Home

Thursday, 14 May 2026

Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 3 (Pengharapan kepada Allah)

 

Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 3 (Pengharapan kepada Allah)

Pengenalan:

Sudah menjadi lumrah alam, manusia mudah terkesan dengan perkara-perkara ajaib. Kalau mereka lihat benda-benda yang pelik, mereka mulalah terkesan dan mula fikir macam-macam. Kadang-kadang oleh kerana terkesan, mereka memuja makhluk-makhluk yang nampak macam ada kuasa ghaib, seperti wali-wali dan malaikat-malaikat.

Termasuk juga kalau mereka lihat benda-benda yang pelik seperti busut besar, pokok yang pelik rupanya dan sebagainya. Ada yang mereka jadikan sebagai tempat minta nombor ekorlah, minta tolong di situlah dan sebagainya lagi. Itu tidak boleh kerana mereka juga adalah makhluk, bukan Tuhan. Mereka juga bukan perantaraan bagi Tuhan.

Sebab ada juga yang bagi hujah, mereka bukan minta kepada entiti-entiti itu, tetapi mereka minta kepada Allah ‎ﷻ, hanya ‘melalui’ benda-benda itu atau makhluk-makhluk itu (kerana kononnya ada ‘berkat’ yang mereka sendiri letak).

Ini adalah kesalahan dalam tauhid, jadi kena faham betul-betul. Selepas ini, hanya minta kepada Allah ‎ﷻ secara terus sahaja. Jangan lagi menggunakan perantaraan-perantaraan yang dikenali sebagai tawassul.

Salah satu perkara ajaib yang Allah ‎ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an adalah tentang kisah Nabi Zakaria عليه السلام. Surah ini ada menceritakan tentang kekeliruan manusia tentang Nabi Zakaria عليه السلام. Agama sebelum Islam datang ada mengatakan Nabi Zakaria عليه السلام boleh ikhtiar untuk mendapat anak, padahal Nabi Zakaria عليه السلام dapat anak kerana doa baginda kepada Allah ‎ﷻ.

Bukannya kerana baginda ada kuasa lain daripada manusia lain yang boleh menyebabkan baginda dapat anak. Kita akan belajar bagaimana cara Nabi Zakaria عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ dalam surah ini nanti. Doa itu adalah satu cara kepada kita untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Ramai daripada kita berusaha untuk dapatkan anak. Ada yang senang dapat anak dan ada yang sudah bertahun-tahun kahwin, namun masih tidak dikurniakan anak oleh Allah ‎ﷻ. Berbagai-bagai usaha telah dijalankan, sama ada dengan pergi ke hospital, atau cara-cara alternatif.

Dan cara alternatif itu pula bermacam-macam. Malangnya Al-Qur’an selalu disalahgunakan. Ada pula yang kata untuk dapat anak, kena baca Surah Maryam. Padahal, Siti Maryam tidak berdoa untuk dapat anak pun – anak itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Itu adalah satu kekeliruan dalam masyarakat kita dan yang sedihnya, ia telah diajar oleh guru-guru agama di Malaysia.

Mereka mengajar manusia yang jahil untuk hanya menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca berkali-kali tanpa memahami apakah maksud dan pengajaran dalamnya. Ketahuilah yang kalau kita sekadar membaca sahaja Al-Qur’an, kita tidak ada bezanya dengan Kaum Yahudi yang kita pun tahu mereka sesat. Mereka itu membaca dan menghafal Kitab Taurat, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripada Kitab Taurat itu.

Sama sahaja dengan kebanyakan masyarakat kita. Ramai orang Islam dalam masyarakat kita yang baca Al-Qur’an setiap hari, hafal pun ada, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca itu. Yang sebenarnya, dalam Surah Maryam ini ada doa Nabi Zakaria عليه السلام untuk mendapatkan anak. Ia adalah kisah tentang Nabi Zakaria عليه السلام tetapi diletakkan dalam Surah Maryam.

Surah ini diturunkan hampir dengan masa sebelum Hijrah Pertama yang dijalankan ke Habsyah. Daripada sirah, kita dapat tahu bahawa pada tahun 4 kenabian, Nabi ﷺ telah diarahkan untuk berdakwah secara terbuka. Apabila Nabi ﷺ berdakwah secara terbuka, Musyrikin Mekah tidak suka, maka para sahabat yang telah masuk Islam telah ditindas dengan teruk sekali.

Para sahabat pada waktu itu adalah terdiri daripada orang-orang yang lemah dan kelas bawahan pada mata orang kafir. Mereka tidak ada perlindungan seperti orang-orang lain. Dalam adat waktu itu, selalunya perlindungan diberikan oleh kabilah masing-masing tetapi para sahabat itu adalah orang yang miskin dan lemah. Mereka tidak ada ‘payung’ yang dapat menyelamatkan mereka. Mereka terasa amat tertekan dengan penindasan yang mereka terima.

Mereka tidak tahan sampaikan mereka datang bertemu dengan Nabi ﷺ menceritakan keadaan mereka. Mereka mengadu tentang penindasan yang mereka terima (kerana mengamalkan agama tauhid). Pada mulanya, Nabi ﷺ menyuruh mereka bersabar dengan nasib mereka kerana umat yang terdahulu ada yang lagi teruk terima azab dari orang kafir.

Kemudian Nabi ﷺ telah mendapat wahyu untuk menyuruh mereka untuk berhijrah ke Habashah kerana raja Habasyah waktu itu adalah raja yang adil. Raja itu adalah raja yang beragama Kristian yang alim. Dalam riwayat, ada yang mengatakan bahawa yang pergi berhijrah itu adalah seramai 8 orang lelaki dan 3 orang perempuan.

Apabila Musyrikin Mekah mendapat tahu tentang penghijrahan itu, mereka tidak puas hati dan mereka telah cuba untuk mengejar para sahabat itu tetapi tidak dapat. Walaupun begitu, mereka telah menghantar satu delegasi untuk pergi ke Habasyah. Tujuan delegasi itu adalah untuk membawa kembali mereka yang telah pergi ke Habasyah itu.

Delegasi itu diketuai oleh Amru al As. Waktu itu Amru al As belum lagi masuk Islam. Mereka akhirnya telah berjaya untuk bertemu dengan raja selepas mereka berbaik-baik dengan para pendeta di Habasyah dengan memberi hadiah. Mereka mengatakan bahawa orang Islam yang sedang bermastautin di Habasyah itu adalah ‘pelarian’ dari Mekah dan mereka mahu supaya mereka itu dikembalikan.

Raja kata beliau tidak boleh beri mereka yang mencari perlindungan kepada negara asal mereka begitu sahaja. Maka, Raja telah bertanya kepada orang Islam tentang keadaan sebenarnya. Para sahabat telah menjelaskan bahawa mereka itu mencari perlindungan di Habasyah dan mereka hanya mahu mengamalkan agama mereka dengan aman.

Maka, Raja telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mereka dipulangkan. Namun delegasi Mekah telah pergi berjumpa dengan Raja sekali lagi pada esoknya dan mereka mengatakan bahawa mereka yang lari itu telah meninggalkan agama asal mereka. Mereka sedang mengamalkan agama yang baru yang sesat, kata delegasi itu. Mereka juga menentang agama yang lain dari mereka, sambungnya lagi. Mungkin mereka pun tidak menerima ajaran Kristian dan mengata tidak baik tentang Nabi Isa عليه السلام.

Maknanya delegasi Mekah itu telah cuba meracuni fikiran Raja Habasyah. Raja terkesan sedikit kerana beliau adalah orang Kristian yang taat. Maka Raja telah memanggil orang Islam dan bertanyakan mereka tentang pegangan mereka tentang Nabi Isa عليه السلام.

Jaafar Abu Talib رضي الله عنه sebagai ketua orang Islam waktu itu telah menjawab bagi pihak sahabat yang lain. Mereka telah bermesyuarat sebelum itu dan mereka sepakat bahawa jikalau Raja bertanyakan tentang Nabi Isa عليه السلام, mereka akan bercakap dengan benar dan tidak akan menyembunyikan apa-apa.

Maka Jaafar رضي الله عنه mula membacakan Surah Maryam. Selepas beberapa ayat, Raja suruh mereka berhenti membaca kerana beliau tidak tahan kerana terkesan dengan apa yang disebut dalam Al-Qur’an dan beliau menangis dan mengatakan ia adalah cerita yang menyayat hati dan benar belaka. Maka raja telah menyuruh Musyrikin Mekah pulang dan membenarkan orang Islam tinggal di Habasyah.

Kejadian itu berlaku dalam lebih kurang tahun kelima Kenabian. Maka Surah Maryam mungkin diturunkan pada hujung tahun keempat Kenabian. Surah ini diberikan sebagai ‘buah tangan’ kepada mereka yang akan berhijrah ke Habasyah kerana mereka akan berhadapan dengan orang Kristian. Allah ‎ﷻ menurunkan surah ini pada masa yang diperlukan oleh mereka untuk mereka berhadapan dengan orang Kristian.

Surah ini adalah kesinambungan daripada surah sebelum ini, iaitu Surah Kahf, yang sudah menyentuh tentang salah faham Kristian. Maka, surah Maryam ini menceritakan dengan lebih panjang lagi tentang salah faham mereka. Salah faham mereka adalah tentang kedudukan Nabi Isa عليه السلام yang mereka anggap sebagai anak Tuhan.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

1. Tentang Nabi Zakaria عليه السلام dan kelahiran anaknya Nabi Yahya عليه السلام. Umur Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya sudah sangat tua waktu itu. Isterinya pula tidak pernah melahirkan anak. Maka kelahiran Yahya عليه السلام adalah kelahiran yang ajaib.

Kemudian disambung dengan kelahiran Nabi Isa عليه السلام pula yang juga lebih ajaib.

 

2. Tentang Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi-Nabi yang lain. Permulaan surah adalah untuk menghadapi orang Kristian dan akhirnya menghadapi orang musyrik maka dibawakan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Walaupun mereka musyrik, mereka masih memandang tinggi terhadap Nabi Ibrahim عليه السلام.

Begitu juga, orang Kristian menghormati Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda adalah salah seorang dari Nabi mereka. Maka kisah Nabi Ibrahim عليه السلام diletakkan di tengah-tengah.

Kisah Nabi-nabi lain itu dimasukkan untuk menunjukkan bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa bukanlah perkara baru sangat. Ia memang telah ada dibawa oleh Nabi-nabi yang lain.

 

3. Tentang Musyrikin Mekah.

Surah ini juga menceritakan tentang salah faham Musyrikin Mekah dan mereka yang sama fahaman seperti mereka itu. Jangan sangka Musyrikin Mekah sahaja yang buat syirik. Entah-entah dalam masyarakat kita pun ada fahaman dan amalan syirik walaupun beragama Islam.

 

Surah ini juga menceritakan tentang kepentingan menyampaikan ajaran agama kepada anak-anak kita. Ini untuk memastikan kesucian agama ini berterusan. Kita memang mahukan kebaikan kepada anak-anak kita. Kita hendak mereka sihat dan makan pakai mereka cukup selama mereka hidup.

Tapi jangan hanya fikirkan tentang kelangsungan hidup keduniaan mereka sahaja. Banyak diceritakan tentang perkara ini dalam kisah-kisah yang akan disampaikan. Dalam kisah Nabi Zakaria عليه السلام dan Yahya عليه السلام, Maryam dan Isa عليه السلام dan juga Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita dalam dunia sekarang menghadapi masalah penjagaan anak. Kita bising tentang akhlak dan pengetahuan agama anak-anak sekarang yang umumnya kurang dan akhlak mereka buruk. Kenapa jadi begitu? Kerana ibubapa tidak mengajar agama kepada anaknya.

Mereka tidak ajar kerana mereka sendiri tidak tahu agama. Maka bagaimana mereka hendak mengajar keluarga mereka? Selalunya ibubapa suruh anak belajar di sekolah sahaja sedangkan yang terbaik adalah didikan agama dari ibu bapa sendiri. Maka kena mantapkan pengetahuan agama untuk diri sendiri.

Surah ini juga menempelak mereka yang menjadikan kedudukan Nabi Isa عليه السلام itu berlebihan sampai menaikkan taraf baginda terlalu tinggi melebihi taraf manusia. Maka diingatkan supaya kita pun tidak berbuat begitu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ramai juga orang kita yang ada masalah ini.

Dari kisah Nabi Ibrahim عليه السلام, diberikan contoh bagaimana seorang anak itu kadang-kadang lebih beragama dan lebih berpengetahuan daripada bapanya sendiri. Maka tidak salah kalau ibu dan bapa mendengar nasihat dan mengambil ilmu agama daripada anak sendiri.

Surah ini juga memujuk para sahabat yang sedang ditindas oleh Musyrikin Mekah. Mereka diberikan dengan janji bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang berkekalan.

Ulama’ juga membincangkan kedudukan susunan surah ini dalam Al-Qur’an. Surah sebelum surah ini adalah Surah Kahf. Ia menceritakan empat kisah di dalamnya. Telah disampaikan kisah-kisah tentang perkara yang menolak logik – bagaimana ada pemuda-pemuda yang tidur beratus tahun dalam gua; Tentang Nabi Khidr عليه السلام, tentang Dzulqarnain dan lain-lain lagi.

Kemudian sekarang dalam Surah Maryam juga akan disampaikan kisah yang ajaib juga iaitu kelahiran ajaib Nabi Isa عليه السلام. Maka, dari satu surah yang menceritakan tentang kejadian ajaib kepada satu lagi surah tentang kejadian yang ajaib.

Dalam ayat kedua terakhir Surah Kahf, ada disebutkan tentang ‘kalimat’. Makna ‘kalimat’ mempunyai banyak maksud. Ia adalah apa sahaja yang menunjukkan kelebihan dan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk. Dalam ayat itu Allah ‎ﷻ berfirman, kalau segala laut dijadikan sebagai dakwat, tidak akan cukup untuk memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ dan segala pemberian-Nya.

Maka dalam Surah Maryam ini akan disebut tentang Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام yang juga ada disebut sebagai ‘kalimat’ Allah ‎ﷻ.

Dalam Surah Maryam, Nabi Zakaria عليه السلام dikatakan sebagai hamba-Nya. Begitu juga dalam permulaan dalam surah Kahf di mana Nabi Muhammad ﷺ juga dikatakan sebagai hamba-Nya.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 Perenggan Makro. Perenggan Makro Pertama dari ayat ini sehingga ke ayat 15. Ia berkenaan kisah Ajaib Nabi ZAKARIYA عليه السلام dan Nabi YAHYA عليه السلام. Kisah itu ajaib kerana pasangan tua dan mandul boleh mendapat anak.

كهيعص

Sahih International

Kaf, Ha, Ya, ‘Ayn, Sad.

 

Malay

Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad

 

كهيعص

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang ‘dipotong-potong’. Kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Kita tidak tahu kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ.

Ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, tetapi ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Ayat kedua dari surah ini sahaja yang kita boleh hendak mula tafsir. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan ilmu.

Allah ‎ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia hendak berikan pengetahuan. Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita. Kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya.

Bangsa Arab di zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Mereka selalu mengadakan pertandingan sajak dan syair sebagai pertandingan dalam bahasa. Sampaikan kalau sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, sebagai contoh, kalau dieja huruf ya dan seen يس, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘yas’. Tetapi tidak begitu. Begitu juga dengan huruf-huruf كهيعص ini. Maka mereka tertanya-tanya apakah maksudnya? Apakah yang hendak disampaikan? Kalau yang tidak mahu dengar pun akan mula memberi perhatian.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian orang untuk mendengarnya.

Manakala ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah selalunya tentang Al-Qur’an, maka mereka mengambil maksud bahawa Allah ‎ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Ada 29 surah yang dimulai dengan huruf muqatta’ah. 24 daripadanya terus menyebut tentang Al-Qur’an selepas dibacakan huruf muqatta’ah. Lagi lima tidak terus menyebut tentang Al-Qur’an termasuk surah Maryam ini. Kenapa begitu?

Ulama’ turut membincangkan perkara ini. Mereka mengatakan walaupun dalam lima surah itu tidak menyebut dengan jelas tentang Al-Qur’an, tetapi ia menyebut tentang Al-Qur’an secara tersirat atau secara tidak langsung. Sebagai contoh, selepas huruf muqatta’ah كهيعص dalam surah Maryam ini, ayat kedua ada menyebut perkataan ذِكْرُ, dan ذِكْرُ adalah salah satu daripada nama Al-Qur’an.

Keduanya, walaupun di awal surah tidak disebut tentang Al-Qur’an, tetapi di akhir surah nanti akan disebut juga.

Ketiganya, ulama’ bahas lagi bahawa tidak ada keperluan lagi untuk disebut Al-Qur’an selepas huruf-huruf muqatta’ah. Kerana sudah banyak kali sebut di 24 tempat yang lain. Macam kalau cikgu panggil pelajar dan suruh mereka ambil kerja mereka. Kita akan kata: “Ahmad, ambil kerja rumah kaum, Salmi, ambil kerja rumah kamu….”. Sampai kepada murid kelima dan seterusnya, cikgu itu tidak payah sebut lagi kenapa kena ke hadapan. Cikgu akan sebut nama sahaja kerana anak murid sudah tahu.

Begitu juga dengan lima surah yang tidak ada kaitan terus dengan Al-Qur’an. Kerana sudah banyak sangat sebutan tentang Al-Qur’an apabila ada huruf muqatta’ah, maka seperti kita sudah terbiasa – apabila dibacakan huruf muqatta’ah sahaja, terus kita teringat Al-Qur’an. Maka kita boleh katakan, Al-Qur’an melatih kita untuk ingat Al-Qur’an sentiasa.

Nabi ﷺ sendiri mengajar bagaimana cara membaca huruf-huruf muqatta’ah ini. Sebab itu kita baca huruf kaf panjang, huruf ha dan ya pendek dan huruf-huruf seterusnya panjang. Maka, hendaklah kita ikut cara bacaan sebegitu yang telah diajar.


 

Ayat 2:

ذِكرُ رَحمَتِ رَبِّكَ عَبدَهُ زَكَرِيّا

Sahih International

[This is] a mention of the mercy of your Lord to His servant Zechariah

Malay

(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

 

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ

Ceritakanlah kepada manusia tentang rahmat Tuhan kamu

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Tidak disebutkan apakah rahmat Tuhan itu. Salah satu sebabnya adalah untuk memberikan penekanan itu adalah dari Tuhan. Bukan rahmat yang hendak ditekankan, tapi Allah ﷻ.

Apakah yang hendak disampaikan? Seperti yang telah disebut, surah ini diturunkan di waktu Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat sedang ditindas dengan teruk. Mereka seperti tidak nampak ada harapan lagi. Kalau lihat kepada keadaan masa itu, nampak seperti masa hadapan mereka adalah gelap. Kerana mereka lemah pada waktu itu, dan orang-orang kafir amat kuat menindas mereka.

Tetapi Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺ dan para sahabat akan rahmat-Nya. Begitu banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada umat-umat terdahulu. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberi nikmat kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Keadaan baginda pada waktu itu pun seperti tidak ada harapan untuk mendapat anak. Baginda sendiri sudah tua sangat dan isterinya dari muda lagi tidak pernah berjaya mendapat anak.

Kalau ikut logik akal, memang tidak ada harapan untuk mendapat anak. namun Allah ‎ﷻ kurniakan juga kepada baginda seorang anak. Begitu jugalah kepada kita yang hendak mengamalkan jalan sunnah ini. Begitu ramai sekali dalam Malaysia ini yang mengamalkan syirik dan bid’ah. Kalau dibandingkan dengan mereka, kita amat sedikit sekali. Mereka mempunyai saluran-saluran yang kuat untuk menyebarkan fahaman salah mereka.

Oleh kerana ia sudah biasa diamalkan oleh masyarakat semenjak dahulu lagi, maka masyarakat lebih selesa memegang pandangan mereka. Kalau kita cerita sedikit tentang sunnah, terus kita dilabelkan sebagai Wahabi. Terus mereka memandang serong kepada kita. Tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ boleh mengubah keadaan. Dari keadaan yang tidak selesa, umat Islam zaman Nabi ﷺ telah mencapai kejayaan sampai berjaya menakluk Mekah.

Ayat ini memujuk Nabi ﷺ dan para sahabat. Bahawa Allah ‎ﷻ tidak lupa kepada mereka. Mereka cuma perlu bersabar seperti Nabi Zakaria عليه السلام bersabar. Mereka perlu terus berdoa seperti Nabi Zakaria عليه السلام telah terus berdoa. Maka akan diajar bagaimana cara doa Nabi Zakaria عليه السلام nanti.

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ juga seorang manusia. Seorang manusia akan ada perasaan sedih, takut dan sebagainya. Bukanlah kerana baginda seorang Nabi, baginda tidak terkesan dengan kata-kata dan tohmahan dari kafir Musyrikin Mekah itu. Maka janganlah kita sangka bahawa Nabi itu luar biasa sangat sampai kita puja baginda melebihi kedudukan baginda sebagai manusia.

Nabi ﷺ tidak dapat mengawal apakah yang terjadi kepada baginda dan sahabat, maka tentulah baginda bersedih. Baginda tidak tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan kerana baginda tidak tahu perkara ghaib, jadi baginda risau dan takut. Maka Allah ‎ﷻ memberi ketenangan kepada baginda dengan menceritakan apakah rahmat yang Dia telah berikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام.

 

عَبْدَهُ زَكَرِيَّ

(kepada) hamba-Nya yang bernama Zakaria.

Nabi Zakaria عليه السلام adalah salah seorang Nabi yang besar dalam Bani Israil. Dalam hadith disebutkan bahawa baginda adalah seorang tukang kayu dan baginda mencari rezeki dengannya.

Waktu ini Nabi Zakaria عليه السلام sudah lama menjadi Nabi. Mengikut satu riwayat, semasa kisah ini berlaku, baginda berumur 120 dan isterinya sekitar 90 tahun. Ramai yang belajar dengan baginda tapi tidak ada orang-orang Yahudi yang belajar dengannya yang layak untuk menjadi alim dan menyambung tugas baginda menyebarkan agama Islam kepada manusia. Jadi, baginda bimbang kalau tidak ada penggantinya, agama Islam ini akan hilang. Itulah kerisauan baginda.

Jadi, selepas ini adalah kisah tentang Nabi Zakaria عليه السلام.


 

Ayat 3: Dalam ayat kedua, tidak disebutkan tentang apakah nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Sekarang Allah ‎ﷻ mula hendak menceritakan tentang nikmat itu.

إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا

Sahih International

When he called to his Lord a private supplication.

 

Malay

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

 

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ

Ketika memanggil / berdoa Nabi Zakaria kepada Tuhannya

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah نَادَىٰ. Ia berbeza dengan perkataan ‘doa’. Doa adalah apabila kita bercakap dan kita tahu orang yang kita sedang bercakap itu mendengar cakap kita. Seperti contohnya, orang itu ada dalam bilik dengan kita.

Tetapi perkataan نَادَىٰ itu digunakan apabila seseorang hanya menyuarakan rintihan hatinya. Dia buat begitu kerana dia tidak tahan sangat. Dan dia akan meraung kuat-kuat.

Ada yang mengatakan bahawa Nabi Zakaria عليه السلام‎ berdoa ini di waktu malam apabila manusia lain sedang tidur. Iaitu pada waktu qiyamullail.

 

نِدَاءً خَفِيًّا

dengan suara yang lembah lembut;

Ini adalah suara lemah lembut kerana sedang merayu dan merintih. Jadi kita sebagai makhluk Allah ‎ﷻ, hendaklah berdoa dengan merayu kepada Allah ‎ﷻ. Dengan suara yang lemah lembut.

Jangan kita minta Tuhan berbagai-bagai perkara tetapi langsung tidak dalam nada merayu dan dalam nada sombong macam Tuhan kena beri kepada kita.

Kita pun kenalah merendahkan diri kita dengan mengaku kesalahan kita yang kita sudah buat selama hari ini. Jangan kita tahu minta sahaja tetapi tidak mengaku tentang kesalahan dan dosa yang telah banyak kita buat.

Tadi kita telah belajar bahawa perkataan نِدَاءً bermaksud menyuarakan pengharapan dengan kuat. Iaitu seseorang yang dalam keadaan “desperate”. Tetapi selepas itu digunakan perkataan خَفِيًّا. Ia bermaksud sesuatu yang senyap dan tersembunyi. Kenapa seperti ada perbezaan dari segi maksud itu?

Salah satu keindahan dalam surah ini adalah perkataan yang berlawanan diletakkan bersama. Jadi, kita kena tahu apakah yang dimaksudkan dalam percanggahan itu.

Mufassir mengatakan bahawa tidak ada percanggahan dalam dua perkataan ini. Memang Nabi Zakaria عليه السلام merayu bersungguh-sungguh meluahkan perasaannya, tetapi kepada siapa? Kepada رَبَّهُ Tuhannya – Allah ‎ﷻ maha mendengar. Sebenarnya tidak perlu bercakap dengan kuat dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ maha tahu apakah dalam hati kita dan kehendak dan keperluan kita. Kita tidak cakap pun Allah ‎ﷻ tahu.

Jadi, perkataan نِدَاءً dalam ayat itu adalah berkenaan gelora dalam hatinya, baginda memohon kepada Allah ‎ﷻ dengan nada yang mengharap sangat. Baginda memohon bersungguh-sungguh.

Ulama’ membincangkan apakah cara doa yang paling sesuai? Adakah dengan mengeluarkan suara atau tidak? Pendapat yang kuat mengatakan lebih baik dengan mengeluarkan suara tapi dengan suara yang perlahan. Ia lebih rapat kepada Allah ‎ﷻ. Kerana sama sahaja kalau kita cakap dengan kuat atau berbisik, Allah ‎ﷻ akan mendengar juga.

Tetapi apabila dengan suara perlahan, ia lebih peribadi dan menghalang daripada rasa riak. Dan ia adalah permintaan yang lebih khusyuk. Cuma dalam keadaan tertentu boleh dikuatkan. Iaitu sebagai contoh, doa dalam majlis orang ramai untuk semua orang dan juga apabila hendak mengajar orang lain cara berdoa.

Atau kalau sedang doa merawat orang (ruqyah), memang kena dikuatkan supaya orang di sekeliling tahu yang kita bukannya berdoa kepada makhluk tetapi kepada Allah ‎ﷻ dan doa itu dengan cara yang betul (bukan tawassul).

Maka kerana itulah Nabi Zakaria عليه السلام berdoa dengan perlahan kerana baginda sedang mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Ataupun mungkin Nabi Zakaria memulakan doa dengan suara yang kuat. Tetapi kerana doa begitu mengharap dan dengan emosi, maka baginda menangis sampai hilang suaranya.

Atau baginda memang mahu meraung, tetapi kerana baginda sudah tua, maka baginda tidak mampu, jadi suaranya menjadi perlahan sahaja.

Pengajaran yang kita boleh dapat dari ayat ini adalah betapa kita perlu percaya kepada Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ walau apapun. Kalau Nabi Zakaria عليه السلام memikirkan keadaannya, tentulah baginda tidak minta kepada Allah ‎ﷻ lagi kerana baginda sudah tua sangat dan isterinya tidak pernah melekat dapat anak. Namun baginda tahu bahawa Allah ‎ﷻ mampu berbuat apa sahaja.

Maka baginda minta kepada Allah ‎ﷻ seolah-olah baginda tidak ada apa-apa masalah dan halangan pada Allah ‎ﷻ untuk memakbulkan doanya. Itu memerlukan kepercayaan yang tinggi kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi kadang-kadang kita segan hendak doa kepada Allah ‎ﷻ. Kita rasa macam Allah ‎ﷻ tidak mampu hendak beri apa yang kita minta tu. Adakah Allah ‎ﷻ begitu? Kenapa kita ada sangka buruk dengan Allah ‎ﷻ? Kenapa pula kita hendak kena ada rasa sangsi dengan kemampuan Allah ‎ﷻ?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2019



Syarah Hadis #34 (Hadis 40 Imam Nawawi). Mengubah Kemungkaran (Sambungan... 2)

 Realiti Semasa

Di dalam alam ini ada ahli haq, ada ahli mungkar. Ada penyokong kebenaran, ada pembuat kemungkaran. Walaupun macam mana kita buat pun, akan ada sahaja golongan yang dihasut oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran. Hatta di kalangan pengikut para Nabi, ada yang melihat para Nabi dengan mata kepala mereka, tetap ada yang menyanggahi para Nabi. Maka apatah lagi umat selepas ketiadaan para Nabi macam kita sekarang yang jauh dari Nabi. Dan Allah menjadikan kehidupan ini ada sahaja golongan sebegitu supaya kita dapat membuktikan kita ini setia dengan kebenaran ataupun kita memilih kemungkaran. Ini juga peluang kita buat pahala kerana ramai orang akan buat mungkar, jadi Allah memberi pahala kepada mereka yang menegur kemungkaran dan mengajar ke arah kebaikan.

Kita mungkin fikir, kenapalah ramai sangat orang tak mahu ikut kebenaran. Kalau Allah mahu, boleh sahaja Allah memberi petunjuk kepada manusia semua sekali. Allah bukan tidak mampu jadikan semua manusia seperti para malaikat yang tak buat dosa langsung. Tapi Allah telah takdirkan manusia itu macam-macam jenis. Maka akan ada orang yang diberi tanggungjawab untuk membetulkan yang salah. Bagi kita, kena ukur diri kita ini hendak duduk di mana. Adakah kita hendak jadi orang baik, atau orang buat mungkar?

Dan bukan itu sahaja, ada jenis yang berani buat teguran dan ada yang pakat tengok sahaja. Jenis yang tak kisah dengan manusia lain, lantaklah orang buat apa, janji aku boleh makan, aku boleh pergi kerja. Ataupun kita ini orang yang Allah campakkan dalam hati kita dan jiwa kita, tak boleh tengok orang buat mungkar. Kita rasa kita kena tegur kerana ada kewajipan yang Allah telah galangkan atas bahu kita. Walaupun kita tahu ada risiko, walaupun kita tahu orang akan marah, walaupun kita tahu kita akan kena masalah, tapi kita teruskan juga, beranikan juga hati dan mulut kita. Kalau kita ada perasaan sebegini, maknanya ada rahmat yang Allah telah limpahkan kepada kita. Dia pilih dari ramai-ramai orang, Dia campak dalam diri kita supaya kita menjadi orang-orang yang menyokong pada jalan yang benar.

Dan ini bagi orang yang tahu dia ada tanggungjawab untuk menjalankan tugas ini. Dia tidak jadikan alasan ‘aku tak mahu jaga tepi kain orang’. Apa orang lain buat, bukan masalah aku, itu masalah mereka. Lagi pun kubur lain-lain!” Ini adalah fahaman yang tersasar jauh dari kebenaran. Yang sepatutnya dilakukan, adalah dengan berusaha seboleh mungkin untuk menegakkan kebenaran. Dia akan usaha dengan sedaya upayanya. Kalau dia tidak dapat ubah, dia akan tegur. Kalau tak dapat cakap, dia mungkin tegur dengan dia hantar e-mail, dia hantar surat. Ini dilakukan kerana dia sensitif dengan benda ini. Bukan kerana orang bayar gaji kepada dia untuk buat benda itu. Bukan kerana dia nak menunjuk-nunjuk kepada orang yang dia hebat kerana lebih pandai, lebih baik dari orang yang ditegur itu. Tapi kerana Allah telah menjadikan dia berdiri bersama dengan ahli-ahli kebenaran. Maka, kita kena duduk dan renung pada diri kita. Allah boleh pilih kita duduk di mana-mana. Dan pilihan Allah itu berkaitan dengan sikap dan diri kita sendiri. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya. Dunia ini, dijadikan dunia ini tempat percubaan dan banyak ujian Allah jadikan kepada kita.

Antara ujian yang Allah berikan kepada kita adalah kemungkaran yang berlaku di hadapan kita. Ujiannya adakah kita tegur atau tidak? Kalau kita hendak senang, kita buat tidak tahu sahajalah, bukan? Akan tetapi salah satu dari kewajipan agama ini adalah menegur manusia, sama ada mengajak mereka ke arah kebaikan, atau menegur mereka apabila melakukan kemungkaran. Kita boleh lihat pesan Luqman kepada anaknya di dalam Luqman:17

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ
Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Lihatlah nasihat Luqman kepada anaknya. Selepas sebut tentang solat yang paling penting, terus beliau sebut tentang amar ma’ruf nahi munkar. Maknanya melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu juga penting. Tak berpada dengan salat sahaja dan rasa sudah cukup kita sebagai umat Islam. Islam bukan agama kerahiban. Rahib itu duduk seorang diri beramal sahaja, tidak campur dengan manusia yang lain. Tidak boleh seseorang dikira beragama kalau setakat dia duduk berzikir di masjid sahaja, kemudian tidak peduli dengan apa yang terjadi di dunia ini. Kita sudah lihat titah Tuhan kepada kita untuk mencampurkan diri dengan manusia lain dan menegur mereka. Seorang Muslim disuruh untuk berperanan membaiki alam ini. Makan kita kena berusaha untuk membaiki keadaan sekeliling kita.

Perhatikan selepas nasihat Luqman itu, beliau menyebut tentang sabar. Memang sabar adalah salah satu dari syarat yang perlu ada apabila kita menjalankan amar ma’ruf nahi munkar.

Dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Imam al-Nawawi telah menyatakan satu keluhan atau “realiti pahit” mengenai amalan Amar Makruf Nahi Munkar pada zaman beliau sendiri (abad ke-7 Hijriah). Beliau menyebut bahawa amalan ini telah banyak ditinggalkan atau semakin berkurangan dalam masyarakat. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa orang ramai mula mengabaikan kewajipan ini disebabkan oleh beberapa faktor:

    • Sifat Tamak (Ad-Dunya): Ramai yang lebih mementingkan kedudukan, harta, dan menjaga hubungan peribadi demi kepentingan duniawi.
    • Sifat Takut: Takut hilang pengaruh atau takut disakiti oleh orang yang ditegur.
    • Sikap “Bukan Urusan Saya”: Ramai yang merasa memadai dengan amal ibadat sendiri tanpa peduli tentang kerosakan yang berlaku di sekeliling.

Beliau memberi amaran keras bahawa apabila amar makruf nahi munkar ini semakin berkurangan dan ditinggalkan, ia akan membawa kepada:

    • Bencana yang Menyeluruh: Sebagaimana pesanan hadis, apabila maksiat dilakukan secara terang-terangan dan tidak dicegah, Allah akan menurunkan azab yang mengenai semua orang, termasuk orang-orang yang soleh di dalamnya.
    • Hilangnya Keberkatan: Masyarakat akan kehilangan “tali pengikat” akhlak yang menjaga keharmonian. Kerana itulah agaknya kehidupan kita sekarang nampak susah sangat seperti berbagai penyakit, harga barang yang menaik sahaja dan pelbagai lagi masalah dunia.

Meskipun beliau mengakui amalan ini sudah berkurangan, Imam al-Nawawi menegaskan: “Sesungguhnya hilangnya (pengabaian) orang ramai terhadap amalan ini tidak menggugurkan kewajipan ke atas individu yang mampu.” Beliau berpesan supaya kita tidak terikut-ikut dengan trend masyarakat yang bersifat “lepas tangan”. Walaupun hanya tinggal kita seorang sahaja yang menegur (dengan cara yang hikmah), kewajipan itu tetap ada mengikut kemampuan.

Ini amat menyedihkan. Jika pada zaman Imam al-Nawawi (sekitar 700-800 tahun dahulu) beliau sudah merasakan amalan ini semakin berkurangan, apatah lagi pada zaman moden hari ini yang penuh dengan cabaran digital dan sifat individualistik. Bagi Imam al-Nawawi, kunci utama untuk membangkitkan semula amalan ini adalah dengan Ilmu dan Keikhlasan, supaya teguran itu membina dan bukannya memusnahkan.

Jadi begitulah zaman ini sudah jadi mengarut. Hendak menegur pun sudah tidak boleh. Zaman ini kita sudah lihat guru tak boleh lagi boleh menegur anak murid kerana sudah jadi bahaya kerana ibubapa sekarang bongok-bongok. Anak mereka haprak tapi bila ditegur oleh guru (kerana itulah tugas guru), mereka datang ke sekolah dan maki balik guru itu. Atau pun guru itu kena SISPAA. Jadi guru pun mula tidak menegur pelajar kerana takut kena saman, takut nanti susah pula hendak melayan ibubapa gila yang datang ke sekolah. Padahal zaman dahulu ibubapa memang suruh guru mendisiplinkan anak mereka. Dan kalau anak murid kena rotan di sekolah, dia pun tak berani nak beritahu kepada ibubapa dia kerana kalau dia beritahu, ayah dia akan tambah dengan rotan dia lagi! Maka kerana itu orang-orang kita dahulu ada disiplin dan ada otak dan tidak lembik.

Sekarang mulalah datang teori-teori yang pelik yang kata tak boleh tegur anak murid nanti anak murid stress. Tak boleh tegur pelajar, tak boleh marah nanti ada gangguan mental anak murid tersebut, katanya. Ini bukanlah cara yang bagus untuk mengajar kerana sebagai pelajar dan anak-anak, mereka memerlukan sedikit kekerasan untuk membentuk mereka menjadi orang yang betul. Bahkan kalau kita dengar syair-syair ulama’ dahulu mereka ada menyebut tentang hal ini:

فَقَسَا لِيَزْدَجِرُوا

وَمَنْ يَكُ حَازِمًا

فَلْيَقْسُ أَحْيَانًا عَلَى مَنْ يَرْحَمُ

“Maka dia bersikap keras (tegas) agar mereka berhenti (daripada kesalahan),

Sesiapa yang benar-benar ingin menjadi pendidik yang bijaksana,

Maka adakalanya dia harus berkasar (tegas) terhadap orang yang disayanginya.”

 

Kepentingan Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Sesungguhnya bab amar ma’ruf nahi munkar ini sangat besar. Kerana sesungguhnya tertegaknya agama ini dan yang menjaga agama ini adalah sifat amar makruf nahi munkar. Ia adalah perbuatan yang memberikan pahala kepada kita. Kita pun telah belajar Hadis #25 di mana Rasulullah menyebut tentang mengerjakan amar ma’ruf nahi munkar yang dikira sebagai sedekah:

وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ
mengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekah, melarang dari kemungkaran adalah sedekah

Kalau kita tidak menjalankan amar ma’ruf nahi munkar ini, kita sendiri boleh dikenakan dengan azab, walaupun kita melakukan dosa. Allah berfirman tentang hal ini di dalam Ali Imran:164-165

لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيہِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَڪِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (١٦٤) أَوَلَمَّآ أَصَـٰبَتۡكُم مُّصِيبَةٌ۬ قَدۡ أَصَبۡتُم مِّثۡلَيۡہَا قُلۡتُمۡ أَنَّىٰ هَـٰذَا‌ۖ قُلۡ هُوَ مِنۡ عِندِ أَنفُسِكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (١٦٥)
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (164) (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): (Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (165) 

Maka kena jalankan kerja amar ma’ruf nahi munkar ini. Inilah kerja kita sebagai umat Islam dan kerana inilah kita menjadi umat yang terbaik, bukan? Umat Islam jadi umat yang terbaik bukan sebab kerana darah umat Islam atau kerana semata-mata kerana kita ni umat yang terakhir. Bukan sebab itu tapi kerana Allah Ta’ala sudah sebut dalam Ali Imran:110 kerana kita menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Kalau kita tidak jalankan, maka jangan perasanlah yang kita umat terbaik.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)

 

Definisi Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Apakah maksud ma’ruf? Ma’ruf ini adalah apa yang diiktiraf oleh syarak sebagai baik. Jadi ma’ruf ni bukan sekadar baik sahaja. Ia kena diiktiraf dari segi syarak. Bukanlah sekadar baik pada badan saya, bukan baik pada badan kamu, pada fikiran manusia sahaja. Kena ada pemahaman ini kerana sekarang kita lihat banyak yang salah faham. Benda bid’ah pun ramai kata baik kerana mereka menilai ikut otak dan nafsu sendiri. Ramai yang jahil, maka penilaian apa yang baik itu tidak semestinya baik. Kepala dia memang nampak baik, tapi sebenarnya syarak tidak menganggap ia baik pun.

Munkar itu maksudnya melakukan perkara yang engkar. Engkar itu maksudnya apa yang syarak menolaknya sebagai benda baik dan menganggapnya sebagai benda yang jahat, buruk. Jadi bukanlah perkara yang munkar itu andaian kepala otak kita, tapi kena ikut syarak. Sebagai contoh kita membenci arak dan orang yang meminumnya kerana arak itu dilarang dan diharamkan oleh orang. Kita tidak boleh pandang baik perkara itu. Ada orang marah apabila kita benci orang minum arak kerana pada mereka, itu adalah hak mereka. Tapi mereka melanggar hak Allah menetapkan hukum, jadi tidak akan kita redha dengan apa yang mereka lakukan. Jadi kebencian kepada arak itu adalah ma’ruf dan hilang rasa benci kepada arak itu maksudnya benda yang mungkar.

Bukannya apa yang kamu rasa baik, apa yang kamu rasa jahat. Jadi kena berhati-hati dalam hal ini, jangan perasan kita boleh buat hukum sendiri. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyentuh isu ini dalam kitab agungnya, Fathul Bari, semasa beliau membincangkan tentang bahaya golongan yang mendahulukan akal atau perasaan (kasyaf yang menyimpang) mengatasi syariat. Beliau berkata:

“مَنِ ادَّعَى أَنَّهُ يَعْرِفُ الْخَيْرَ وَالشَّرَّ بِغَيْرِ طَرِيْقِ الشَّرْعِ، فَقَدْ زَنَدَقَ وَكَفَرَ بِاللَّهِ”
“Barangsiapa yang mendakwa bahawa dia dapat mengetahui (hakikat) baik dan buruk tanpa melalui jalan syarak, maka sesungguhnya dia telah menjadi zindiq dan telah kufur kepada Allah.”

Istilah Zindiq merujuk kepada seseorang yang berpura-pura beriman tetapi menyembunyikan kekufuran, atau seseorang yang tafsirannya terhadap agama merosakkan asas syariat. Dalam konteks ini, jika seseorang merasa dia tidak lagi perlukan Al-Qur’an dan Hadis (Syarak) untuk menentukan apa yang halal/haram atau benar/salah kerana kononnya sudah mendapat “ilham” atau “hakikat” sendiri, maka dia telah keluar daripada landasan Islam.

Kenyataan ini selari dengan kaedah usul: “Tiada hukum sebelum datangnya syarak” (لا حكم قبل ورود الشرع). Seseorang yang menafikan autoriti syarak dalam menentukan nilai moral dan hukum dianggap telah menafikan fungsi kenabian Rasulullah ﷺ.


 

Siapa yang layak melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar? 

Jadi kita sudah tahu kita kena melakukan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi siapa yang boleh melakukan tugas ini? Adakah semua orang? Untuk menjawab soalan ini, kita kena tahu dasar untuk melakukan tugas yang besar ini. Dasarnya ialah ilmu. Ia mesti datang dengan ilmu yang jelas. Memang menjadi tuntutan kepada semua manusia untuk melakukan amar ma’ruf nahi munkar jangan pula dia pergi mengajak orang tapi dia sendiri tak mengaji pula. Ini bukan kita hendak melarang, tapi kita hendak mengajak semua belajarlah agama ini. Sementara tak tahu lagi, janganlah memandai cakap perkara yang kita tak tahu.

Agama Islam ini adalah agama dalil. Maka kerana itu kena ada ilmu wahyu sebelum mengajak orang melakukan perkara yang ma’ruf. Apakah dalilnya? Allah berfirman di dalam Yusuf:108

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ
Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata

Di dalam ayat ini, Allah menyebut عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (dengan hujah yang nyata). Apakah maksudnya? Dalam Tafsir al-Qurtubi (al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an), Imam al-Qurtubi memberikan huraian yang sangat mendalam mengenai kalimah عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (di atas basirah) ini. Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa basirah dalam ayat ini bermaksud:

    • Yaqin (Keyakinan): Bukan sekadar ikut-ikutan (taklid), tetapi dakwah yang dibina di atas keyakinan yang bulat.
    • Al-Ma’rifah (Pengetahuan): Pengetahuan yang membezakan antara yang hak dan yang batil.

Beliau memetik bahawa basirah bagi hati adalah ibarat basar (penglihatan) bagi mata. Jika mata melihat objek zahir, basirah melihat hakikat kebenaran. Menurut al-Qurtubi, kalimah ini menjadi dalil bahawa setiap penyeru (pendakwah) mestilah mempunyai:

    • Hujah dan Burhan: Mempunyai dalil yang kuat (Al-Qur’an dan Sunnah) serta hujah akal yang sihat.
    • Kejelasan Matlamat: Dia tahu apa yang diserunya, kepada siapa dia menyeru, dan bagaimana cara menyerunya.

Al-Qurtubi menekankan perkataan أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي (aku dan orang-orang yang mengikutiku). Beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang mengaku menjadi pengikut Nabi ﷺ, maka dia juga wajib berdakwah di atas landasan basirah. Ini menunjukkan bahawa pengikut Nabi bukanlah orang yang jahil, tetapi orang yang berilmu tentang agama mereka. Oleh itu mencegah kemungkaran tidak boleh dilakukan secara membuta tuli. Ia mesti dilakukan عَلَىٰ بَصِيرَةٍ — iaitu tahu hukumnya, tahu situasinya, dan tahu kesannya. Imam al-Qurtubi seolah-olah ingin berpesan: “Janganlah kamu menyeru kepada Allah dalam keadaan kamu sendiri raba-raba (jahil) tentang apa yang kamu sampaikan.”

Dalam Tafsir al-Tabari (Jami’ al-Bayan), Imam al-Tabari memberikan penekanan yang sedikit berbeza namun melengkapkan huraian Imam al-Qurtubi. Sebagai seorang tokoh Mufassirin yang awal, beliau lebih cenderung menghuraikan makna kalimah berdasarkan penggunaan bahasa Arab dan riwayat salaf. Imam al-Tabari menyatakan bahawa basirah bermaksud Rasulullah ﷺ dan para pengikutnya berada di atas keyakinan yang teguh terhadap apa yang mereka serukan. Beliau menjelaskan bahawa seorang pendakwah bukan sekadar membawa maklumat, tetapi membawa ilmu yang telah meresap ke dalam hati sehingga menjadi satu penglihatan batin yang jelas.

Salah satu huraian menarik al-Tabari adalah pembahagian susunan ayat tersebut. Beliau membincangkan kedudukan perkataan أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي (Aku dan orang yang mengikutiku). Kesimpulan al-Tabari: Ini bermaksud setiap orang yang benar-benar mengikuti jejak langkah Nabi ﷺ, maka dia mewarisi hujah dan keterangan yang jelas. Mereka tidak berdakwah dalam keadaan ragu-ragu.

Jadi kita sudah tahu melakukan amar ma’ruf nahi munkar itu wajib. Dan kadar wajibnya ikut dengan kadar kemampuan seseorang itu. Kalau dia tengok satu mungkar itu berlaku dan dia seorang bapa, dia suami, maka kadar dia tak samalah dengan orang luar. Kerana dia ada kuasa untuk menghalang. Janganlah jadi bapa dan suami yang lembik pula. Begitu juga kalau dia itu seorang pemerintah, dia mungkin sebagai penguasa di tempat kerja, maka kadar dia tak sama dengan orang biasa yang tidak ada apa-apa jawatan. Setiap orang yang ada kekuatan, dia orang berilmu, dia orang ada hujah, kedudukan dia tak sama dengan orang-orang biasa yang barangkali kurang ilmu, kurang hujah untuk bercakap.

Tapi kita kena buat apa yang kita mampu dan kita sahaja boleh nilai kemampuan kita itu. Sebagai contoh kalau kita lihat orang minum arak di hadapan kita, dan orang itu anak kita ataupun kita adalah penguasa, dan kita boleh tahan dia dengan kekuatan, maka kita kena tahan dia dengan kekuatan. Kalau kita setakat kata, “Tak usah minumlah, tak baiklah,” ertinya kita tak memenuhi tuntutan kewajipan ke atas diri kita. Kerana kita memang mampu. Tapi kalau kita tahu kita tak mampu dengan kekuatan, maka kita tukar teguran kita dengan lisan; sebagai contoh kita cakaplah sepatah kepada dia bahawasanya arak adalah haram bagi seorang Muslim untuk meminumnya. Kalau kita tak kata, buat senyap dan buat bodoh sahaja, maka kita berdosa.

Tapi kita tak mampu, mungkin yang buat mungkar itu seorang yang sangat berkuasa, sangat kuat dan sangat zalim, sampaikan kalau kita tegur dia, dia akan bertindak kepada kita, maka ketika barulah kita kena benci dengan hati kita. Tanda benci tentulah kita tak duduk sekali, duduk senyum dengan dia siap tanya dia, “Amacam, sedap rasa todi tu?” Kita tak bolehnya tanya macam itu seorang-orang kita senang dan redha dengan dosa yang dia sedang lakukan. Kita mesti lakukan sesuatu, sama ada kita meninggalkan majlis itu ataupun kita menimbulkan satu riak wajah dan perasaan yang menunjukkan kita tidak suka dengan benda itu. Jika hal itu tidak berlaku, maka kita berdosa. Takkan dengan jantung hati pun tak mampu?

Kadang-kadang kita tengok mungkar yang dilakukan oleh manusia adalah penipuan. Satu kawan kita tipu satu orang, dan dia kebetulan kawan baik kita. Maka kita tahu dia pernah tipu orang. Dan dia berniaga jual ikan umpamanya, dan kita tahu ikan yang dia jual itu ikan lama. Katakanlah seorang pelanggan datang beli dan dia tanya, “Cik, ini ikan barukah? ” Dan kawan kita itu dengan selamba menjawab: “Oh, ini ikan baru.” Ketika itu kita duduk sebelah dan kita tahu itu memang ikan lama. Ikan itu pun tak sanggup dirinya dijual. Apakah tindakan kita ketika itu? Kalau kita diam dan tidak berkata apa-apa, kita berdosa. Yang kita perlu lakukan ketika itu adalah sama ada kita cegah dia, ataupun kita beritahu kepada orang yang nak beli, “Cik, sebenarnya ikan ini tak baru.”

Begitulah antara penipuan yang banyak dilakukan adalah peniaga. Rasulullah telah menunjukkan apa yang peniaga perlu lakukan, dan baginda menunjukkan contoh bagaimana kena tegur para peniaga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ: مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَى النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ lalu berdekatan selonggok makanan (bijirin/gandum) yang dijual, lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut. Kemudian jari-jemari Baginda terasa basah (lembab). Baginda bertanya: “Apa semua ini wahai penjual makanan?” Penjual itu menjawab: “Ia terkena air hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di bahagian atas supaya orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”

Sahih Muslim, No. Hadis 102 (Kitab Al-Iman).

Maka kewajipan menegur itu boleh jatuh kepada semua orang yang layak dan berkemampuan. Maka Tok Lebai, ustaz, syeikh, mufti-mufti, tak boleh hanya kira buah tasbih di masjid sahaja. Tak boleh hanya mengajar anak murid dia sahaja. Dia kena masuk campur apa yang berlaku di kalangan umat dan dia mesti membela umat. Dia mesti membela umat yang memerlukan ilmu dan bimbingan. Jadi mufti jangan hanya menghadkan dirinya menegur hal agama sahaja tapi apa sahaja perkara yang dia mampu tegur. Jadi masyarakat jangan jadi bingai sangat, marah kalau mufti menegur hal politik contohnya. Memang mufti itu melakukan tugas dia.


 

Cara Melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Jadi untuk mengajak manusia kepada yang ma’ruf, nak cegah yang mungkar, kita kena tahu apa yang syarat iktiraf sebagai yang ma’ruf. Maksudnya, kena ada ilmu. Dan untuk mencegah yang mungkar, kena tahu bahawa benda yang sedang dilakukan oleh manusia memang sesuatu yang mungkar. Imam Ibn Taimiyyah merupakan antara ulama’ yang paling tegas dan terperinci dalam membicarakan soal manhaj (kaedah) Amar Ma’ruf Nahi Munkar. Beliau menekankan bahawa niat yang baik sahaja tidak memadai; ia mestilah disertakan dengan ilmu dan cara yang betul. Dalam karyanya yang masyhur, al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar, beliau menggariskan tiga syarat utama bagi sesiapa yang ingin melaksanakan tugas ini. Beliau merumuskannya dalam satu kaedah yang sangat terkenal:

“Mesti ada ilmu sebelum melakukan (tindakan), lemah-lembut semasa melakukan, dan sabar selepas melakukan.”

1. Ilmu (العِلْم) — Sebelum Bertindak. Seseorang itu mesti mempunyai ilmu tentang dua perkara:

Pertamanya, dia sendiri nampak  kemungkaran itu berlaku di hadapannya. Bukannya dia agak-agak atau dengar cakap orang sahaja.

Kemudian dia kena ada ilmu tentang Syarak: Dia mesti tahu dengan pasti bahawa perkara yang disuruh itu memang “Ma’ruf” (dituntut agama) dan perkara yang dilarang itu memang “Mungkar” (haram). Jangan sampai kita melarang sesuatu yang sebenarnya dibolehkan oleh agama kerana kejahilan kita.

Termasuk juga jangan kita menghentam orang dalam perkara yang ada khilaf muktabar. Iaitu ada pendapat yang mengatakan boleh buat sesuatu perkara itu. Kita boleh nasihatkan dia tentang manakah pendapat yang lebih kuat, tapi setakat itu sahaja. Contohnya angkat takbir di dalam solat jenazah. Ini adalah termasuk khilaf muktabar. Kena tahu yang ada kaedah لا إنكار في مسائل الاجتهاد (Tidak ada pengingkaran (secara keras) dalam masalah-masalah ijtihad). Ini adalah salah satu kaedah terpenting dalam fiqh dan dakwah untuk menjaga perpaduan umat. Ia sangat berkait rapat dengan syarat ilmu dan lemah-lembut di dalam amar ma’raf nahi munkar.

Masalah ijtihad merujuk kepada perkara-perkara agama yang:

Tiada dalil putus (Qath’i): Tidak ada ayat Al-Qur’an atau Hadis yang memberikan hukum secara hitam-putih dan tunggal.

Boleh ditafsir pelbagai: Dalilnya bersifat Zanni (boleh difahami dengan pelbagai makna), menyebabkan para mujtahid (ulama besar) berbeza pendapat.

Contoh: Cara meletakkan tangan dalam solat, bacaan basmalah (kuat atau perlahan), atau perkara-perkara baru yang tiada dalam zaman Nabi (seperti hukum pelaburan tertentu).

“Tidak ada pengingkaran” bukan bermaksud kita tidak boleh berbincang, tetapi bermaksud kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut pendapat mazhab kita dan menganggap pendapat mereka salah sepenuhnya. Kita tidak boleh melabel orang yang berbeza pendapat sebagai “ahli bid’ah”, “sesat”, atau “berdosa”. Dalam amar makruf nahi munkar, kita hanya menegur perkara yang disepakati haramnya (seperti zina atau mencuri). Jika perkara itu masih dalam khilaf ulama, kita tidak boleh melakukan “Nahi Munkar” secara keras.

Para ulama seperti Imam al-Nawawi menjelaskan perbezaan penting:

    • Inkar (Dilarang): Menegur dengan kasar, menyalahkan, atau membenci orang yang berbeza pendapat dalam masalah ijtihad.
    • Irsyad/Nasihah (Dibenarkan): Berbincang secara ilmiah, membentangkan dalil yang kita rasa lebih kuat, dan memberi nasihat dengan penuh adab tanpa merendahkan pihak lain.

Kaedah ini penting kerana tanpa kaedah ini, umat Islam akan sentiasa bergaduh tentang perkara-perkara kecil (cabang) sehingga melupakan perkara besar (asas). Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya: “Bolehkah aku menegur orang yang makan perkara yang bagiku haram tetapi baginya (ikut mazhab lain) adalah halal?” Beliau menjawab: “Jangan kamu ingkari apa yang dilakukan orang lain mengikut ijtihad mereka.”

Tapi kena ingat yang kaedah ini hanya terpakai jika pendapat tersebut datang daripada ijtihad yang sah (ada sandaran dalil). Jika pendapat itu menyalahi nas Al-Qur’an atau Hadis yang jelas (Sarih), menyalahi Ijma’ (kesepakatan bulat) para ulama, atau pun ia adalah pendapat yang sangat pelik (Syuzyuz) dan tidak masuk akal, maka dalam keadaan ini, pengingkaran boleh dilakukan kerana ia bukan lagi masalah ijtihad, tetapi sudah menjadi kesalahan nyata. Jadi walaupun amalan bid’ah seperti Tahlilan itu ada khilaf, tapi itu bukanlah ‘khilaf muktabar’ kerana memang tidak ada dalil langsung bagi amalan itu. Yang kita hormati dan layan adalah khilaf muktabar sahaja. Dan kena ingat yang ijtihad itu sepatutnya datang dari orang yang layak membuat ijtihad, bukan mana-mana ulama’.

Kita kena hormati pendapat mazhab lain kerana mereka juga ada hujah mereka. Sebagai contoh, adakah wanita boleh melawat kuburan? Ini termasuk dalam perkara khilafiah yang muktabar. Sebenarnya kenapa perkara sebegini menjadi khilaf? Kerana datangnya pelbagai dalil. Terdapat dua riwayat utama yang sering dibincangkan:

Riwayat Pertama:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ
(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang kerap menziarahi kubur.)

HR. Tirmidzi & Ibnu Majah.

Riwayat Kedua:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ
(Rasulullah ﷺ melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur.)

HR. Ibnu Abbas.

Berdasarkan hadis ini, Imam Ahmad bin Hanbal berpegang yang orang perempuan tidak boleh menziarahi kubur. Kerana itu di Madinah, para jemaah wanita tidak boleh berziarah ke Kuburan Baqi’ dan Maqam Rasulullah kerana mereka berpegang dengan mazhab Ahmad. Mereka boleh setakat melawat Rawdah sahaja.

Dalam Mazhab Syafi’i, hukum wanita menziarahi kubur adalah Makruh (bukan haram/laknat secara mutlak) dengan syarat:

    • Mendapat izin suami/wali.
    • Menutup aurat dengan sempurna.
    • Tidak meratap atau meraung (menangis sedikit dibenarkan). Maknanya dia boleh menahan kesedihannya.
    • Tujuannya untuk mengambil pengajaran (mengingat mati).
    • Kedatangannya itu tidak menyebabkan fitnah.
    • Wanita itu tidak memakai minyak wangi.
    • Tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu.

Nota: Jika ziarah itu menyebabkan wanita tersebut hilang kawalan diri, meratap hingga menyeksa diri, atau membawa kepada fitnah, maka ketika itulah hukumnya menjadi Haram.

Kenapa ada ulama’ yang mengatakan boleh wanita menziarahi kubur sedangkan ada hadis laknat di atas? Kerana ada hadis lain.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah ﷺ:
“كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟” (Apa yang perlu aku ucapkan kepada mereka —ahli kubur— wahai Rasulullah?) Baginda ﷺ menjawab, ucapkanlah:

السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ
“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni negeri ini (kubur) daripada kalangan orang-orang mukmin dan muslim. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu di antara kami dan orang-orang yang terkemudian. Dan sesungguhnya kami, dengan izin Allah, akan menyusul kamu.”

(Riwayat Muslim, no. 974)

Ulama’ yang tidak mengharamkan wanita menziarahi kuburan berhujah kalau ia haram, jadi kenapa Nabi Rasulullah mengajarkan Aisyah r.a doa tersebut? Itu tanda bolehlah berziarah ke kuburan kerana kalau tidak, tentu Nabi tak perlu hendak ajar doa itu kepada A’isyah. Tapi kemudian ada juga pendapat yang mengatakan kebenaran itu telah dimansuhkan. Dulu boleh, tapi kemudian tidak boleh. Ulama’ lain kata kalau benar ia telah dimansuhkan, maka kena datangkan dalil bukti yang ia telah dimansuhkan.

Jadi ini adalah antara khilaf muktabar di kalangan ulama’. Kalau kita perhatikan, masing-masing ada hujah. Jadi ada ulama’ yang gabungkan kedua-dua jenis hadis yang nampak berlawanan itu. Ulama’ Syafie kata, larangan dari Nabi itu adalah bagi wanita yang tak cukup syarat-syarat seperti yang kita telah senaraikan di atas.

Yang penting kita hendak sampaikan di sini, hendaklah seseorang yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar itu pasti bahawa perkara yang dia tegur itu memang pasti ia adalah perkara yang mungkar. Kalau benda itu masih lagi khilaf, kita hanya boleh beritahu dia, ini khilaf tapi pendapat yang lebih kuat adalah begini dan begitu. Dia tak boleh mengingkarinya macam mengingkari orang minum arak, macam orang berzina pula.

Satu lagi ilmu yang dia kena ada adalah Ilmu tentang Keadaan (Fiqh al-Waqi’): Dia mesti faham situasi orang yang hendak ditegur. Adakah teguran itu akan memperbaiki keadaan atau memburukkan lagi suasana? Fiqh al-Waqi’ (Fikah Realiti/Keadaan) adalah “jambatan” yang menghubungkan teks agama (Al-Qur’an & Hadis) dengan alam nyata. Tanpa ilmu ini, seseorang pendakwah akan menjadi seperti seorang doktor yang tahu semua jenis ubat, tetapi tersalah memberi ubat kepada pesakit kerana tidak memeriksa tahap kesihatan pesakit tersebut.

Asas utama dalam menegur adalah untuk menghilangkan keburukan. Namun, mengikut kaedah usul fiqh: “Menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kebaikan (Dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbil masalih).” Jika anda menegur seseorang yang sedang marah di khalayak ramai, dia mungkin akan mencaci maki agama atau menghina Tuhan kerana egonya tercabar. Dalam keadaan ini, diam adalah lebih baik. Menegur saat itu akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar (penghinaan terhadap Tuhan) berbanding kebaikan (orang itu berhenti melakukan maksiat).

Setiap orang mempunyai latar belakang yang berbeza. Menegur seorang mualaf tidak sama dengan menegur seorang ustaz yang tergelincir. Mualaf/Orang Awam perlukan pendekatan yang sangat lembut dan beransur-ansur (Tadarruj). Sedangkan bagi Pemimpin/Tokoh: Perlu ketegasan yang beradab agar tidak menyesatkan pengikutnya. Ilmu Fiqh al-Waqi’ membantu kita memilih “tahap kekuatan” suara dan kata-kata kita. Fiqh al-Waqi’ mengajar kita bila waktu paling efektif untuk suara kita didengari. Contohnya Nabi ﷺ tidak menghancurkan berhala di keliling Ka’bah sejurus selepas pembukaan Mekah (Fathul Makkah) sehingga suasana benar-benar stabil dan orang Quraisy sudah mula menerima Islam dalam hati mereka. Oleh itu Fiqh al-Waqi’ mengajar kita untuk menunggu “detik hati terbuka” (seperti ketika seseorang sedang sedih atau sedang mencari jawapan hidup) sebelum memberikan teguran.

2. Lemah-Lembut (الرِّفْق) — Semasa Bertindak. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa matlamat utama amar ma’ruf nahi munkar adalah untuk memberi rahmat dan hidayah kepada manusia, bukannya untuk menghina atau memuaskan nafsu marah. Beliau memetik hadis Nabi ﷺ:

إِنَّ الرِّفْقَ لَا يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ، وَلَا يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ
“Sesungguhnya tidaklah kelemah-lembutan itu ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (mencantikkannya), dan tidaklah kelemah-lembutan itu dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan memburukkannya.”

(Riwayat Muslim, no. 2594)

Sikap kasar hanya akan menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kebenaran. Maka hendaklah pendakwah mencegah kemungkaran dengan penuh hikmah dan bijaksana. Dia kena bila kena kena keras, bila perlu tegas, bila perlu berlembut. Tapi asal hukum dalam berdakwah dan mencegah kemungkaran ini hendaklah dilakukan dengan lemah lembut dan kasih sayang. Allah telah berfirman di dalam Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.

Dengan hikmah (بِالحِكمَةِ) itu bermaksud dengan kebijaksanaan. Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah menyebut apakah maksud hikmah ini di dalam kitabnya Madarijus Salikin:

الفِعْلُ مَا يَنْبَغِي، أَوِ القَوْلُ مَا يَنْبَغِي، فِي الوَقْتِ مَا يَنْبَغِي، بِالطَّرِيقَةِ مَا يَنْبَغِي
Melakukan perbuatan yang sepatutnya, atau mengucapkan kata-kata yang sepatutnya, pada waktu yang sepatutnya, dengan cara/metodologi yang sepatutnya.

1. فِعْلُ مَا يَنْبَغِي (Perbuatan yang sepatutnya). Maksudnya, anda melakukan tindakan yang tepat mengikut situasi. Contoh: Jika melihat orang sedang lapar, “perbuatan yang sepatutnya” ialah memberi makan, bukannya memberi ceramah tentang hukum-hakam.

2. القَوْلُ مَا يَنْبَغِي (Kata-kata yang sepatutnya). Maksudnya, anda memilih isi kandungan atau mesej yang sesuai dengan tahap pendengar. Contoh: Bercakap dengan kanak-kanak menggunakan bahasa yang mudah, dan bercakap dengan orang berilmu menggunakan hujah yang mendalam. Seperti kata pepatah: “Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar akal mereka.”

3. فِي الوَقْتِ مَا يَنْبَغِي (Pada waktu yang sepatutnya). Maksudnya ialah timing. Kebenaran yang disampaikan pada waktu yang salah boleh menjadi fitnah. Contoh: Jangan menegur kesalahan suami di hadapan kawan-kawannya. Tunggu waktu yang tenang (waktu yang sepatutnya) untuk berbincang secara peribadi.

4. بِالطَّرِيقَةِ مَا يَنْبَغِي (Dengan cara yang sepatutnya). Maksudnya ialah metodologi atau gaya penyampaian. Ini merujuk kepada kelembutan, adab, dan teknik. Contoh: Menggunakan pendekatan “debat yang terbaik” (Jidal bi al-Ahsan) atau “kata-kata yang lembut” (Qaulan Layyina) seperti yang disebut di dalam Nahl:125 di atas.

Selepas itu Ayat Nahl:125 menyebut المَوعِظَةِ الحَسَنَةِ. Maksud المَوعِظَةِ adalah peringatan yang baik. Ia boleh jadi agak keras tapi masih lagi peringatan yang baik.

Dan peringkat ketiga, جٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ iaitu bantah mereka. Kalimah جٰدِل bermaksud debat. Ini adalah untuk orang yang masih degil. Ia bagi mereka yang membantah, yang suka melawan. Macam Nabi Musa dengan Firaun. Nabi Musa kena berdebat dengan Firaun kerana Firaun melawan. Tapi kita mulakan dengan cara hikmah iaitu dengan cara lemah lembut dahulu. Barulah orang senang hendak terima. Malangnya kadang-kadang kita lihat, ada kalangan sahabat kita dalam media sosial hendak mencegah mungkar tapi dia menggunakan kata-kata kesat dan celaan sampai kadang-kadang sampai keluarlah perkataan-perkataan yang tak sepatutnya dikeluarkan oleh orang yang berilmu. Kadang-kadang kerana tidak dapat berhujah dengan baik, kita ada orang jatuhkan peribadi seseorang, malukan orang itu pula sampai kadang-kadang dikeluarkan gambar-gambar yang tak sepatutnya. Kita kena bantah cara-cara tidak berhemah sebegini. Ini bukanlah cara yang sepatutnya.

3. Sabar (الصَّبْر) — Selepas Bertindak. Tugas ini pasti akan berhadapan dengan tentangan, cacian, atau ujian. Oleh itu, sifat sabar adalah perisai. Ibn Taimiyyah sering mengaitkan perkara ini dengan pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam Luqman:17,

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ
Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Jadi setelah melihat semua hujah ini, fahamlah kita yang orang yang mengajak kepada amar ma’ruf dan nahi munkar ini ialah orang yang ada ilmu dan mesti ikut sunnah Nabi dalam berdakwah. Jadi bukannya semua orang boleh melakukan hal ini. Ada orang yang hendak terlibat tapi dia sendiri pun tak mengaji apa yang ma’ruf dan tak tahu apa yang munkar. Dan untuk menjelaskan perkara ini, terpaksa sebut realiti semasa yang berlaku. Ada hati tisu dan senang terasa, baik tak payah baca. Dan kalau tidak ada hujah dan dalil, tak perlu komen, simpan sahaja dalam diri kalau tidak setuju.

Kita perhatikan ada artis yang semalam dia bertaubat dari jadi artis menyanyi sana sini, hari ini dia sudah jadi pendakwah, betul?  Mereka bagi alasan para sahabat dulu masuk Islam, esok mereka terus berdakwah. Tapi para sahabat itu lain. Mereka baca dan faham Al-Qur’an, mereka faham ilmu, tahu Bahasa Arab. Kerana itu apabila Nabi hantar pendakwah untuk berdakwah kepada kaum di sekitar Tanah Arab, baginda hantar sahabat hebat dan berilmu seperti Mu’az bin Jabal, Abu Musa al-Ashari, Ali bin Abi Talib. Kemudian apabila Umar al-Khattab menjadi khalifah, beliau hantar pendakwah hebat dan berilmu seperti Ubadah bin al-Samit, Amru bin Al-As Kufah, Abdullah Bin Mas’ud, Ibn Abbas dan lain-lain lagi.

Jadi apa yang hendak disampaikan di sini? Dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar memerlukan ilmu agama, terutama sekali ilmu wahyu. Bukan kita hendak halang manusia berdakwah akan tetapi kena ada kursus khusus untuk mereka mengaji dulu. Bukanlah diri sendiri jahil, sembahyang pun belum tentu betul, baca Al-Qur’an pun tak betul, faham pun tidak, tapi tiba-tiba berdakwah sana-sini. Apa yang mereka hendak cakap kepada orang?

Dan sekali lagi saya minta maaf kerana sebut tentang satu lagi kumpulan iaitu Kumpulan Tabligh. Mereka keluar dakwah selama 40 hari, akan tetapi ilmu pun tiada. Mereka hanya ada semangat dakwah sahaja tapi ilmu terutama ilmu wahyu tidak ada. Dan apabila diajak belajar, mereka tidak mahu. Mungkinlah bukan semua tapi kebanyakan yang kita jumpa, begitulah mereka. Mereka setakat belajar dari bayan mereka sahaja baca kitab yang tidak sahih itu. Dan kerana itu apabila kita tengok dakwah mereka, ada sebahagian ahli mereka terlibat dengan syirik, tentu kebanyakan dari mereka terlibat dengan bid’ah. Malah ada sebahagiannya pergi dakwah dan mentang sunnah Nabi.

Sekali lagi, kita sebutkan yang kita bukan hendak menghalang sesiapa hendak berdakwah. Malah kita puji semangat Jemaah Tabligh yang keluar berdakwah. Akan tetapi pengajian ilmu wahyu mesti diterapkan. Kerana kalau tidak, orang berdakwah pula yang buat salah. Dan apakah kemungkaran yang paling besar sekali? Syirik. Bagaimana gerakan dakwah yang paling besar dalam dunia ini tidak melarang syirik? Sepatutnya dakwah itu mestilah pertama sekali mencegah kemungkaran yang paling besar. Mestilah dimulakan dengan mencegah kemungkaran syirik dan kufur, kemudian baru perkara-perkara lain seperti ilmu tentang perkara-perkara bid’ah, dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan sebagainya.

Maknanya kita kena mulakan dengan yang paling utama sekali iaitu perkara yang mula-mula sekali para Nabi dakwahkan kepada umat mereka. Iaitu mencegah kemungkaran syirik. Ini jelas disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an tentang dakwah para Nabi, seperti yang kita lihat di dalam A’raf:59

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”

Dan sama juga dakwah Nabi Hud seperti disebut di dalam A’raf:65

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “


 

Ancaman Jika Tidak Melakukan Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Ramai umat Islam yang sudah tahu tentang kemungkaran yang dilakukan oleh manusia di hadapan mata mereka. Akan tetapi kita perhatikan ramai yang memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Kalau tidak menegurkan itu adalah kerana meninggalkan terus amar ma’ruf nahi munkar, maka ini adalah perkara yang bahaya. Allah melaknat mereka yang meninggalkannya. Ini kita boleh perhatikan dalilnya di dalam Maidah:78-79

لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرٰءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ‌ۚ ذٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨) ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُ‌ۚ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)

Maka perhatikan bagaimana golongan Bani Israil dahulu tidak melakukan nahi munkar maka balasannya mereka telah dilaknat. Malah Allah mengancam dengan azab jika tidak melakukannya; malah doa pun tidak mustajab kalau kita tidak menjalankannya. Ini seperti disebut di dalam hadis,

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْ عِنْدِهِ ثُمَّ لَتَدْعُنَّهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, hendaknya kalian benar-benar menyuruh kepada kebajikan dan benar-benar mencegah kemungkaran, atau (jika tidak) maka hampir-hampir Allah akan mengirimkan seksa dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian berdoa kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”

(Jami’ At-Tirmidzi, No. 2169. Dia berkata: Hadis ini Hasan)

Tapi ia amat sukar dilakukan. Malah ada yang memberi alasan kita tidak perlu melakukannya. Mereka berhujah dengan Ayat Maidah:105 kerana mereka tidak belajar tafsir dan hanya membaca terjemahan sahaja.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلَيكُم أَنفُسَكُم ۖ لا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهتَدَيتُم ۚ إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Lihatlah apa kata Abu Bakr رضي الله عنه tentang ayat ini:

حَدَّثَنَا قَيْسٌ قَالَ قَامَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَحَمِدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الْآيَةَ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ وَإِنَّكُمْ تَضَعُونَهَا عَلَى غَيْرِ مَوْضِعِهَا وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الْمُنْكَرَ وَلَا يُغَيِّرُوهُ أَوْشَكَ اللَّهُ أَنْ يَعُمَّهُمْ بِعِقَابِهِ قَالَ وَسَمِعْتُ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ مُجَانِبٌ لِلْإِيمَانِ
Telah menceritakan kepada kami [Qais], dia berkata; ” [Abu Bakar] berdiri lalu memuji Allah dan mensucikan-Nya, kemudian dia berkata; “Wahai manusia, sesungguhnya kalian membaca ayat ini: “Wahai orang-orang yang beriman, kalian bertanggungjawab atas diri kalian masing-masing, tidak akan membahayakan kalian sedikit pun orang yang tersesat.. (sampai akhir ayat), dan kalian menempatkannya tidak pada tempatnya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jika manusia melihat kemungkaran, kemudian tidak merubahnya, maka dikhuatirkan Allah akan meluaskan azab kepada mereka semua.” Dia berkata; “Dan aku mendengar Abu Bakar berkata; “Wahai manusia jauhilah dusta kerana sesungguhnya dusta itu menjauhkan kalian dari iman.”

Musnad Ahmad (16) dengan sanad yang sahih

Jadi ada yang jahil mengatakan kita hanya perlu sibukkan diri kita sahaja, tak perlu hendak jaga tepi kain orang lain. Orang lain hendak buat apa, lantaklah kerana perbuatan mereka tidak memudaratkan kita. Itulah kata-kata dari orang yang tak suka perbuatan amar ma’ruf nahi munkar. Tapi kita telah perhatikan bagaimana salah faham itu bukan sahaja di zaman sekarang tapi di zaman para sahabat lagi iaitu zaman Abu Bakr masih hidup lagi, sampaikan beliau terpaksa menjelaskan kepada mereka.

Kalau tadi ada pencelakaan untuk Bani Israil, sekarang ada hadis tentang celaka kepada bangsa Arab pula (termasuk sesiapa yang tidak menjalankan amar ma’ruf nahi munkar).

عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ» وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ
Dari Zainab binti Jahsy radhiyallahu ‘anha, bahawa Nabi ﷺ datang kepadanya dalam keadaan gementar sambil bersabda: “Tiada Tuhan selain Allah, celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang telah dekat. Hari ini telah terbuka dinding penutup Ya’juj dan Ma’juj sebesar ini.” (Baginda melingkarkan ibu jari dengan jari telunjuknya). Zainab binti Jahsy bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang-orang yang saleh?” Baginda ﷺ menjawab: “Ya, jika al-khabats (kemaksiatan/kefasikan/kekejian) telah merajalela.”

(Sahih Bukhari no. 3346 dan Muslim no. 2880)

Perhatikan Zainab kehairanan kenapa boleh jadi begitu jikalau masih ada orang saleh di kalangan manusia? وَفِينَا الصَّالِحُونَ? Rasulullah menjawab tetap juga berlaku. Kerana kalau ramai orang saleh tapi tidak menjalankan kerja menegur manusia, maka Allah akan balas dengan menurunkan azab. Apabila tidak menegur kesalahan manusia, maka keburukan akan bermaharajalela dan kerana itulah Allah akan turunkan azab.

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا
“Perumpamaan orang yang menegakkan hukum-hukum Allah dan orang yang terjerumus di dalamnya (melanggarnya/diam saja) adalah seperti sekelompok orang yang berbagi tempat di sebuah kapal. Sebahagian mereka ada yang mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Penduduk di bahagian bawah, jika mereka ingin mengambil air, mereka harus melewati orang-orang yang berada di bahagian atas. Maka mereka berkata: ‘Andai saja kita lubangi saja (lantai kapal) di bahagian kita ini, sehingga kita tidak perlu mengganggu orang-orang yang di atas kita.’ Jika orang-orang yang di atas membiarkan sahaja apa yang diinginkan oleh orang-orang bawah tersebut, maka binasalah mereka semua. Namun, jika mereka mencegah dengan tangan mereka (tindakan nyata), maka selamatlah mereka dan selamatlah semuanya.”

(Sahih Bukhari, No. 2493)

Di dalam hadis ini Nabi beri analogi supaya kita senang faham dan boleh bayangkan betapa burukkan kalau buat tidak tahu sahaja perbuatan orang lain. Kehidupan bermasyarakat diibaratkan sebuah kapal di tengah lautan. Kehancuran yang disebabkan oleh satu kelompok (pelaku maksiat) akan menenggelamkan seluruh penumpang jika tidak dicegah. Yang di atas adalah orang soleh dan yang di bawah adalah orang jahat. Orang yang berada di atas (orang saleh/pemimpin) tidak boleh merasa aman hanya kerana posisi mereka tinggi. Jika mereka membiarkan kemungkaran di bawah, mereka juga akan ikut tenggelam. Jangan sangka mereka akan selamat. Jangan sedap sahaja duduk di atas tapi tidak tengok apa yang berlaku di bawah. Jangan asyik hendak sembang sama-sama ustaz sahaja tapi bergaullah dengan masyarakat awam di bawah dan tengok apa yang mereka lakukan.

Tapi apa yang berlaku sekarang? Ramai yang tengok sahaja orang kampung buat maksiat, adik-beradik kita buat maksiat, ahli keluarga yang lain buat maksiat. Kita biar sahaja apa yang mereka lakukan, walaupun perbuatan mereka salah. Dengan alasan takut nanti orang sudah tak sayang. Kesian dengan anak hendak tidur, jadi kita tak kejut subuh untuk solat subuh.

Bagaimana kalau kita memang hendak tegur, tapi kita pun dalam hati tahu yang orang yang kita akan tegur itu pun bukannya akan dengar pun? Malah ada kemungkinan kita pula kena marah, kena perli “wah, ada orang dah jadi ustaz sekarang…!”.

Dan tambah buruk lagi ada pula jenis dungu, menghalang kita dari menegur. Dia memang tak buat salah, tak buat maksiat, tapi dungu dia adalah menghalang kita menegur. Sudahlah dia pondan tak berani tegur, dia pula marah kita bila menegur. Dia mungkin kata, “tak payahlah buang masa tegur, bukan dia dengar pun… buang beras jer..”. Ada bukan orang sebegini? Jadi ada A: yang hendak menegur; ada B: yang buat maksiat dan patut ditegur; tapi ada C: tidak menegur orang buat maksiat, tapi tegur orang yang hendak menegur. Allah sebut tentang keadaan ini di dalam A’raf:164-165

وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٌ مِّنۡہُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًا‌ۙ ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُہُمۡ عَذَابًا شَدِيدً۬ا‌ۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ (١٦٤) فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُڪِّرُواْ بِهِۦۤ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡہَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۭ بَـِٔيسِۭ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ (١٦٥)
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa. (164) Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (165)

Lihatlah ada teguran dari pihak ketiga itu. Orang hendak tegur, dia pula sibuk menghalang. Tapi lihat jawapan pihak yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar itu: “untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa“. Pertamanya supaya kita ada hujah di hadapan Allah kerana kita telah jalankan tugas dan kewajipan kita. Orang hendak ikut atau tidak, itu hak mereka dan mereka akan tanggung. Tapi jangan kita dipersalahkan Allah nanti kerana tidak menegur. Keduanya, kita tegur itu entah orang itu terima atau tidak, kita pun tidak tahu. Entah hari itu ada sesuatu berlaku kepada dia dan Allah buka pintu hati dia untuk menerima teguran. Jadi kita tegur sahaja lah.

Dan yang menakutkan adalah di dalam Ayat 165 itu. Allah mengancam azab kepada orang yang zalim. Yang selamat adalah yang menegur. Jadi orang yang menghalang orang menegur itu masuk di mana? Selamat atau tidak? Ada pendapat mengatakan mereka ini tidak selamat!


 

Apakah Maksud Hadis Secara Bahasa

Maksud مُنْكَراً

Kalimah مُنْكَراً di dalam مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang asing, tidak dikenal, atau tidak diakui. Dalam bahasa Arab, jika anda melihat sesuatu yang tidak anda kenal, anda akan berkata “أنكرته” (Aku tidak mengenalnya). Dalam penggunaan bahasa, munkar juga mengandung makna sesuatu yang buruk, aneh, atau jahat. Mengapa disebut demikian? Kerana nurani manusia yang sihat (fitrah) secara alami akan merasa “asing” dan menolak keburukan tersebut. Kita tidak kenal perkara itu sebagai baik. Kalimah مُنْكَر merupakan lawan kata (antonim) kepada ma’ruf (مَعْرُوف). مَعْرُوف pula adalah sesuatu yang dikenal baik, diakui, dan diterima oleh umum sebagai kebaikan.

Dalam Ilmu Hadis, kadang-kadang kita akan berjumpa dengan hadis yang berstatus Hadis Munkar (الحديث المنكر). Bukanlah bermaksud hadis ini ada maksiat pula. di dalam ilmu Musthalahul Hadis, istilah ini merujuk pada status kelemahan (kedhaifan) yang sangat parah pada sebuah riwayat. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang lemah (dhaif), yang riwayatnya itu menyelisihi atau bertentangan dengan riwayat perawi yang terpercaya (tsiqah). Imam Ahmad bin Hanbal pula menggunakan istilah “Munkar” untuk hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sendirian (tafarrud), di mana tidak ada orang lain yang meriwayatkan hadis tersebut, padahal perawi itu tidak cukup kuat untuk dipercaya sendirian.

 

Maksud يَدِ

Apabila berjumpa dengan kemungkaran, Rasulullah kata فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ. Apabila disebut mencegah dengan ‘tangan’, ia bermaksud dengan kuasa. Iaitu kalau kita ada kuasa, sebagai bapa dalam keluarga, sebagai pemimpin, atau kita ada kemampuan kita.

Ia juga bermaksud kita ada kemampuan fizikal. Jika seseorang memiliki kemampuan fizikal untuk menghentikan suatu kemungkaran secara langsung (misalnya: memisahkan orang yang sedang berkelahi, membuang khamar yang ditemukan di rumahnya sendiri, atau mengambil barang curian untuk dikembalikan), maka itulah makna “tangan”.

Tapi ia juga bermaksud kita pegang tangan orang yang melakukan kesalahan itu dan mengajaknya berubah. Kita pimpin dia dan bawa dia ke arah kebaikan.

Kita juga sebagai rakyat dan orang awam juga boleh menegur pemimpin. Tapi kalau hendak menasihati pemerintah atau orang yang berkuasa, janganlah dia menggunakan kekuatan seperti angkat senjata. Contoh: Ada yang melihat kemungkaran pada pemerintah. Kalau hendak mengubahnya dengan tangan, ia sebenarnya tidak mampu. Dan ini memang tidak boleh dilakukan kerana jika dengan menghancurkan satu kemungkaran itu muncul kemungkaran lain yang lebih parah (misalnya perang saudara atau pertumpahan darah), maka tindakan dengan “tangan” harus dihindari.

Namun, jika dibiarkan sahaja pemimpin itu, kerosakan akan terjadi. Maka ia kena berpindah kepada cara yang seterusnya iaitu ‘lisan’. Kita telah lihat di atas bagaimana Marwan ditegur oleh rakyatnya. Tapi kena menggunakan kalimah dan cara yang lembut. Kerana kalau ditegur dengan keras, ia juga boleh membahayakan dirinya juga. Kerana kezaliman boleh dikenakan kepada dirinya, atau pada keluarganya, pada orang-orang yang dekat dengannya. Tambahan pula kalau pemimpin itu orang yang zalim. Voltaire kata “It is dangerous to be right in matters on which the established authorities are wrong.” Jadi jika kita takut kerosakan seperti itu, kemungkaran yang terjadi jangan diingkari dengan jelas. Hal ini sama maknanya dengan Ayat An’am:108

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدوَۢا بِغَيرِ عِلمٍ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan ilmu. 

Jadi jangan memburukkan pemimpin sebegitu, tapi hendaklah dipegang tangannya dan tegur dia dengan cara yang lembut. Tapi kalau kita ada kuasa, seperti kita ketua syarikat, kita boleh gunakan kuasa kita ke arah kebaikan. Contohnya kita boleh buat ketetapan, mana-mana pekerja yang tidak solat, akan kita buang kerja. Mana-mana pekerja yang buat maksiat, kita akan potong gaji. Kita mungkin ayah, kita abang long, kita ada suara dalam keluarga. maka gunakanlah kuasa itu. Kita boleh tetapkan, kalau majlis kahwin nanti tak boleh ada lagu-lagu, tak boleh ada menari poco-poco. Jangan hiraulah kata orang bodoh.

 

Maksud لِسَانِ

Kemudian Rasulullah bersabda: فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ. Dengan lisan itu maksudnya dengan mulut, dengan ucapan. Dan juga lisan itu tambah ‘tu’ jadi ‘tulisan’. Iaitu kita menulis untuk menasihati orang lain. Ini kita boleh lakukan dengan banyak sekarang kerana zaman medsos, jadi sesiapa sahaja boleh tulis dan menegur orang lain.

Tapi malangnya berat mulut orang kita untuk menegur rupanya. Kadang orang sebelah kita macam kawan baik, ahli keluarga atau rakan sekerja tak solat, kita buat biasa sahaja. Dia memang tak minum arak, tak berzina…tapi sebenarnya dari segi dosa, dosa meninggalkan solat itu lebih besar sebenarnya dari dosa zina dan arak! Bayangkan sampai ada pendapat mazhab yang kata kalau meninggalkan solat sudah  jatuh kufur. Dan ada mazhab membolehkan kerajaan untuk bunuh orang yang tidak solat.

Begitu jugalah dengan dosa riba. Ramai yang mengamalkannya, tak kiralah ustaz atau orang biasa. Kerana sudah terbiasa. Sedangkan di dalam Al-Qur’an, ada ancaman perang dari Allah dan Rasul jika mengamalkan riba.

 

Maksud بِقَلْبِهِ

Dan jika itu pun tak mampu, maka tolaklah dengan hati. Nabi bersabda: فَإِنْ لَمْ يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ. Apa maksud tolak dengan hati? Iaitu kena benci dengan kesalahan buruk yang dilakukan. Kena bara’, kena tunjuk benci. Bara’ bermaksud berlepas diri. Dan ini ada lima perkara:

Pertama, dia kena iktikad bahawa benda itu adalah maksiat. Kalau hati dia tak iktikad bahawa benda tu maksiat dan mungkar, itu adalah bahaya kerana ia bermaksud redha dengan kesalahan itu.

Yang kedua, memberi perbuatan itu. Bukan sekadar tahu itu dosa, tapi hati harus merasakan ketidaksukaan, ketidaknyamanan, atau kebencian perkara itu kerana Allah. Anda membenci perbuatan tersebut kerana hal itu melanggar batasan Allah.

Yang ketiga, bila sudah iktikad benda itu maksiat dan benda itu tak elok, maka dia kena meninggalkan orang atau majlis yang ada perbuatan maksiat itu. Tidak bolehlah kata saya benci dengan hati, tapi terus duduk dalam majlis tersebut Kalau dalam majlis itu ada seorang minum arak, tak boleh lagi duduk sekali di situ. Jadi tak boleh beri alasan iman lemah jadi kena benci dalam hati sahaja tapi terus duduk di dalam majlis maksiat.

Yang keempat, menjauhinya iaitu kalau sudah tahu di situ ada tempat maksiat, maka jangan pergi. Contohnya ada orang ajak pergi majlis syarikat yang ada sambutan Krismas, ini tidak boleh pergi langsung. Memang berdosa kalau pergi.

Yang keempat, tidak menyokongnya. Tak bolehlah benci tapi apabila ditugaskan buat persediaan sambutan majlis sambutan Krismas itu kerana itu tempat dia kerja, ini tak bolehlah.

Yang kelima, syarat hati yang hidup adalah adanya keinginan yang tulus: “Andai aku punya kekuatan/kemampuan, aku pasti akan mengubah kemungkaran ini dengan tangan atau lisanku.” Jika hati merasa nyaman atau “maklum” tanpa ada keinginan untuk melihat kemungkaran itu hilang, maka fungsi hati sebagai pencegah maksiat telah gugur.

Keenam, mengingkarinya iaitu menganggap kemaksiatan itu hal yang besar. Kalau menganggap kemaksiatan tersebut sebagai hal kecil, itu adalah tanda matinya fungsi hati. Syaratnya adalah tetap menganggap hal itu sebagai perkara besar kerana ia adalah pelanggaran terhadap Zat Yang Maha Besar.

 

Maksud أَضْعَفُ الإِيْمَانِ

Kemudian Nabi kata di dalam hadis ini, membenci dengan hati itu adalah وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ (dan itu merupakan selemah-lemahnya iman). Apakah maksudnya? Dikatakan “selemah-lemahnya” iman kerana ini adalah benteng terakhir. Jika seseorang melihat kemaksiatan namun hatinya tidak merasa benci, tidak merasa berdosa, atau merasa biasa saja (redha), maka menurut para ulama’, di saat itu tidak ada lagi iman yang tersisa dalam dirinya terkait kejadian tersebut. Hati yang tidak lagi membenci kemungkaran adalah hati yang sudah “mati” secara spiritual.

Penting untuk difahami bahawa kalimat “selemah-lemah iman” dalam hadis ini merujuk pada derajat tindakan atau respons terhadap sebuah peristiwa kemungkaran, bukan berearti orang tersebut secara peribadi memiliki iman yang rendah dalam segala hal. Namun, secara metodologi perjuangan, hanya mampu membenci di dalam hati tanpa melakukan tindakan apa pun adalah manifestasi keimanan yang paling pasif.

Meskipun peringkat ini “sah” secara syariat bagi mereka yang lemah, menetap di peringkat ini tanpa ada upaya untuk meningkatkan kemampuan diri (agar suatu saat mampu menegur dengan lisan atau tangan) adalah hal yang membahayakan. Sebab, jika seseorang sudah terbiasa hanya “membenci dalam hati” tanpa ditambah dengan upaya menjauh, lama-kelamaan hati akan terbiasa dengan pemandangan maksiat tersebut, dan perlahan-lahan rasa benci itu hilang — yang ertinya iman pun ikut hilang.


 

Glosari Istilah Utama

Amar Ma’ruf: Mengajak atau menyuruh manusia melakukan perkara yang diiktiraf oleh Syarak sebagai baik.

Nahi Munkar: Mencegah atau melarang perkara yang ditolak oleh Syarak sebagai jahat, buruk, atau mungkar.

Fardu Kifayah: Kewajipan yang dituntut ke atas seluruh komuniti; jika dilaksanakan oleh sebahagian, kewajipan yang lain gugur.

Fardu Ain: Kewajipan individu yang tidak boleh diwakilkan kepada orang lain dalam keadaan tertentu.

Ijtihad: Usaha ulama’ besar dalam menentukan hukum bagi perkara yang tidak mempunyai dalil putus (hitam-putih).

Khilaf Muktabar: Perbezaan pendapat dalam kalangan ulama yang sah dan dihormati kerana masing-masing mempunyai sandaran dalil yang kuat.

Basirah: Penglihatan batin atau keyakinan teguh yang dibina atas hujah nyata (Al-Qur’an dan Sunnah).

Zindiq: Seseorang yang berpura-pura beriman tetapi menyembunyikan kekufuran atau mendakwa mengetahui baik dan buruk tanpa melalui jalan Syarak.

Hikmah: Melakukan atau mengucapkan sesuatu yang tepat, pada waktu yang tepat, dengan cara yang tepat (metodologi yang betul).

Bara’: Perasaan berlepas diri dan tidak redha terhadap kemaksiatan yang berlaku.

Al-Khabats: Kemaksiatan, kefasikan, atau kekejian yang jika merajalela boleh mengundang bencana menyeluruh.

Tadarruj: Pendekatan dakwah yang dilakukan secara beransur-ansur, terutamanya kepada orang awam atau mualaf.

 

Kemaskini: 7 Mei 2026


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Rumaysho

🔴JELANG DZULHIJJAH! INI AMALAN YANG HARUS DIPERSIAPKAN | Dr SYAFIQ

🔴JELANG DZULHIJJAH! INI AMALAN YANG HARUS DIPERSIAPKAN | Dr SYAFIQ RIZA BASALAMAH TERBARU ‼️