Wednesday, 14 August 2024

Rahmat Berselawat



Rahmat Berselawat

Seluruh umat Muslimin terhutang budi kepada Nabi Muhammad SAW, selaku Rasul terakhir, merangkap Penghulu sekelian Rasul, baginda bertanggungjawab sepenuhnya membawa ajaran Islam ke seluruh dunia.  Kalau tidak kerana kesungguhan dan kegigihan usahanya maka sudah barang tentu nikmat Islam ini tidak dapat kita kecapi.


     Setiap hutang mesti dibayar, lebih-lebih lagi hutang budi.  Sabda Nabi SAW, sesiapa yang menerima budi orang lain sama ada berupa harta benda, ilmu pengetahuan atau lain-lain maka orang yang menerima budi itu disuruh membalasnya dengan sebarang yang ada padanya.  Setidak-tidaknya berdoa untuk orang yang berbuat budi itu seberapa banyak yang ia fikir berpadanan dengan budi yang ia terima.  Orang yang tidak berbuat demikian  adalah orang yang tidak mengenang budi.  Berdosa.


     Umat Islam seharusnya mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada setiap kali menyebut, menulis atau terdengar nama Nabi atau gantinama nya atau pangkat kerasulannya disebut orang.  Pendapat ini adalah pendapat sebahagian besar pengikut-pengikut mazhab Maliki, Hanafi, Syafie dan Hambali.


     Keempat-empat ini berpendapat sesiapa yang tidak berselawat kepada Nabi maka ia telah melakukan satu dosa.   Banyak hadith menjelaskan bahawa Rasullullah SAW memberi amaran, iaitu sesiapa yang tidak berselawat kepada Nabi maka orang itu dikira sebagai sebakhil2 manusia.  Dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya.    Dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan.  Dialah yang jauh dari rahmat Allah, dan dialah yang akan masuk kedalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya kerana meninggalkan selawat ke atas Nabi.


     "Wahai orang yang beriman! Ucapkanlah selawat keatas Nabi dan berikanlah salam dengan sebaik-baiknya."  (Al Ahzab: 56)


     Sebenarnya amalan selawat ke atas Nabi itu mengandungi banyak kelebihannya...Antaranya:


                * Memperoleh rahmat Allah yang melimpah-limpah.  Sabda Nabi SAW , sesiapa yang berselawat kepada ku satu kali nescaya Allah akan limpahkan 10 rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat.  Sebetulnya Rahmat Allah itu sangat penting, sebarang nikmat seperti ilmu pengetahuan, anak-anak , harta benda , pangkat atau kebesaran  jika tidak disertai oleh rahmat maka akan bertukar menjadi  bala bencana atau kecelakaan.

              * Dapat duduk berdekatan dengan Nabi di Akhirat nanti.   Sabda Nabi SAW , sesungguhnya orang yang paling hampir dari kalangan kamu di Hari Kiamat di setiap tempat aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak berselawat kepadaku di dunia.

                     * Beroleh syafaat daripada Nabi di akhirat nanti.  Sabda Nabi SAW , orang yang lebih berhak mendapat syafaatku di Hari Kiamat nanti ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.

                     * Layak memperoleh selawat  malaikat yang sentiasa berselawat kepada Nabi, selama ia berselawat kepada Nabi SAW .  Sabda Nabi SAW , sesiapa yang berselawat kepadaku dengan satu selawat sentiasalah maalaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku.

No comments:

Post a Comment