Home

Thursday, 14 May 2026

Syarah Hadis #34 (Hadis 40 Imam Nawawi). Mengubah Kemungkaran (Bahagian 1)

 

Syarah Hadis #34 (Hadis 40 Imam Nawawi). Mengubah Kemungkaran

Hadis Arbain #34: Mengubah Kemungkaran

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُوْلُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ

Dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.

[Sahih Muslim, no. 49]

Siapakah أَبِي سَعِيْدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ kita telah sentuh di dalam Hadis #32 sebelum ini.

Hadis ini Imam Nawawi ambil dari kita Sahih Muslim. Satu perkara unik yang perlu diketahui tentang Sahih Muslim ialah Imam Muslim sendiri sebenarnya tidak meletakkan tajuk bab (tarajum) bagi hadis-hadis dalam kitabnya. Beliau hanya menyusun hadis mengikut topik secara bersiri tanpa pemisah tajuk yang jelas. Beliau hanya berikan tajuk kitab sahaja. Contohnya Imam Muslim letak tajuk besar seperti ‘Kitab Iman’ dan tidak ada tajuk kecil-kecil.

Ini berbeza dengan Sahih Bukhari kerana tajuk di dalam Sahih Bukhari itu diletakkan sendiri oleh Imam Bukhari. Jadi Imam Muslim tidak meletakkan tajuk bab, kemudian Imam al-Nawawi, melalui kitab syarahnya yang agung iaitu Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, telah mengambil inisiatif untuk meletakkan tajuk-tajuk bab tersebut bagi memudahkan pembaca memahami fiqh (kefahaman hukum) di sebalik hadis tersebut.

Berikut adalah penerangan ringkas mengenai metodologi Imam al-Nawawi dalam meletakkan tajuk tersebut:

1. Menyingkap Rahsia Hukum (Istinbat)

Imam al-Nawawi meletakkan tajuk bukan sekadar label, tetapi sebagai rumusan hukum. Beliau meneliti rangkaian hadis dalam satu kelompok, kemudian membina tajuk yang menunjukkan kesimpulan hukum daripada hadis-hadis tersebut.

Contoh: Jika hadis menceritakan tentang cara Nabi SAW berwuduk, al-Nawawi akan meletakkan tajuk seperti “Bab Wajibnya Membasuh Anggota Wuduk dengan Sempurna”.

2. Tajuk yang Panjang dan Terperinci

Berbeza dengan Imam al-Bukhari yang kadangkala meletakkan tajuk yang ringkas atau dalam bentuk soalan, Imam al-Nawawi cenderung memberikan tajuk yang jelas dan deskriptif. Beliau mahu pembaca terus faham apa isu utama yang dibincangkan dalam bab tersebut tanpa perlu berteka-teki.

3. Mengikut Aliran Mazhab Syafi’i

Memandangkan Imam al-Nawawi merupakan tokoh besar dalam mazhab Syafi’i, tajuk-tajuk yang beliau letakkan sering kali mencerminkan pandangan hukum dalam mazhab Syafi’i. Walau bagaimanapun, beliau tetap bersikap objektif dan amanah dalam menghuraikan perbezaan pendapat ulama’ lain dalam ulasannya.

4. Menjadi Standard Dunia

Walaupun terdapat ulama’ lain yang cuba meletakkan tajuk bagi Sahih Muslim (seperti Imam al-Qurtubi atau al-Maziri), tajuk yang disusun oleh Imam al-Nawawi adalah yang paling popular dan diterima pakai dalam hampir semua naskhah cetakan Sahih Muslim di seluruh dunia sehingga hari ini. Inilah khidmat yang telah dilakukan oleh Al-Nawawi rahimahullah ta’ala. Jadi bila kita kitab Sahih Muslim, kita tahulah yang tajuk-tajuk itu semua diletakkan oleh Imam Nawawi dan semoga Allah memberkati beliau.


 

Istinbat dari Hadis

Hadis yang kita sedang pelajari ini Al-Imam Al-Nawawi meletakkan hadis ini di dalam tajuk Bab Menjelaskan Bahawa Mencegah yang Mungkar itu Termasuk Daripada Iman. Jadi ia adalah topik yang besar kerana melibatkan iman. Dan kemudian Imam Nawawi tambah lagi tajuk itu dengan: Iman Itu Boleh Bertambah dan Berkurang. Jadi tajuknya menjadi begini:

بَابُ بَيَانِ كَوْنِ النَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ مِنَ الإِيمَانِ وَأَنَّ الإِيمَانَ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ

“Bab Penjelasan bahawa Mencegah Kemungkaran adalah sebahagian daripada Iman, dan bahawa Iman itu Boleh Bertambah dan Berkurang.”

Dari tajuk yang Imam Nawawi letakkan ini kita boleh nampak yang istinbat hukum yang dikeluarkan dari hadis ini ada 3:

1. Amar ma’ruf dan nahi munkar itu adalah wajib. Macam mana kita tahu bahawa mencegah munkar tu wajib? Kerana dalam hadis ini Nabi Muhammad sebut: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ (Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah). Kata Rasulullah itu di dalam bentuk perintah dan dalam kaedah syarak, sesuatu perintah itu hukumnya wajib. Selagi tidak ada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Kerana perintah dari Nabi boleh juga jadi sunat, bukan wajib. Contohnya ada yang Nabi perintahkan tapi Nabi berhenti atau ada tinggalkan. Itu dalil bahawa benda itu adalah sunat, bukan wajib. Jadi kalau Nabi perintahkan dan tak ada pula dalil lain yang menunjukkan bahawa Nabi meninggalkan perbuatan mencegah kemungkaran, itu menunjukkan bahawa mencegah kemungkaran itu wajib.

Walau bagaimanapun, beliau memperincikan status kewajipannya:

Fardu Kifayah: Secara umumnya, jika sudah ada sekumpulan orang yang melaksanakannya, maka gugur kewajipan atas orang lain.

Fardu Ain: Ia boleh menjadi wajib ke atas individu tertentu jika:

• Hanya dia sahaja yang melihat kemungkaran tersebut.

• Hanya dia sahaja yang mempunyai kemampuan untuk mengubahnya (seperti pihak berkuasa atau ketua keluarga)

 

2. Dan iman itu bertambah dan berkurang. Bagaimana kita tahu? Sebab Nabi sebut dalam hadis ini, فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ (Jika tidak mampu, maka ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman). Maksudnya ada orang yang mampu menegur dengan tangannya. Itu adalah tanda imannya lebih tinggi iman daripada orang yang menegur dengan lisannya. Dan orang yang menegur dengan lisannya lebih tinggi imannya daripada orang yang menegur dengan hatinya.

Dan begitu juga lawannya, atau sebaliknya. Iaitu orang yang membenci dengan hatinya, lebih rendah imannya daripada orang yang menegur dengan lisan. Orang yang menegur dengan lisan, lebih rendah imannya daripada orang yang menegur dengan kuasanya, dengan tangannya.

Apabila kita sedar yang iman itu bertambah dan berkurang, maka hendaklah kita berusaha untuk meningkatkan iman kita. Antara cara untuk meningkat iman adalah dengan ilmu. Kerana dengan iman yang tinggi, kita tidak takut untuk memberi teguran kerana kita lebih takut kepada Allah dari takut kepada manusia dan kesan dari mereka. Yang jadi masalah sekarang adalah apabila kita lebih takut kepada manusia.

3. Kewajipan Mengingkari mengikut Hierarki Kemampuan. Perkataan “Mencegah Kemungkaran” dalam tajuk tersebut dikaitkan dengan hadis tentang tiga tingkatan (tangan, lisan, dan hati). Imam al-Nawawi mengeluarkan hukum bahawa:

Wajib bagi setiap Muslim untuk tidak redha dengan kemungkaran.

• Jika tidak mampu mengubah dengan tangan (kuasa), hukumnya beralih kepada lisan. Jika masih tidak mampu, hukumnya wajib membenci di dalam hati.

• Kegagalan mengingkari sekurang-kurangnya dengan hati menunjukkan ketiadaan kesan iman dalam situasi tersebut.

 

Hukum mencegah kemungkaran tertakluk kepada kemampuan pelaku. Imam al-Nawawi menjelaskan pembahagian tiga tahap tersebut:

Tangan: Untuk mereka yang mempunyai kuasa (pemerintah atau ketua).

Lisan: Untuk mereka yang mempunyai ilmu dan lisan yang didengar (ulama’ atau penasihat).

Hati: Wajib bagi setiap individu tanpa pengecualian. Membenci maksiat dalam hati adalah had minimum iman. Jika hati tidak membenci maksiat, maka hilangkanlah cahaya iman di situ.

 


 

Latar belakang Hadis 

Bilakah hadis ini sahabat keluarkan? Hadis ini sangat menarik kerana ia melibatkan satu peristiwa besar dalam sejarah Islam, iaitu perubahan tradisi solat Hari Raya oleh seorang pemerintah. Ketika peristiwa itulah hadis ini keluar. Hadis ini diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab. Beliau menceritakan bahawa orang pertama yang memulakan khutbah sebelum solat Hari Raya ialah Marwan bin al-Hakam (Gabenor Madinah pada zaman Bani Umayyah). Mengikut sunnah Nabi ﷺ dan amalan Khulafa al-Rasyidin, solat Hari Raya mestilah dilakukan dahulu, barulah diikuti dengan khutbah. Namun, Marwan menukarnya (khutbah dahulu baru solat) kerana beliau dapati orang ramai sering terus pulang selepas solat dan tidak mahu mendengar khutbahnya.

Apabila Marwan mahu naik ke atas mimbar sebelum solat bermula, seorang lelaki berdiri dan menegurnya dengan berkata: “Solat itu (sepatutnya) sebelum khutbah!” Marwan menjawab: “Sesungguhnya amalan itu telah ditinggalkan (tidak diamalkan lagi).”

Melihat kejadian itu, sahabat Nabi yang mulia, Abu Sa’id al-Khudri RA, terus memberikan sokongan kepada lelaki yang menegur tadi. Abu Sa’id berkata: “Adapun lelaki ini, dia telah menunaikan kewajipannya (menegur kemungkaran).” Kemudian, Abu Sa’id al-Khudri pun meriwayatkan hadis yang beliau dengar sendiri daripada Rasulullah ﷺ: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya…” (sehingga akhir hadis).

Mengapa kisah ini penting?

  • Peringatan kepada Pemerintah: Hadis ini muncul dalam konteks menegur tindakan pemerintah yang mengubah sunnah Nabi ﷺ.
  • Keberanian Berhujah: Ia menunjukkan bahawa menegur kesalahan orang yang berkuasa mestilah dilakukan dengan cara yang betul (lisan/kata-kata) bagi mereka yang tidak mempunyai kuasa “tangan” untuk menghalang pemerintah.
  • Kesinambungan Iman: Abu Sa’id menggunakan hadis ini untuk mengesahkan bahawa tindakan lelaki yang menegur tadi adalah sebahagian daripada tuntutan iman.
Bersambung:  ( Bahagian 2 )


Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 3 (Pengharapan kepada Allah)

  Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 3 (Pengharapan kepada Allah) Pengenalan : Sudah menjadi lumrah alam, manusia mudah terkesan dengan perkara-pe...