatnya daripada sekadar memberi harta.

2. Sedekah yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri. Jenis kedua ialah sedekah yang manfaatnya hanya untuk pelakunya sendiri, seperti berzikir (bertasbih, bertakbir, bertahmid, bertahlil, beristighfar), berjalan ke masjid, dan amalan-amalan seumpamanya. Amalan-amalan ini juga dianggap sebagai sedekah walaupun tidak melibatkan pemberian kepada orang lain, kerana ia adalah bentuk kebaikan yang mendatangkan pahala kepada pelakunya

Jadi ruang lingkup sedekah amat luas. Kalau mengajar itu sedekah, menulis ilmu pun sedekah juga untuk orang ramai. Malah kalau senyum pun dikira sebagai sedekah. Daripada Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

Kenapakah perbuatan sekecil senyum pun dikira sedekah? Sebab apa? Sebab apabila senyuman itu sampai kepada orang lain, ia boleh menyejukkan hati orang lain. Jadi senyum juga adalah sedekah. Maksudnya reaksi muka yang menjadikan orang lain sejuk hati pun adalah sesuatu yang baik kerana ia menggembirakan hati orang lain. Bukan itu sahaja, kalau orang tengah buat lawak, seeloknya kita gelak walaupun kita rasa tak lawak pun. Ini pun dikira sedekah kerana perkara itu menyejukkan hati orang itu. Tentu dia sedih kalau kita tidak terkesan dengan lawak dia, bukan? Kemudian kalau seseorang tengah cerita sedih, kita jangan gelak pula! Yang dikira sedekah adalah kalau kita pun menunjukkan kita pun sedih juga. Jadi kebaikan adalah menyampaikan kebaikan kepada seseorang walaupun dengan reaksi muka kita.

Kalau kita sedang duduk-duduk dengan kawan kita dan kita tahu yang kalau kita meninggalkan mereka, kita sudah tahu yang mereka akan cakap benda mengarut atau buat benda tak elok. Jadi di dalam keadaan itu, kalau kita terus duduk dengan mereka supaya mereka terus beradab (kerana mungkin segan dengan kita), maka itu pun adalah kebaikan juga yang dikira sebagai sedekah.

Kadangkala perkara yang kita lakukan kerana kewajipan kita pun boleh dapat pahala. Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

Kalau kita tanam pokok dan nanti dimanfaatkan oleh manusia dan binatang selepas kita pun dikira sedekah juga walaupun kita tidak ada niat pun untuk bersedekah. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:


TASBIH, TAKBIR, TAHMID & TAHLIL

Maka kita telah jelaskan maksud sadaqah yang sebenarnya iaitu membenarkan iman kita. Jadi ia bukanlah terhad kepada sedekah harta wang ringgit sahaja. Kerana itu kemudian Nabi kata, tasbih tu sadaqah. Ini yang memerlukan penjelasan kerana kalau faham sadaqah itu hanya beri duit sahaja, maka ini akan menyebabkan kekeliruan. Dan rasanya ramai keliru kerana tidak mahir tentang penggunaan bahasa Arab melainkan hanya pakai fahaman yang biasa dalam bahasa Melayu sahaja iaitu kalau sedekah itu mesti bab duit punya.

Sebenarnya perbuatan tasbih dan zikrullah yang lain semua membenarkan iman seseorang. Kadang-kadang seseorang melakukan zikir seorang diri sahaja di rumah, dalam kereta, bersendirian dan juga di khalayak ramai, bukan kerana apa tapi kerana hendak mengingati Allah semata-mata. Tanpa ada sesiapa pun yang memerhatikannya dan menyuruhnya melakukan perkara itu tapi dia buat kerana dia ada iman. Bukankah itu tanda dia beriman benar-benar kepada Allah Subhanahu wa ta’ala?

Ibnu Qayyim menyatakan bahawa orang munafiq itu sangat jarang mengingati Allah. Beliau menyandarkan pandangan ini pada firman Allah dalam Nisa’:142

Di dalam hadis yang lain, ada disebut bilangan Tasbih, Tahmid & Takbir.


Maka, Ibnu Qayyim menjelaskan: “Sesiapa yang banyak mengingati Allah, maka dia akan terlepas daripada sifat nifaq.” Logiknya mudah: Sifat nifaq dibina di atas kelalaian kepada Allah. Apabila hati sentiasa basah dengan zikir, ruang untuk nifaq bertapak akan tertutup. Dan nifak itu lawan kepada siddiq, jujur. Nifak itu sifatnya menipu. Sebab itulah kita kata tasbih itu sadaqah yang membuktikan keimanan kita.

Dan yang dimaksudkan di sini adalah tasbih dan zikir kita seorang diri, bukannya ramai-ramai dalam majlis yang ramai orang. Itu amalan bid’ah kerana zikir bukannya dilakukan beramai-ramai dengan satu suara. Ini kita banyak bincangkan di dalam bab amalan bid’ah dan boleh rujuk perbincangan itu kerana ramai dari kalangan orang kita masih tak faham-faham lagi bab bid’ah ini. Tambahan pula zikir ini adalah untuk hati kita dan minda kita, jadi kita kena hadir hati kita semasa menyebutnya. Kalaulah kita buat berjemaah, akan hilanglah kehadiran hati ini. Anda akan lebih hendak menghabiskan zikir itu sahaja mengikut orang lain. Sedangkan kalau anda sedang zikir seorang diri dan tiba-tiba anda teringat kunci kereta entah letak di mana, anda boleh berhenti zikir cari kunci dan kemudian sambung balik. Tidaklah anda terus melayan mana kunci aku tapi mulut sebut kalimah zikir tanda hadir hati.

Salah satu kelebihan utama zikir ialah ia boleh diamalkan pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan, tanpa terikat dengan waktu atau tempat tertentu. Ini berdasarkan hadis daripada Saidatina Aisyah :

Al-Qur’an juga memuji orang yang sentiasa berzikir di dalam semua keadaan di dalam Ali Imran:191

1. Tidak Terikat Waktu atau Tempat. Zikir adalah ibadah yang tidak terhad kepada waktu tertentu, kecuali beberapa zikir yang memang disyariatkan pada waktu tertentu seperti selepas solat atau waktu pagi dan petang. Namun, secara umumnya, zikir boleh dilakukan sepanjang hari dan malam. Jadi boleh dilakukan ketika bekerja, memandu, berjalan dan sebagainya. Kalau ibadah lain, ia terhad seperti solat yang ketika itu tidak boleh buat perkara lain lagi. Sedangkan semua ibadah ada elemen zikir di dalamnya. Jadi, zikir ini adalah ibadat yang Allah bagi kepada semua orang.

2. Mendekatkan Diri kepada Allah. Zikir yang berterusan menjadikan hati sentiasa dekat dengan Allah dan menenangkan jiwa seperti disebut di dalam Ra’d:28

3. Menghapuskan Dosa dan Menambah Pahala. Zikir yang dilakukan pada bila-bila masa menjadi sebab pengampunan dosa dan penambahan pahala, sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

4. Melindungi dari Gangguan Syaitan. Orang yang sentiasa berzikir akan dijauhkan daripada gangguan syaitan dan dilindungi oleh rahmat Allah.

5. Mudah Diamalkan oleh Semua Golongan. Zikir tidak memerlukan syarat khusus seperti wuduk, tempat tertentu, atau waktu tertentu. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja, dan pada bila-bila masa, kecuali di tempat yang dilarang seperti tandas.

Kenapa zikrullah ini diberikan pahala yang besar? Kerana ia tidak mudah walaupun ia tidak memerlukan modal dan boleh dilakukan bila-bila masa. Kerana susah untuk kita istiqamah untuk melakukannya. Kadangkala kita sudah belajar tentang zikir, maka kita teringin hendak memperbanyakkan sedekah. Akan tetapi syaitan akan sentiasa cucuk kepala otak dia. Jadi dia akan jadi bosan untuk meneruskan. Hari pertama dan kedua mungkin boleh buat, tapi masuk hari ketiga otak dia sudah penat. Maka bagi mereka yang istiqamah, maka pahala yang banyak akan menjadi milik mereka.

Kerana zikir ini bukan sahaja pada mulut, tapi mereka hadir hati dan fikiran pun kena fikirkan bersama. Kena faham maksud zikir kita itu. Para ulama menegaskan bahawa zikir yang paling utama dan memberi kesan ialah apabila hati hadir bersama lisan. Imam al-Nawawi menyatakan: “Tujuan utama dari zikir ialah hadirnya hati, maka hendaklah itu menjadi matlamat orang yang berzikir, berusaha untuk mencapainya, dan memahami maknanya”. Zikir dengan lisan sahaja tanpa kehadiran hati adalah kurang manfaatnya, seperti disebut oleh Sheikh Saud al-Shuraim: “Zikir dengan lisan dan hati lalai adalah kurang faedahnya… dan kehadiran hati dalam zikir adalah syarat utama untuk mendapat kesan dan pahala yang sempurna”.

Sebahagian ulama seperti Ibn Hajar menyatakan bahawa zikir dengan lisan tetap mendapat pahala, tetapi jika disertai dengan kehadiran hati, pahalanya jauh lebih besar dan kesannya lebih mendalam. Zikir yang dilakukan dengan hati sahaja juga mempunyai keutamaan, terutama jika melibatkan tafakur dan penghayatan makna kebesaran Allah. Kesimpulannya, zikir yang sempurna dan paling utama ialah apabila lisan dan hati hadir bersama, memahami dan menghayati makna zikir tersebut. Zikir tanpa kehadiran hati adalah kurang sempurna dan kurang memberi kesan kepada jiwa. Ini kerana tujuan zikir itu adalah untuk melatih jiwa kita. Jadi kalau orang tarekat baca sampai beribu-ribu zikir tapi cakap dengan laju, bunyi pun sudah jadi apa pun kita tidak tahu, ia adalah sia-sia. Memang mereka berzikir banyak, tapi adakah ia memberi kesan kepada hati?

Lagi satu para ulama menegaskan bahawa zikir adalah ibadah yang bersifat tawqifi, iaitu mesti mengikut lafaz dan cara yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ tanpa penambahan, pengurangan, atau perubahan. Ini kerana lafaz-lafaz zikir yang diajarkan oleh Nabi ﷺ adalah khusus dan mempunyai maksud tertentu yang dikehendaki syarak. Abdullah bin Mani’ Ruqi menyatakan: “Asal dalam zikir ialah mesti dilakukan dengan lafaznya tanpa penambahan, pengurangan atau perubahan, kerana lafaz syarak itu dimaksudkan untuk beribadah dengannya, dan ini akan hilang jika berlaku perubahan, kerana zikir adalah ibadah yang bersifat tawqifi”.

Ulama juga menegaskan bahawa mencipta zikir baru atau mengubah lafaz zikir yang diajar Nabi ﷺ adalah satu bentuk bid‘ah yang ditegah. Muhammad bin Abdullah Bajsir berkata: “Semua ibadah seperti zikir dan selainnya adalah bersifat tawqifi, tidak boleh diubah atau direka-reka, bahkan wajib berpegang dengan sunnah Nabi ﷺ, kerana baginda tidak berbicara mengikut hawa nafsu. Mengada-adakan sesuatu dalam agama adalah satu bentuk pencerobohan terhadap hak Allah dalam pensyariatan”.

Malah kita kena ikut bilangan dan waktu yang Nabi ajar zikir itu. Ada sesetengah zikir Nabi sebut bilangan dan bila dilakukan. Ada yang 33, ada yang 10, 100 dan lain-lain lagi. Ada yang dibaca pagi, ada yang petang, malam dan sebagainya. Maka kita ikutlah sebagaimana yang diajar Nabi. Kalau kita makan ubat, mesti kita ikut arahan doktor, bukan? Kerana ada ubat dimakan setiap jam, ada yang dimakan sebelum makan dan ada yang selepas makan. Kalau arahan doktor kita boleh ikut, kenapa tak boleh ikut apa yang Nabi sudah suruh kita tetapkan? Ini kerana kita tidak tahu Allah hendak kita puji Dia macam mana? Maka yang paling tahu adalah Rasulullah, maka kerana itu kita kena ikut apa yang Nabi sudah beritahu. Kalau zikir yang tak disebut bilangan, maka terpulang kepada kita untuk mengulang-ngulangnya ikut kehendak kita.

Jadi kita telah melihat kepentingan zikir dari sisi kebenaran. Dilihat pada sisi kedua pula, maksud sadaqah ialah menyampaikan kebaikan kepada orang lain. Mungkin ada yang bertanya: “Ustaz, macam mana pula orang bertasbih menyampaikan kebaikan kepada orang lain?” Jawapan: Bukankah apabila kita bertasbih, bila kita bertahmid, bila kita takbir, bila kita istighfar, bila kita sebut La ilaha illallah, maka Allah Ta’ala akan memberkati bumi ini, memberkati tempat kita berjalan, memberkati rezeki kita, dan menurunkan rezeki dengan lebih banyak, betul tak? Lihat firman Allah di dalam Nuh:10-12

Perhatikan, apabila kita zikir istighfar seperti yang diajar oleh Nabi Nuh ini, Allah akan turunkan hujan. Dan apabila hujan turun, siapa yang akan dapat kebaikan? Adakah orang itu sahaja? Tentu tidak, bukan? Kerana masyarakat sekitar pun akan dapat nikmat juga.

Allah Ta’ala juga ada berfirman di dalam Ibrahim:7

Jadi kita bersyukur dengan mengucapkan zikir Alhamdulillah. Dan setelah kita mengucapnya dengan hati yang ikhlas, maka Allah akan tambah kebaikan. Dan tambahan kebaikan akan turun kepada negeri dia, kepada kampung dia, kepada sekalian makhluk, bukan hanya manusia dan binatang. Kemudian kita pun mungkin pernah dengar satu hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Berdasarkan hadis ini, kata Ibnu Taimiyyah rahimahullahu ta’ala, selagi di muka bumi itu ada orang mengingati Allah, maka takkan berlaku hari kiamat. Bukankah itu juga sadaqah yang menyampaikan kebaikan kepada orang lain?

Cuma hadis ini memerlukan penjelasan kerana ramai yang salah faham. Majoriti ulama tafsir dan hadis menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak ada lagi orang yang berzikir dan mengingati Allah di atas muka bumi.” Ia bukan dalil khusus yang membenarkan atau menganjurkan zikir dengan lafaz “Allah” secara tunggal, tetapi menunjukkan bahawa di akhir zaman, tiada lagi orang yang beriman dan menyebut nama Allah. Jadi jangan zikir: Allah…Allah…Allah…Allah…Allah… tapi zikirlah dengan penuh. Carilah zikir yang sahih dari Nabi, jangan ikut cakap ustaz yang tak tentu hala.

Ibn Taimiyyah dan ramai ulama menyatakan: “الذكر بالاسم المفرد مظهرا ومضمرا بدعة في الشرع، وخطأ في القول واللغة فإن الاسم المجرد ليس هو كلاما لا إيمانا ولا كفرا.” (Zikir dengan nama Allah secara tunggal adalah bid’ah dalam syariat, dan salah dalam bahasa, kerana nama tunggal bukanlah ucapan yang sempurna, bukan iman dan bukan kufur). Maknanya kalau sebut sahaja ‘Allah’ kemudian tidak disertai dengan Allah itu Maha Besar, Segala puji bagi Allah… maka ia tidak lengkap dan Nabi tidak pernah ajar zikir sebegini.

Sebahagian ulama sufi membenarkan zikir dengan lafaz “Allah” secara tunggal, dan menganggapnya sebagai zikir yang tinggi, tetapi pandangan ini tidak disokong oleh dalil yang jelas dari Nabi ﷺ atau para sahabat. Maka oleh kerana itu, pandangan mereka ini kita tolak.

Ulama’ ada berbincang, antara Tasbih (ucapan Subhanallah) dan Tahmid (ucapan Alhamdulillah), mana lagi besar? Tasbih, mensucikan Allah Ta’ala. Tahmid, memuji Allah Ta’ala. Tahmid, asasnya adalah ithbat (penetapan). Apabila kita beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mesti ada dua rukun iman kepada Allah. Bila kita beriman dengan nama-nama Allah SWT, dia mesti tak akan lari daripada dua benda ini iaitu mesti ada nafi, mesti ada ithbat. Menafikan itu maksudnya menafikan segala sifat kekurangan dari Allah. Ithbat pula menetapkan segala sifat-sifat yang sempurna hanya bagi Allah. Apabila kita melakukan Tasbih, kita sebenarnya sedang melakukan perbuatan Nafi. Apabila kita melakukan Tahmid, kita sedang melakukan Ithbat. Dan kita tidak akan memuji Allah melainkan kerana Allah Ta’ala itu mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Kemudian kita puji Allah kerana Dia ciptakan alam, Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Indah, Maha Berkuasa, dan segala maha yang lain.

Kemudian di dalam Al-Qur’an, apabila menyebut tentang Allah, lagi banyak nafi atau lagi banyak ithbat? Menetapkan sifat Allah lagi banyak seperti disebut sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, Al-Qudus, As-Salam, Al-Mu’min, Al-Muhaimin, Al-Aziz, Al-Hakim, Alim, Al-Halim, Halim, Al-Ghafur. Aziz, Al-Hakimah. Ayat-ayat Al-Qur’an lagi banyak menetapkan sifat-sifat Allah yang sempurna dan ithbat itu datang dalam Al-Qur’an secara mufassal (secara khusus) dan ayat-ayat penafian hanya datang kebanyakannya dalam bentuk umum sahaja. Dan kalau kita perhatikan, nas-nas penafian tidak banyak, antaranya ayat-ayat seperti, وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya) dan seperti لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَىۡءٌ (Tiada sesuatu pun yang sebanding denganNya).

Jadi sebenarnya tidak banyak ayat-ayat penafian melainkan secara umum sahaja. Akan tetapi ayat-ayat ithbat lebih banyak dan ia disebut secara spesifik. Oleh kerana itu ulama’ mengatakan tahmid lagi besar dan antara sebabnya adalah seperti yang telah disebut. Akan tetapi dua-dua perkara ini penting dan kerana itulah kalau kita perhatikan, dalam zikir-zikir Nabi selalunya datang dua-dua sekali, tasbih dan tahmid. Ini supaya kita ada penafian dan juga ithbat.


Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Yang ini lagilah jelas elemen sadaqah padanya. Ini kerana dengan melakukannya kita akan menyampaikan kebaikan kepada orang lain. Amar Ma’ruf Nahi Munkar (memerintah kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah salah satu prinsip utama dalam Islam dan dianggap sebagai kewajipan bagi setiap Muslim. Terdapat banyak dalil dari Al-Qur’an dan hadis yang menegaskan kepentingan dan kewajipan ini.


MEMUASKAN PASANGAN

Dan setiap pada kemaluan itu juga adalah sadaqah. Ini adalah urusan menyempurnakan hak diri dan hak isteri. Ini adalah apabila kita berseronok-seronok dengan pasangan kita dan memuaskan mereka. Hubungan suami isteri yang dilakukan secara halal boleh menjadi ibadah dan mendapat pahala, bukan semata-mata kerana niat untuk mendapat anak, tetapi juga kerana niat-niat baik lain seperti menjaga kehormatan diri dan pasangan, memenuhi hak pasangan, dan menghindari maksiat. Memang tubuh kita ada hak ke atas kita seperti sabda Rasulullah, yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA: Nabi Muhammad ﷺ masuk menjumpai aku (Abdullah bin ‘Amr) lalu Baginda bersabda:

Dan kalau kita baca kitab-kitab fiqh, memang terdapat perbincangan berkenaan dengan menambahkan keseronokan ketika bersama. Cuma tidak manislah jikalau kita membincangkan secara terperinci pula bagaimana hendak menambahkan keseronokan ketika bersama. Perkara ini boleh dipelajari sendiri dan bawa berbincang dengan pasangan masing-masing, apakah yang mereka suka. Asalkan ia halal dan tidak melanggar syariat, maka dipersilakan.

Penjelasan para ulama, seperti yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi dan Ibnu Utsaimin, hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan mubah (seperti hubungan suami isteri) boleh menjadi ibadah dan bernilai sedekah jika diniatkan untuk menjaga diri dari yang haram, memenuhi hak isteri, atau mencari keturunan yang saleh.

Para ulama telah mengajarkan beberapa prinsip dan adab penting dalam usaha memuaskan pasangan dalam hubungan suami isteri, baik dari aspek fizikal, emosi, mahupun spiritual. Berikut adalah antara ajaran utama yang ditekankan:

1. Mengutamakan Hak dan Keseimbangan. Islam menekankan bahawa kedua-dua suami dan isteri mempunyai hak untuk dipuaskan dan diberi perhatian dalam hubungan intim. Allah berfirman di dalam Baqarah:228 ولهن مثل الذي عليهن بالمعروف (Dan bagi mereka (isteri-isteri) hak yang seimbang dengan kewajipan mereka menurut cara yang makruf”. Ulama seperti Ibn Abbas menyatakan: “Aku suka untuk berhias diri kepada isteriku sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku”.

2. Mendahulukan Adab dan Akhlak. Hubungan suami isteri haruslah berlandaskan akhlak yang baik, kelembutan, dan saling menghormati. Dianjurkan agar suami dan isteri saling berlemah-lembut, bermesra, dan menjaga penampilan serta kebersihan diri untuk menarik hati pasangan . Rasulullah ﷺ bersabda: «استوصوا بالنساء خيرا» (“Berbuat baiklah kepada wanita”).

3. Mendahulukan Foreplay dan Memahami Keperluan Pasangan. Ulama menasihatkan agar suami tidak bersikap “kaku” atau tergesa-gesa dalam hubungan intim, tetapi perlu memulakan dengan foreplay seperti bermesra, berciuman, dan memuji pasangan agar kedua-duanya mencapai kepuasan. “Islam mengajar agar lelaki tidak menjalani hubungan seksual secara kering dan kaku, tetapi mencipta suasana yang membangkitkan keinginan dan menghormati keperluan pasangan”.

4. Tidak Mengabaikan Keperluan Emosi dan Psikologi. Memuaskan pasangan bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga emosi dan psikologi. Suami dan isteri dianjurkan untuk saling berkomunikasi, berkasih sayang, dan saling memahami perasaan serta keinginan masing-masing.

5. Menjaga Adab dan Privasi. Ulama menekankan agar hubungan intim dilakukan dengan menjaga privasi, tidak di hadapan orang lain, dan tidak menceritakan hal-hal yang berlaku di kamar kepada orang lain.

6. Memenuhi Kewajipan Seksual. Suami wajib memenuhi keperluan seksual isteri, dan isteri wajib memenuhi keperluan suami, kecuali ada uzur syar’i. Jika suami atau isteri mengabaikan hak ini tanpa sebab yang sah, ia dianggap berdosa.

7. Menghindari Perkara yang Dilarang. Dilarang melakukan hubungan ketika haid, nifas, atau di tempat yang tidak dibenarkan syarak (seperti dubur).

8. Berhias dan Berwangi-wangian. Disunnahkan untuk berhias dan memakai wangian sebelum bersama, sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah.

9. Bermesra dan Bermain-main. Dianjurkan untuk bermesra, bermain-main, dan saling memuji agar hubungan menjadi lebih mesra dan membahagiakan.

10. Berdoa dan Berniat Baik. Disarankan untuk berdoa sebelum bersama dan berniat untuk menjaga diri dan pasangan dari perkara haram serta mendapatkan keturunan yang soleh.

Ini termasuk di dalam bab “Idkhal al-Surur” (memasukkan kegembiraan) ke dalam hati orang lain. Ia dianjurkan di dalam Islam dan ini adalah sangat indah kerana ia sesuatu yang menggembirakan kita dan menggembirakan orang lain. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Dan memang kita tidak rugi pun apabila melakukannya, malah ia akan memberi timbal balas yang baik kepada kita. Apabila anda membantu atau menggembirakan orang lain, otak anda sebenarnya berfungsi seperti sebuah “kilang farmasi” semulajadi. Fenomena ini sering dipanggil oleh pakar psikologi sebagai “Helper’s High”. Berikut adalah 4 “bahan kimia kebahagiaan” (neurotransmitter) utama yang dirembeskan:

1. Oksitosin (Hormon Kasih Sayang)

Inilah bahan kimia yang paling utama dirembeskan semasa kita berinteraksi secara positif dengan orang lain.

  • Fungsinya: Membina rasa percaya, empati, dan mengeratkan hubungan sosial.
  • Kesan: Ia mengurangkan tahap stres dan melindungi jantung dengan melepaskan nitrik oksida yang membantu mengembangkan saluran darah (mengurangkan tekanan darah).

2. Dopamin (Hormon Ganjaran)

Apabila anda melihat reaksi gembira orang yang dibantu, otak anda melepaskan dopamin ke dalam sistem reward (ganjaran).

  • Fungsinya: Memberikan rasa kepuasan dan pencapaian.
  • Kesan: Ia membuatkan anda merasa “ketagih” untuk melakukan kebaikan lagi. Inilah yang menyebabkan perasaan euphoria selepas melakukan aktiviti sukarelawan.

3. Serotonin (Hormon Penstabil Mood)

Membantu orang lain akan meningkatkan rasa “harga diri” dan maruah diri kita.

  • Fungsinya: Mengatur mood, tidur, dan selera makan.
  • Kesan: Tahap serotonin yang tinggi membantu melawan kemurungan dan membuatkan anda merasa lebih tenang serta dihargai dalam komuniti.

4. Endorfin (Penahan Sakit Semulajadi)

Aktiviti menolong orang yang memerlukan (terutama yang melibatkan tenaga fizikal atau emosi yang mendalam) boleh merangsang pelepasan endorfin.

  • Fungsinya: Menghilangkan rasa sakit fizikal dan mengurangkan kegelisahan (anxiety).
  • Kesan: Ia memberikan perasaan tenang dan “ringan” pada badan.

Hubungan dengan Hadis “Idkhal al-Surur”: Secara sains, hadis Nabi SAW tentang menggembirakan orang lain adalah ubat yang paling mujarab untuk kesihatan mental diri kita sendiri. Apabila Nabi SAW bersabda bahawa ia adalah sedekah, secara biologinya, badan kita sedang menerima “bayaran” dalam bentuk hormon-hormon di atas yang memanjangkan umur dan menyihatkan jantung.


PERKARA ADAT BOLEH DAPAT PAHALA

Para sahabat kepelikan, bagaimana mereka bersedap-sedapan dengan para isteri mereka boleh dapat pahala pula? Jadi, mereka bertanya, “Ya Rasulullah, masakan dikatakan berpahala seorang itu orang yang menyalurkan syahawatnya.” Jadi, para sahabat faham bahawa menyalurkan syahawat ini asalnya perkara yang harus. Maknanya mereka faham yang ianya boleh dilakukan, akan tetapi, mereka sangka ia suatu kebenaran untuk melampiaskan nafsu sahaja. Mereka tidak langsung sangka yang ia ada ganjaran. Maka Rasulullah menjelaskan yang kerana mereka melakukannya pada tempat yang halal, maka mereka akan dapat pahala.

Maka di sini, kita dapat satu kaedah dalam agama iaitu perkara adat (yang dilakukan setiap hari di dalam kehidupan manusia) ini hukumnya harus. Tetapi, jika seseorang itu menjalankan adat kehidupan itu menurut perintah syarak, dia akan mendapat pahala. Sebagai contoh, kita lihat satu perkara yang kita lakukan setiap hari iaitu makan. Ia adalah perkara yang harus di dalam syarak. Tetapi, kalau dia makan dengan ikut cara syarak, sebagai contoh dia berusaha mencari makanan yang halal, maka dia akan mendapat pahala. Ini kerana mencari makanan yang halal itu adalah ibadah dan kerana ia dikira sebagai ibadah, maka ia akan diberikan pahala. Dan apabila dia makan dengan tangan kanan kerana mengikut perintah Nabi, maka itu pun akan diberikan dengan pahala. Kemudian, dia memulakan memakan itu dengan baca bismillah, ini dapat pahala lagi. Kemudian, setelah selesai makan dia pun mengucapkan Alhamdulillah, dapat pahala lagi.


KELEBIHAN ORANG KAYA YANG BERAMAL

Hadis ni, Kalau kita tengok riwayat lain ada sambungannya. Selepas para sahabat yang miskin itu mendapat ajaran dari Rasulullah ini maka mereka pun beramallah dengannya. Kemudian, rupa-rupanya hadis ini pun sampai juga kepada golongan orang kaya, yang dikatakan banyak sedekah itu. Lalu mereka pun memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil, dan takbir. Lalu golongan sahabat yang miskin itu datang sekali jumpa Rasulullah dan mengadu: “Wahai Rasulullah, saudara-saudara kami yang kaya itu mendengar apa yang kami buat (zikir tersebut), lalu mereka pun buat perkara yang sama!” Maka Nabi SAW bersabda:

Al-Imam Ibn Qayyim berkata, daripada kisah ini, ulama’ bincang lagi mana lagi bagus, Al-Faqir Al-Sabir (Orang fakir yang bersabar) atau Al-Ghani Al-Muhtasib (orang yang kaya dan mengharapkan ganjaran dengan amalan solehnya)? Kita pun pernah dengar hadis yang menyebut orang kaya masuk syurga lewat 500 tahun, bukan? Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Al-Imam Ibn Qayyim sebut pertama sekali bukan ukuran sama ada kaya atau miskin. Ukuran pertama sekali adalah siapa yang lebih bertakwa. Kalau orang yang kaya itu lebih bertakwa, maka dia lagi afdhal lagi dari orang yang miskin itu. Sekarang katakanlah ketakwaan mereka sama, sesetengah ulama’ yang kaya lagi afdhal berdasarkan berapa hadith. Yang pertama hadith yang kita baca sekarang inilah. Yang kedua adalah hadith,

Maksud Setiap Sifat:

  • Al-Taqi (Bertaqwa): Seseorang yang menjaga hubungannya dengan Allah, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan. Ini adalah tunjang utama.
  • Al-Ghani (Kaya): Para ulama (seperti Imam Al-Nawawi) menjelaskan bahawa “Kaya” di sini mempunyai dua maksud:
    • Kaya Jiwa (Ghaniyyun Nafsi): Merasa cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan tidak meminta-minta kepada manusia.
    • Kaya Harta: Mempunyai harta yang halal dan digunakan untuk mencukupkan keperluan keluarga serta membantu orang lain (sedekah).
  • Al-Khafi (Tersembunyi): Seseorang yang tidak suka menunjuk-nunjuk (ikhlas). Dia melakukan kebaikan tanpa mahu dikenali atau dipuji oleh manusia.

Yang ketiga, kerana berdasarkan apa yang ada pada sahabat-sahabat yang agung, seperti Abu Bakr as-Siddiq, dia seorang peniaga; begitu juga Uthman bin Affan, Abdur Rahman bin Auf, Az-Zubair bin Al-Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Sa’ad bin Abi Waqqas dan seumpama dengannya. Mereka ini adalah sebahagian daripada Al-Asyara al-Mubasysyaruna bil Jannah (10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga). Maknanya kalau mereka itu kebanyakannya orang yang berharta, berniaga, itu menunjukkan bahawa kekayaan itu tidak menjatuhkan kehidupan dia.

Habis itu macam mana pula dengan hadith yang 500 tahun lewat masuk syurga itu? Kata Ibn Qayyim lebih lambat masuknya mereka itu ke dalam syurga, bukanlah bermaksud mereka lebih rendah kedudukannya di dalam syurga. Keadaan orang miskin itu lebih cepat masuk ke syurga, tidaklah menunjukkan bahawa mereka itu lebih tinggi kedudukannya di dalam syurga. Yang jadi lambat kerana audit dia lambat sikit. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Barzah Al-Aslami RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

Bagaimana pula dengan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW berdoa:

Adakah hadis ini bermaksud Nabi minta jadi miskin? Jawapannya tidak. Maksud hadith itu Nabi bukanlah minta jadi miskin kerana tiada harta tetapi baginda minta hidup seperti kehidupannya orang miskin. Nabi SAW banyak harta tetapi Nabi memilih untuk hidup sebagai orang yang sederhana. Para ulama (seperti Imam Ibn al-Athir dan Imam al-Munawi) menjelaskan maksud “Miskin” di sini:

Miskin Hati (Tawadhu’): Bukanlah bermaksud fakir harta yang meminta-minta, tetapi jiwa yang sentiasa merasa rendah diri, tidak sombong, dan sentiasa merasa berhajat kepada Allah.

Menghindari Kesombongan Orang Kaya: Orang yang kaya sering terdedah kepada sifat thughyan (melampaui batas). Nabi SAW memohon agar baginda dijauhkan daripada gaya hidup mewah yang boleh melalaikan hati.

Kepantasan di Akhirat: Seperti yang kita bincangkan tadi (hadis masuk syurga awal 500 tahun), Nabi SAW ingin dikumpulkan bersama golongan miskin supaya proses “audit” (hisab) menjadi ringan dan pantas.

Mungkin ramai yang sangka Nabi Muhammad seorang yang miskin. Pada peringkat awal Islam, memang begitu, akan tetapi kemudian baginda mempunyai banyak harta, kalau baginda mahu. Buktinya kita boleh lihat kepada kejadian setelah Perang Hunain yang berlaku pada Tahun 8 Hijrah, setelah Pembukaan Kota Mekah. Seorang sahabat telah meminta kambing daripada Rasulullah. Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan:

Sekarang fikirkan, macam mana Nabi boleh sedekah sebanyak itu kalau Nabi tak ada duit? Bukankah 1/5 daripada harta rampasan perang itu diberikan kepada Rasulullah? Cuma Nabi sahaja yang banyak berikan kepada orang sampaikan tidak ada bekas pada baginda. Ini seperti disebut di dalam banyak hadis, antaranya,

Nabi ﷺ menerima harta dari rampasan perang dan negeri-negeri yang ditakluki, seperti harta Bani Nadhir, Khaybar, dan Fadak. Harta ini adalah milik khusus baginda, dan digunakan untuk keperluan keluarga serta keperluan umat Islam. Umar bin al-Khattab berkata: “Sesungguhnya harta Bani Nadhir adalah harta yang Allah berikan khusus kepada Rasulullah ﷺ, yang tidak diperoleh kaum Muslimin dengan kuda dan unta. Maka ia adalah milik Rasulullah ﷺ, baginda menggunakannya untuk keperluan keluarga selama setahun, dan selebihnya digunakan untuk kuda dan senjata…”

Jadi sebenarnya kalau baginda hendak jadi kaya, baginda sangat kaya sebenarnya. Akan tetapi Nabi memilih untuk hidup sederhana dan sentiasa memberi apa yang baginda ada. Jadi kesimpulan yang kita hendak buat adalah, bukan maksudnya miskin lagi afdhal atau kaya lagi afdhal. Miskin dan kaya ini Allah Ta’ala beri kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Yang lebih utama adalah ketaqwaan. Allah berfirman di dalam Hujurat:13

Cuma jikalau kita kaya dan dapat jaga ketaqwaan, ini lebih baik. Kerana kita dapat memberi kepada orang yang memerlukan. Islam tidak menggalakkan kemiskinan atau memuji seseorang hanya kerana dia miskin. Sebaliknya, Islam memuji orang yang bersabar jika diuji dengan kemiskinan dan memuji orang yang bersyukur jika dikurniakan kekayaan. Hadis Nabi ﷺ:

Nabi Muhammad ﷺ sendiri sering berdoa agar dijauhkan daripada kefakiran dan kemiskinan, dan mengajarkan umatnya untuk berusaha keluar dari kemiskinan. Dalam wasiatnya, baginda bersabda:

Nabi Muhammad juga pernah mengajar kita dengan doa,

Faedah Hadis

Pertama: Para sahabat memiliki sifat saling berlumba dalam kebaikan.

Kedua: Para sahabat menggunakan harta mereka dalam hal kebaikan di dunia dan di akhirat, iaitu dengan bersedekah.

Ketiga: Dalam amal badaniyyah (yang dilakukan anggota tubuh), baik yang kaya mahupun yang miskin sama-sama boleh melakukannya seperti pada amalan salat dan puasa. Kadang yang miskin melakukan ibadah lebih bagus dan sempurna daripada yang kaya.

Keempat: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah membuka pintu kebaikan bagi orang-orang fakir. Pintu kebaikan tersebut selain dengan salat dan puasa adalah dengan zikir, amar makruf nahi mungkar, hingga hubungan intim dengan pasangan yang halal.

Kelima: Boleh pembicara mengajukan yang tidak mungkin diingkari seperti dalam ucapan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan untuk bersedekah?”. Sebab dengan mengajukan pertanyaan semacam ini sudah menjadi pertanyaan yang tak boleh dibantah.

Keenam: Semua amalan yang disebutkan dalam hadits iaitu zikir, amar makruf nahi mungkar, hingga hubungan intim termasuk sedekah. Akan tetapi sedekah di sini ada yang bernilai wajib dan ada yang bernilai sunnah. Sedekah tersebut ada yang bernilai manfaat kepada orang banyak (muta’addi) dan ada yang kemanfaatannya hanya pada diri sendiri (qashir). Contoh yang bernilai qashir, bacaan tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), takbir (Allahu akbar), tahlil (laa ilaha illallah). Bacaan zikir ini ada yang wajib dan ada yang sunnah. Contoh ada bacaan takbir yang wajib iaitu bacaan takbiratul ihram “Allahu Akbar”. Sedangkan zikir tasbih, tahmid, dan takbir pada zikir ba’da salat dihukumi sunnah. Contoh amalan yang muta’addi adalah amar makruf nahi mungkar.

Ketujuh: dekah tidak terhad kepada pemberian harta atau wang ringgit sahaja, malah merangkumi segala bentuk amalan kebaikan (ma’ruf) seperti berzikir (tasbih, tahmid, tahlil, takbir), amar makruf nahi munkar, malah hubungan intim yang halal antara suami isteri.

Kelapan: Kekuatan Niat (The Power of Intent): Niat yang benar dan ikhlas membolehkan seseorang yang tidak memiliki harta mendapat pahala yang sama dengan orang kaya yang bersedekah,. Sebaliknya, niat yang buruk untuk melakukan maksiat juga boleh mendatangkan dosa.

Kesembilan: Perbezaan Antara Hasad dan Ghibtah: Umat Islam dilarang bersifat hasad (dengki negatif), iaitu mengharapkan hilangnya nikmat daripada orang lain. Namun, ghibtah (cemburu positif) dibenarkan, iaitu keinginan untuk menjadi seperti orang lain dalam urusan kebaikan, seperti cemburu kepada orang kaya yang dermawan atau orang yang beramal dengan ilmunya.

Kesepuluh: Sedekah Sebagai Bukti Keimanan: Perkataan sedekah berasal daripada kata dasar yang bermaksud “membenarkan” atau “jujur”. Melakukan sedekah, sama ada melalui harta atau zikir, adalah bukti nyata bahawa seseorang itu benar-benar beriman kepada janji Allah.

Kesebelas: Menukar Adat Menjadi Ibadah: Perkara rutin atau adat harian (seperti makan, minum, dan melayani pasangan) boleh bertukar menjadi ibadah yang berpahala jika dilakukan dengan niat kerana Allah dan mengikut tatacara yang disyariatkan.

Kedua Belas: Kepentingan Menghadirkan Hati dalam Zikir: Zikir yang paling utama dan memberi kesan mendalam kepada jiwa adalah apabila lisan dan hati hadir bersama untuk memahami serta menghayati maknanya, bukan sekadar sebutan laju di mulut sahaja.

Ketiga Belas: Takwa Sebagai Ukuran Kemuliaan: Kemuliaan seseorang di sisi Allah tidak diukur melalui kekayaan atau kemiskinan, tetapi melalui tahap takwa. Orang kaya yang bertakwa mempunyai kelebihan kerana dapat menggunakan hartanya untuk kebaikan, manakala orang miskin yang bersabar juga dipuji dalam Islam.

Keempat Belas: Sifat Bakhil Membinasakan: Sifat bakhil (kedekut yang tamak) adalah fitrah yang perlu dilawan kerana ia boleh membawa kepada kerosakan masyarakat, memutuskan silaturahim, malah mendorong kepada jenayah dan pembunuhan.

Kelima Belas: Tanggungjawab Menggembirakan Orang Lain: Memberi keseronokan atau kegembiraan kepada orang lain (Idkhal al-Surur), termasuk kepada pasangan dan kawan-kawan, adalah amalan yang sangat dicintai Allah dan secara saintifiknya turut memberikan kesan positif kepada kesihatan mental serta fizikal pelakunya.

Secara ringkasnya, amalan kebaikan adalah seperti pelaburan tanpa modal; walaupun anda tidak memiliki harta, anda masih boleh mengumpul kekayaan pahala melalui zikir, senyuman, dan niat yang tulus.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita akan hadis #25 (Hadis 40) ini.


Rujukan:

Ustaz Abu Asma’

Ustaz Salman Ali

  DATO' DJ DAVE - KINI KU MENANGIS LAGI (Video Lirik)