Home

Showing posts with label Syarah Hadis #25 (Hadis 40 Imam Nawawi) PART 1. Show all posts
Showing posts with label Syarah Hadis #25 (Hadis 40 Imam Nawawi) PART 1. Show all posts

Friday, 4 September 2026

Syarah Hadis #25 (Hadis 40 Imam Nawawi) PART 1

 

Syarah Hadis #25 (Hadis 40 Imam Nawawi)

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ » رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Daripada Abu Dzarr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa ada sejumlah orang sahabat Rasulullah ﷺ berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan-jalan lain untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, mengajak pada kebaikan (makruf) adalah sedekah, melarang dari kemungkaran adalah sedekah, dan berhubungan intim dengan isteri kalian adalah sedekah.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya lalu mendapatkan pahala di dalamnya? Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah akan mendapatkan dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka ia mendapatkan pahala.”
[Sahih Muslim, no. 1006]


Syarah Hadis

Pertamanya kita kena kenal antara sikap para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ, mereka berasa sedih apabila tidak boleh melakukan ibadat. Mereka akan bersedih apabila ada ruang untuk mengerjakan ibadat itu tertinggal. Ini kita boleh perhatikan firman Allah ‎ﷻ di dalam Tawbah:92

Kisahnya mereka berasa sangat sedih kerana mereka tidak mampu menyertai Perang Tabuk kerana mereka tidak mempunyai kenderaan kerana mereka miskin. Sekarang kita lihat kisah para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ mengadu kepada Rasulullah ﷺ akan kekurangan mereka dari segi harta dan tidak dapat bersedekah. Maka Nabi ﷺ telah menjawab dan memberikan ajaran yang amat penting kepada mereka dan kita.

Sekarang kita lihat kata-kata sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ, mereka tidak puas apabila orang kaya banyak bersedekah. Sekali baca macam mereka itu ‘dengki’ pula. Mereka dengki dengan golongan sahabat yang kaya yang mendapat pahala yang banyak kalau dibandingkan dengan mereka. Jadi soalan yang pertama, bolehkah dengki pada orang lain dalam bab ini? Maka para ulama’ membincangkan perkara ini. Pertama sekali, di dalam Islam ada dibezakan dengki yang negatif dan dengki yang positif. Kalau di dalam Bahasa Melayu yang miskin, kalau dengki itu dengkilah! Akan tetapi di dalam Bahasa Arab, ada dibahagikan dengki yang negatif dan dengki yang positif.


HASAD

Dengki yang negatif ini macam mana? Dengki yang negatif ini, Bahasa Arab panggil hasad. Dalam istilah para ulama: “الحسد: تمني زوال النعمة عن الغير حصلت عليها أم لم تحصل” (Dengki adalah menginginkan hilangnya nikmat daripada orang lain, baik dia mendapatkannya atau tidak). Oleh itu hasad maksudnya ialah mereka berharap hilangnya nikmat yang ada pada saudaranya itu. Hasad ini maksudnya dia lihat orang itu ada kelebihan dan dia tidak puas hati, dia rasa dengki. Dan dia hendak nikmat itu hilang daripada orang yang ada nikmat itu. Kalau boleh dia dapat benda yang dia dengkikan itu, kalau tak dapat pun tidak mengapa, asalkan orang itu pun tak dapat! Begitulah teruknya sifat hasad ini.

Hasad ini haram dalam Islam, inilah hasad yang jenis negatif. Rasulullah ﷺ ada bersabda (Hadis #35 juga di dalam kitab Imam Nawawi)

Di dalam riwayat yang lain pula,

Oleh itu, hasad ini tidak bagus dan ia perbuatan yang dikutuk oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sebut dalam Al-Qur’an berkenaan dengan perangai orang musyrik, orang-orang munafiq, orang-orang Yahudi dan Nasrani yang dengki apabila Allah ‎ﷻ turunkan wahyu kepada orang Islam. Perhatikan Baqarah:105

Malah dosa yang pertama sekali dalam sejarah kejadian manusia ialah hasad. Itulah dosa yang dilakukan oleh iblis. Dia hasad apabila kedudukan Khalifah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana dia merasa bahawa dia lebih layak daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baru sahaja dijadikan sedangkan dia sudah lama berkhidmat kepada Allah ‎ﷻ. Sekali lagi hasad itu maksudnya berharap hilangnya nikmat daripada orang lain dan ini adalah perbuatan yang mungkar.

Kita kenalah ingat yang hasad ini ialah amal qalbi (hati). Maksudnya kalau kita melayan perasaan ini di dalam hati, sudah berdosa tanpa membuat apa-apa pun lagi. Dan ia bukan dosa ringan tapi ia adalah dosa aqidah iaitu tidak redha dengan ketentuan Allah!

Dan ia boleh dilakukan dengan berbagai cara. Apabila ada dalam hati sahaja pun sudah berdosa (kalau melayan perasaan itu). Dan kalau dizahirkan dengan lisan, lagilah bertambah dosa dan lebih buruk. Sekiranya dilakukan dengan perbuatan badan pula untuk menghilangkan nikmat daripada orang lain, lagilah teruk! Contoh hasad lisan adalah bagaimana kadangkala kita dengar orang berkata: “Alah dia tu dapat naik pangkat tu bukan apa, sebab dia guna kabellah tu!”

Hasad dengan badan pula, bagaimana? Ini apabila kita melakukan perbuatan-perbuatan untuk menghilangkan nikmat daripada orang lain. Ini lebih teruk kerana telah melibatkan perbuatan.

Hasad ini kalau hanya ada di dalam hati pun sudah berdosa walaupun belum diluahkan dengan kata-kata atau melakukan apa-apa pun lagi kerana hasad ini bukanlah setakat lintasan hati. Lintasan hati memang susah dijaga kerana kadang-kadang perasaan itu lalu di dalam hati kita, bukan? Ini tidaklah berdosa lagi kerana lintasan itu belum ada usaha lagi. Ia belum menjadi niat. Namun begitu jikalau dilayan perasaan itu dalam hati, ia sudah dikira menjadi usaha. Maka kita kenalah perasan lintasan hati itu dan cepat-cepat menutup perasaan itu dan jangan dilayan kerana ia adalah bisikan daripada syaitan. Yang menjadi masalah apabila kita tidak sedar tentang perkara ini dan biarkan sahaja ia terus bermain di benak fikiran kita. Dan tidak sedar itu adalah kalau tidak belajar mengenal pasti yang ia adalah hasad, dan tidak tahu dosanya. Ini kenalah belajar.

Baik, itu tadi adalah hasad yang negatif, yang buruk. Akan tetapi ada satu lagi hasad yang bagus. Hasad yang dibenarkan. Ini berdasarkan kepada hadis,

Maknanya kita dibenarkan untuk cemburu kepada seseorang yang menggunakan hartanya dalam dan pada ketaatan. Yang kedua pula, boleh kalau kita rasa cemburu dengan seseorang beramal dengan ilmunya dan dia berhukum dengan ilmunya. Namun begitu yang ini tidaklah dipanggil hasad tetapi digelar ghibtah (غبطة). Ghibtah ini bagus kerana kita berharap hendak jadi seperti orang tu. Kita berharap supaya jadi kaya supaya dapat bersedekah, contohnya. Kita hendak jadi pandai seperti orang itu supaya kita boleh beramal dan kita boleh menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Ia berlainan dengan hasad kerana orang yang hasad berharap dihilangkan nikmat itu daripada orang itu.

Jadi ghibtah itu tidak berdosa kerana orang yang ada ghibtah itu dengki orang lain sahaja dapat pahala, maka dia pun hendak dapat pahala juga. Seperti para sahabat yang disebut di dalam hadis inilah.

Antara dengki yang baik adalah kalau mahu dapatkan harta dan ilmu untuk melakukan kebaikan. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi (Hadis No. 2325) dan beliau menyatakan ia adalah hadis Hasan Shahih.

:إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ

  1. عَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَعِلْمًا: فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَيَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَفْضَلِ الْمَنَازِلِ.
  2. وَعَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ عِلْمًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ مَالًا: فَهُوَ صَادِقُ النِّيَّةِ، يَقُولُ: لَوْ أَنَّ لِي مَالًا لَعَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ، فَهُوَ بِنِيَّتِهِ، فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ.
  3. وَعَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ عِلْمًا: فَهُوَ يَخْبِطُ فِي مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ، لَا يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَلَا يَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَلَا يَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَخْبَثِ الْمَنَازِلِ.
  4. وَعَبْدٍ لَمْ يَرْزُقْهُ اللَّهُ مَالًا وَلَا عِلْمًا: فَهُوَ يَقُولُ: لَوْ أَنَّ لِي مَالًا لَعَمِلْتُ فِيهِ بِعَمَلِ فُلَانٍ، فَهُوَ بِنِيَّتِهِ، فَوِزْرُهُمَا سَوَاءٌ.

“Sesungguhnya dunia itu milik empat golongan orang:

1. Hamba yang Allah ‎ﷻ kurniakan harta dan ilmu: Dia bertaqwa kepada Tuhannya, menyambung silaturahim, dan mengetahui hak Allah ‎ﷻ (zakat/sedekah). Inilah kedudukan yang paling mulia.

2. Hamba yang Allah ‎ﷻ kurniakan ilmu tetapi tidak diberi harta: Niatnya benar, dia berkata: ‘Kalaulah aku ada harta, aku akan buat seperti si fulan (golongan pertama)’. Maka dia mendapat pahala berdasarkan niatnya, dan pahala keduanya adalah sama.

3. Hamba yang Allah ‎ﷻ kurniakan harta tetapi tidak diberi ilmu: Dia menghabiskan hartanya tanpa ilmu (membabi buta), tidak bertaqwa, dan tidak menyambung silaturahim. Inilah kedudukan yang paling buruk.

4. Hamba yang tidak dikurniakan harta mahupun ilmu: Dia berkata: ‘Kalaulah aku ada harta, aku akan buat seperti si fulan (golongan ketiga)’. Maka dia mendapat dosa berdasarkan niatnya, dan dosa keduanya adalah sama.”

Syarah: Hadis ini menjadi dalil besar tentang kekuatan niat (The Power of Intent). Seseorang yang miskin harta namun memiliki “kekayaan niat” yang baik mampu menyamai pahala jutawan yang dermawan. Sebaliknya, orang yang miskin tetapi berangan-angan melakukan maksiat juga menanggung beban dosa yang berat.

Jadi sahabat yang kita sedangkan bincangkan ini jenis apa? Jenis yang baik yang patut kita contohi. Mereka hendak mendapat pahala banyak-banyak sebagaimana kalangan sahabat yang kaya juga supaya mereka dapat bersedekah dan dapat pahala banyak juga. وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. Mereka ini jenis orang yang tamak pahala dan ini adalah bagus. Kalau tamak harta tidak bagus sebaliknya tamak pahala sangat bagus.

Maka Nabi ﷺ kata kepada mereka dalam rangka mengajar mereka: “bukankah Allah ‎ﷻ jadikan banyak kamu jalan lain untuk bersedekah?” Maksudnya, ada jalan lain untuk bersedekah. Iaitu tasbih, tahmid, tahlil itu pun sedekah juga.


SADAQAH

Jadi, apa hakikat maksud sedekah? Ini yang menjadi perbincangan utama kita di sini. Bagaimana pula tasbih, tahlil, tahmid dan sebagainya itu dikira sebagai sedekah? Bukankah sedekah itu apabila kita bagi duit kepada orang? Kalau orang tidak belajar, maka itulah sahaja fahaman mereka tentang sedekah. Maka untuk menjawab persoalan di sini kita kena bincangkan sadaqah itu, apakah maksudnya? Apakah kata asal bagi sadaqah?

Kata dasar bagi Sadaqah adalah ص د ق. Maksud asalnya adalah membenarkan. Maksudnya, apabila seseorang itu dia bersedekah, dia sebenarnya sedang menzahirkan keimanannya kepada Allah ﷻ kerana dia ‘membenarkan’ keimanannya kepada Allah ﷻ. Sadaqah tu maksudnya benar, jujur. Kenapa? Sebab orang yang keluarkan duit ini, tanda dia jujur iman dia kepada Allah ﷻ. Bukankah Allah ﷻ telah berfirman Tawbah:119

Kenapa kita kena menjadi orang yang benar? Begitulah jika kita belajar Akidah, kita akan belajar syarat kalimah La ilaha illa Allah, iaitu salah satu syaratnya ialah As-Siddiq. Yang bermaksud ‘Benar’. Lawan kepada ‘benar’ adalah Nifaq. Tanda iman seseorang itu benar kepada Allah ﷻ, dia akan melakukan amal kebaikan untuk membuktikan keimanannya kepada Allah ﷻ. Dan sadaqah itu adalah salah satu bukti tanda keimanan.

Dan bukankah kita telah pernah lalui satu hadis di dalam Hadis 40 ini juga sebelum ini (Hadis #23), Nabi kata,

Bukti apa? Bukti keimanannya. Sebab apa perlukan bukti dengan melakukan sedekah? Sebagai contoh kalau kita lihat sedekah di dalam bentuk wang ringgit, kenapa ia dipanggil sedekah? Sebab manusia ni secara fitrah dia cintakan harta. Maka orang yang sanggup bersedekah itu membuktikan imannya kerana dia percaya dengan janji-janji Allah ﷻ. Allah ﷻ ada berfirman di dalam Fajr:20

Allah ﷻ ada juga berfirman di dalam Aadiyat:8

Maka mengeluarkan wang dan beri kepada orang adalah satu perbuatan yang agak berat bagi kebanyakan manusia dan ia hanya dilakukan oleh mereka yang kuat imannya dan percaya sungguh-sungguh dengan janji Allah. Apabila percaya dengan janji Allah ﷻ, maka seorang Mukmin itu dapat mengeluarkan harta yang dia usahakan untuk diberikan kepada orang yang memerlukan. Untuk melakukan hal ini, dia kena lawan sifat bakhil yang ada di dalam dirinya. Bakhil ini adalah fitrah yang ada dalam diri manusia dan ia perlu dilawan. Rasulullah ﷺ telah pernah bersabda tentang bahayanya sifat bakhil ini,

Kenapa bakhil boleh membawa kepada berbunuhan? Para ulama seperti Imam al-Qurtubi dan Imam al-Nawawi رَحِمَهُمَا اللهُ menjelaskan hubung kait antara bakhil dan pembunuhan seperti berikut:

1. Ketamakan yang Melampau: Seseorang yang bakhil bukan sahaja kedekut dengan hartanya, tetapi dia sangat tamak untuk memiliki harta orang lain.

2. Menghalalkan Cara: Apabila sifat tamak ini menguasai hati, dia akan merasakan orang lain sebagai penghalang. Maka, dia sanggup merompak, merampas, dan akhirnya membunuh demi mendapatkan harta atau kuasa.

3. Putus Silaturahim: Bakhil menyebabkan hak-hak orang lain (seperti zakat, nafkah, atau hutang) tidak ditunaikan. Ini menimbulkan dendam dan kebencian dalam masyarakat yang akhirnya meletus menjadi peperangan dan pembunuhan.

Jadi sekarang kita boleh nampak bahayanya apabila terlalu cinta kepada harta dan ada sifat bakhil di dalam hati. Mungkin kita tidak sampai ke tahap sampai bunuh orang, namun kalau tidak sampai ke situ pun, tentu ada sifat-sifat buruk yang akan ada dalam diri. Kerana itulah Allah ‎ﷻ banyak menyebut tentang hakikat dunia yang tidak bernilai supaya manusia tidaklah sayang sangat kepada dunia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Muhammad:36-37

Perhatikan di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita semua hakikat dunia: لَعِبٌ وَلَهۡوٌ (permainan dan hiburan) sahaja. Maka jangan kita kejar sangat dunia, jangan kita cinta sangat dunia. Jangan kerana sayang sangat kepada dunia, kita kikir/kedekut/bakhil. Kemudian Allah ‎ﷻ sebut sifat manusia, yang kalau Allah ‎ﷻ minta sedekah daripada mereka, mereka akan marah dan تَبۡخَلُواْ (mereka menjadi bakhil, kedekut). Maka janganlah kita termasuk ke dalam golongan munafik ini yang berat tangan mereka daripada melakukan sedekah.

Jadi hadis ini mengajar kita bahawa sedekah itu bukan hanya dalam bentuk harta dan wang ringgit, akan tetapi segala amalan yang baik. Rasulullah ﷺ ada bersabda,

Penjelasan para ulama menyatakan bahawa “ma‘ruf” merangkumi segala bentuk kebaikan, bantuan, pertolongan, kata-kata yang baik, menahan diri daripada kejahatan, dan apa sahaja yang memberi manfaat kepada orang lain. Ibn Battal menjelaskan: “Perbuatan baik dianjurkan, dan hadis ini menunjukkan bahawa setiap kebaikan adalah sedekah di sisi Allah, walaupun sedikit, kerana sabda Nabi ﷺ: ‘Setiap kebaikan adalah sedekah.’”

Contoh-contoh kebaikan yang disebut dalam hadis-hadis lain termasuk:

  • Mengucapkan kata-kata yang baik
  • Membantu orang lain
  • Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat
  • Menahan diri daripada melakukan kejahatan
  • Menghilangkan halangan di jalan
  • Senyum kepada orang lain
  • Membantu orang yang memerlukan

Sesetengah ulama mengatakan amal kebaikan yang dikira sebagai sedekah ini hanya dapat pahala jikalau ada niat ketika melakukannya. Mereka berpendapat sebegini berdasarkan kepada hadis yang masyhur إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

Contoh: Anda mengalih dahan pokok di jalan.

  • Jika niat supaya orang tidak kemalangan kerana Allah: Dapat pahala sedekah.
  • Jika buat secara spontan tanpa fikir apa-apa (adat): Dapat manfaat dunia (jalan bersih), tetapi belum tentu ada pahala akhirat.

Akan tetapi bagi orang yang sudah melatih diri dengan Taqwa, niat mereka sering kali menjadi “automatik”. Ini kerana setiap nafas dan langkah mereka sudah diwakafkan untuk Allah ‎ﷻ, maka setiap kebaikan yang mereka lakukan secara spontan tetap akan dikira sebagai sedekah oleh Allah yang Maha Mengetahui. Ada pandangan ulama (seperti Imam Al-Ghazali) yang menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai peribadi yang mulia, dan dia melakukan kebaikan tanpa sempat berfikir panjang (kerana ia sudah menjadi tabiatnya), Allah ‎ﷻ tetap memberikan ganjaran kepadanya atas dasar rahmat-Nya. Namun, untuk memaksimakan pahala sedekah tersebut, kita diajar untuk sentiasa “menghadirkan hati” (Ihdhar al-Qalb).

Jadi sedekah ini adalah amalan yang umum, tidak perlu berniat sebelum melakukannya juga akan dapat pahala. Kita beri kepada orang yang meminta atau tidak, memerlukan atau tidak, in sha Allah akan diberikan dengan pahala.

Sedekah ini Allah ‎ﷻ pun ada beri kepada kita juga. Perhatikan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ya’la bin Umayyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ketika beliau bertanya kepada Saidina Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang memendekkan solat (qasar) jika kamu takut diserang (Nisa:101). Ya’la رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya: “Kenapa kita masih qasar sedangkan sekarang kita sudah dalam keadaan aman (tidak takut)?”. Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab bahawa beliau juga pernah bertanya perkara yang sama kepada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda ﷺ bersabda:

Ia dikira sebagai صَدَقَةٌ kerana ia adalah keringanan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada para musafir. Ini kerana semasa di dalam perjalanan, ada kesukaran yang dialami. Malah ada banyak lagi keringanan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali رَحِمَهُ اللَّهُ, sedekah yang tidak melibatkan harta terbahagi kepada dua jenis:

1. Sedekah yang manfaatnya sampai kepada orang lain, seperti berbuat baik kepada sesama manusia. Contohnya termasuk amar makruf (menyuruh kepada kebaikan), nahi mungkar (mencegah kemungkaran), mengajar ilmu yang bermanfaat, menghilangkan gangguan di jalan, berusaha membawa manfaat kepada orang lain, mendoakan dan memohon ampun untuk kaum Muslimin. Ibn Rajab رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan bahawa jenis sedekah ini kadang-kadang lebih utama daripada sedekah dengan harta kerana ia melibatkan usaha mengajak kepada ketaatan dan mencegah maksiat, yang lebih besar manfaatnya daripada sekadar memberi harta.

2. Sedekah yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri. Jenis kedua ialah sedekah yang manfaatnya hanya untuk pelakunya sendiri, seperti berzikir (bertasbih, bertakbir, bertahmid, bertahlil, beristighfar), berjalan ke masjid, dan amalan-amalan seumpamanya. Amalan-amalan ini juga dianggap sebagai sedekah walaupun tidak melibatkan pemberian kepada orang lain, kerana ia adalah bentuk kebaikan yang mendatangkan pahala kepada pelakunya

Jadi ruang lingkup sedekah amat luas. Kalau mengajar itu sedekah, menulis ilmu pun sedekah juga untuk orang ramai. Malah kalau senyum pun dikira sebagai sedekah. Daripada Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

Kenapakah perbuatan sekecil senyum pun dikira sedekah? Sebab apa? Sebab apabila senyuman itu sampai kepada orang lain, ia boleh menyejukkan hati orang lain. Jadi senyum juga adalah sedekah. Maksudnya reaksi muka yang menjadikan orang lain sejuk hati pun adalah sesuatu yang baik kerana ia menggembirakan hati orang lain. Bukan itu sahaja, kalau orang tengah buat lawak, seeloknya kita gelak walaupun kita rasa tak lawak pun. Ini pun dikira sedekah kerana perkara itu menyejukkan hati orang itu. Tentu dia sedih kalau kita tidak terkesan dengan lawak dia, bukan? Kemudian kalau seseorang tengah cerita sedih, kita jangan gelak pula! Yang dikira sedekah adalah kalau kita pun menunjukkan kita pun sedih juga. Jadi kebaikan adalah menyampaikan kebaikan kepada seseorang walaupun dengan reaksi muka kita.

Kalau kita sedang duduk-duduk dengan kawan kita dan kita tahu yang kalau kita meninggalkan mereka, kita sudah tahu yang mereka akan cakap benda mengarut atau buat benda tak elok. Jadi di dalam keadaan itu, kalau kita terus duduk dengan mereka supaya mereka terus beradab (kerana mungkin segan dengan kita), maka itu pun adalah kebaikan juga yang dikira sebagai sedekah.

Kadangkala perkara yang kita lakukan kerana kewajipan kita pun boleh dapat pahala. Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

Kalau kita tanam pokok dan nanti dimanfaatkan oleh manusia dan binatang selepas kita pun dikira sedekah juga walaupun kita tidak ada niat pun untuk bersedekah. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:


  [LIVE] Penawar Hati Gelisah? (12 Julai 2026) Ahad